Sejarah membuktikan manusia telah lama mewujudkan komuniti-komuniti yang cuba melangsungkan hidup dalam budaya dan adat resam sendiri, saling bekerjasama antara satu sama lain sehingga berjaya membentuk satu tamadun yang besar.

Telah wujud banyak tamadun-tamadun lama di seluruh dunia, dengan setiap satu tamadun membawa perwatakan yang unik dan berbeza-beza. Setiap tamadun yang pernah ada membawa cerita yang menarik untuk disampaikan jatuh bangunnya, menjadi pengajaran kepada kita semua.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima jenis tamadun dunia yang pernah muncul namun atas desakan masa, iklim cuaca atau sekadar tidak bernasib baik, menyebabkan kehebatan dan kegemilangan mereka hanya tinggal sebagai rekod dalam buku sejarah untuk dijadikan bacaan kita.

1. Tamadun Maya

maya tamadun lama yang hilang

Diletakkan sebagai antara tamadun paling maju ketika zaman mereka, orang Maya membina komuniti mereka dengan mengukir batu-batu besar untuk dijadikan bandar. Wilayah Maya juga meliputi kawasan hutan di selatan Mexico serta Amerika Selatan, ketika ini. Terkenal dengan tulisan berbentuk hiroglif serta mempunyai sistem kalendar, tamadun Maya sudahpun mempunyai kemahiran dalam bidang matematik, astronomi serta seni pembinaan yang hebat.

Kemuncak tamadun Maya berlangsung pada sekitar tahun 250 hingga 900 yang dikenali sebagai 'era klasik'. Walaupun begitu, semuanya berubah selepas masyarakat tersebut secara tiba-tiba menjatuhkan raja mereka kemudian meninggalkan penempatan serta teknologi yang telah mereka bangunkan.

Terdapat banyak pendapat cuba merungkai kenapa perkara ini berlaku. Antara hujah yang disebutkan adalah disebabkan kemarau berpanjangan berlaku, menyebabkan kesukaran untuk mereka meneruskan kehidupan. Ada juga pendapat mengatakan berlakunya perang saudara di kalangan masyarakat Maya sendiri.

Walaupun tamadun Maya sudah hilang, pewaris-pewaris tamadun ini tidak hilang sepenuhnya. Anak cucu mereka masih lagi menetap di kawasan-kawasan yang telah mereka diami sejak dahulu sehingga kini.

2. Indus

tamadun indus tamadun lama yang hilang

Orang Indus mula membina penempatan di kawasan yang kini adalah negara India dan Pakistan seawal 8,000 tahun dahulu.

Salah satu tamadun paling awal dunia, wilayah tamadun Indus ini sangat luas sehingga menempatkan anggaran 10 peratus penduduk bumi ketika zaman mereka. Tamadun Indus mempunyai sistem tulisan yang sehingga kini belum dapat difahami selain kepakaran serta membina sistem saliran air yang agak moden untuk zaman mereka.

Sekitar tahun 1900BC, tamadun Indus mula runtuh disebabkan beberapa faktor yang menimpa, sehingga menyebabkan mereka meninggalkan bandar mereka berpindah ke bahagian tenggara kawasan asal mereka.

Sama seperti tamadun Maya, perubahan cuaca memainkan peranan yang besar kepada kejatuhan tamadun Indus. Iklim monsun yang kekal lebih dua abad tidak berubah, menyebabkan aktiviti pertanian gagal untuk diteruskan. Ini menyebabkan orang Indus terpaksa meninggalkan kawasan yang telah mereka bina bagi mencari lokasi lain, untuk mendapatkan sumber makanan. Kejadian alam seperti gempa bumi juga turut sama memaksa orang Indus berpindah keluar menyelamatkan diri.

3. Anasazi

keluarga anasazi tamadun lama yang hilang

Tamadun Anasazi meliputi empat negeri Amerika Syarikat ketika ini iaitu Utah, Arizona, New Mexico dan Colorado. Mempunyai kemahiran binaan yang menakjubkan dengan bangunan unik yang mampu menempatkan beratus bilik di dalamnya, masyarakat Anasazi membuka penempatan di kawasan itu pada abad ke 12 hingga 13. Walaupun begitu tamadun ini berakhir dengan sadis sekali.

Penyelidikan yang dilakukan mendapati berlakunya kegagalan orang Anasazi menguruskan penempatan mereka dengan baik. Hutan ditebang sesuka hati sehingga menyebabkan masalah sumber makanan dan air.

Musim kemarau panjang berlaku menyebabkan keadaan masyarakat Anasazi huru-hara, sehingga menyebabkan berlakunya bunuh-membunuh. Tabiat kanibalisme iaitu memakan daging manusia untuk meneruskan hidup juga ditemui berlaku.

Anak cucu masyarakat ini masih hidup sehingga kini namun memilih untuk dikenali dengan gelaran 'orang Hopi' atau 'orang Zuni'. Ini kerana mereka sendiri memandang negatif sekiranya ada yang memanggil mereka dengan gelaran 'orang Anasazi'.

4. Viking Greenland

greenland viking tamadun lama yang hilang

Rekod sejarah orang Iceland menunjukkan pada tahun 985, Erik Thorvaldsson atau lebih dikenali dengan nama Erik the Red, membawa bersamanya 25 buah bot untuk mewujudkan sebuah koloni baru di Greenland - selepas dia dibuang daripada Iceland kerana kes bunuh.

Mewujudkan dua buah koloni, satu di bahagian timur Greenland dan sebuah lagi koloni yang lebih kecil di bahagian barat, masyarakat Viking dari Iceland itu hidup dengan menternak kambing. Mereka membina penempatan dan bangunan menggunakan batu-batu, tinggal di situ selama lebih 500 tahun sebelum didapati hilang begitu saja meninggalkan segalanya yang telah mereka bina.

Menurut kajian - pada abad ke 15, tamadun Viking Greenland ini mengalami kejatuhan disebabkan cuaca sejuk melampau namun pendapat ini disangkal ramai penyelidik. Kajian lebih mendalam mendapati orang Viking Greenland terpaksa berpindah disebabkan ancaman orang Inuit yang turut sama menetap di lokasi sama.

Sumber ekonomi mereka yang bergantung kepada jualan gading walrus dan bahan mentah daripada beruang kutub turut mengalami penurunan permintaan, memaksa orang Viking Greenland meninggalkan tempat mereka, dengan majoritinya memilih untuk kembali ke Iceland.

5. Rapa Nui

tamadun pulau easter

Tamadun Rapa Nui merupakan sebuah tamadun yang menduduki pulau terkenal yang kita gelarkan sebagai Pulau Easter. Terletak di kawasan yang sangat terpencil serta jauh daripada kelompok manusia, dianggarkan sejak tahun 300 lagi masyarakat orang Polinesia sampai ke pulau tersebut menjadikan Pulau Easter kediaman mereka.

Terkenal dengan beratus binaan tugu besar yang mempunyai ketinggian berpuluh kaki yang digelarkan 'moai',tugu-tugu dipacakkan oleh orang Rapa Nui di sekeliling Pulau Easter. Bagaimana mereka melakukannya masih lagi menjadi misteri sehingga ke hari ini kerana jumlah populasi yang kecil seperti mereka, mampu membina binaan bersaiz sedemikian rupa.

Pendapat paling popular mengatakan populasi penduduk Pulau Easter mula menurun disebabkan oleh perang saudara sesama mereka serta keadaan cuaca. Situasi itu menyebabkan orang Rapa Nui terpaksa menghabiskan sumber mereka seperti sumber kayu serta makanan, sehingga menyebabkan kanibalisme berlaku.

Walaupun begitu, kajian yang dilakukan pada tahun 2016 mendapati kedatangan orang Eropah ke pulau tersebut pada abad ke 18 sebenarnya menjadi permulaan kejatuhan masyarakat Rapa Nui.

Orang Rapa Nui dibawa untuk menjadi buruh paksa dalam sektor pertanian di Peru. Bagi mereka yang enggan, mereka akan ditembak mati. Selepas diserang wabak di Peru akibat keadaan hidup yang tidak terurus, orang Rapa Nui yang masih hidup dihantar pulang ke Pulau Easter. Ini menyebabkan jangkitan wabak cacar mula tersebar di kalangan masyarakat mereka.

Populasi Pulau Easter turun mendadak selepas itu berikutan kegagalan mereka merawat penyakit tersebut, sehinggakan jumlah masyarakat mereka berkurangan lebih separuh. Ketika ini, jumlah populasi Pulau Easter adalah sekitar 5,000 orang dengan hanya separuh daripadanya berasal daripada suku etnik Rapa Nui, pembina asal tugu-tugu gergasi itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)