Oleh pada 16 Nov 2021 kategori

Pada musim luruh 1944, Jepun dilihat semakin hilang penguasaan di Perairan Pasifik dalam Perang Dunia Kedua. Mereka telah kehilangan banyak juruterbang terlatih dan pesawat pejuang. Jumlah pesawat yang semakin sedikit membuktikan bahawa kekuatan mereka tidak setanding tentera Pihak Bersekutu.

Negara Matahari Terbit itu mula mengambil langkah drastik untuk mengekalkan posisi bertahan mereka. Pada 25 Oktober 1944, mereka menggunakan cara yang tidak dapat dijangkakan sama sekali oleh dunia Barat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tentera Jepun telah melancarkan serangan pengebom berani mati atau Kamikaze ketika Pertempuran Teluk Leyte di Filipina. Juruterbang Jepun membawa letupan dan nekad melanggar kapal perang Pihak Bersekutu. 

Ramai orang tersalah sangka bahawa serangan Jepun ke atas Pearl Harbor pada tahun 1941 merupakan serangan Kamikaze. Walaupun tentera Jepun lebih rela mati daripada ditangkap, sejarawan mengatakan serangan Pearl Harbor bukanlah serangan Kamikaze.

Sejarah wujudnya Kamikaze

Sebelum Perang Dunia Kedua, Jepun tidak pernah berjaya dijajah oleh mana-mana kuasa asing. Ketika Mongol hampir berjaya menakluk Jepun pada tahun 1200-an, rancangan mereka telah digagalkan oleh beberapa kejadian taufan.

Orang Jepun yang bernasib baik telah menggelarkan taufan itu sebagai kamikaze yang bermaksud "Angin Kudus" atau "Angin Tuhan" yang menyelamatkan mereka daripada penaklukan asing.

mongol serang jepun

Taufan yang menimpa tentera Mongol ketika cubaan menakluk Jepun

Jepun juga mempunyai sejaran ritual bunuh diri yang panjang. Sejak zaman samurai kuno lagi, ritual bunuh diri yang dikenali sebagai seppuku merupakan amalan biasa. Ia adalah cara untuk menjaga kehormatan dan maruah seseorang atau mengelak daripada ditangkap di medan perang.

Bagi kebanyakan tentera Jepun, menjadi tawanan tidak wujud dalam kamus hidup mereka. Tentera dan orang awam Jepun lebih rela membunuh diri jika tiada pilihan lain selain ditangkap musuh.

Dalam Pertempuran Okinawa yang berlaku pada tahun 1945, tentera Jepun telah menyerahkan bom tangan kepada penduduk tempatan agar digunakan untuk membunuh diri bagi mengelak daripada ditangkap.

Ketika Pertempuran Saipan pula, ramai rakyat Jepun melompat dari tebing Laderan Banadero atau Tebing Bunuh Diri kerana mereka percaya tentera Amerika akan merogol serta menyeksa mereka sekiranya ditangkap.

Program Kamikaze

Budaya perang Jepun tidak mempunyai ruang untuk kegagalan. Walaupun sudah dua kali dibom dengan bom atom, tentera Jepun masih melakukan cubaan rampasan kuasa yang dikenali sebagai Kejadian Kyujo.

tentera kamikaze

Dalam Kejadian Kyujo, Kementerian Pertahanan dan beberapa pegawai tertinggi tentera Jepun telah menyerang istana untuk menghentikan maharaja daripada menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Apabila gagal, pemimpin kudeta itu iaitu Kenji Hatanaka dan Jiro Shiizaki telah menembak diri sendiri di halaman istana.

Setahun lebih sebelum Jepun menyerah kalah, Kapten Tentera Laut iaitu Motohari Okamura mendakwa bahawa dia mempunyai taktik yang dapat memberi kelebihan kepada mereka.

Okamura telah mencadangkan supaya melakukan serangan berani mati terhadap Pihak Berikat. Mereka pertama kali mencuba program seperti kaiten iaitu peluru torpedo yang dipandu oleh manusia untuk menyerang kapal perang musuh.

Selain kaiten, mereka juga melancarkan unit penyelam yang memakai pakaian khas dinamakan fukyuru. Pakaian khas ini dilengkapi dengan bom seberat 15 kg dan pengebom akan berenang menghampiri kapal musuh sebelum meletupkan diri.

Namun, program seperti kaiten dan fukuryu tidak digunakan secara meluas dan diabaikan tidak lama kemudian. Program Kamikaze yang paling banyak dilancarkan adalah dengan menggunakan pesawat khas yang dinamakan sebagai Ohka (bunga Sakura).

ohka jepun

Ohka sebenarnya adalah pesawat Yokosuka MXY-7 yang diubah suai dan dilengkapi dengan bahan letupan seberat hampir 1200 kg. Ohka akan dibawa oleh pesawat Mitsubishi G4M sebelum dilepaskan ke sasaran yang ditetapkan.

Juruterbang Kamikaze yang mengawal Ohka akan melepaskan tembakan sambil cuba untuk menghentam sasaran. Kelajuan Ohka yang telah diubah suai ini menjadikannya sukar dipintas Pihak Berikat.

Kesan Kamikaze dalam WWII

Serangan pertama Kamikaze dirakamkan berlaku pada 25 Oktober 1944 semasa pencerobohan Amerika ke atas Teluk Leyte. Juruterbang Jepun telah menyasarkan beberapa kapal carrier Amerika.

Walaupun beberapa pesawat berjaya dijatuhkan dengan senjata anti-pesawat, tentera Jepun berjaya menenggelamkan beberapa kapal utama seperti kapal gergasi U.S.S. Lo dan membunuh ratusan tentera Amerika.

serangan kamikaze

Pada 6 April 1945, satu serangan besar-besaran berlaku apabila lebih daripada 300 juruterbang Kamikaze menyasarkan Angkatan Tentera Laut Amerika di Okinawa. Serangan terakhir Kamikaze pula berlaku pada hari yang sama Jepun menyerah kalah tanpa syarat. Ketika itu, tidak semua pegawai tentera Jepun menerima berita kekalahan mereka.

Beberapa jam selepas menyerah kalah, ramai pegawai tertinggi Jepun termasuk Matome Ugaki yang mengetuai serangan Kamikaze di Pertempuran Leyte membunuh diri dengan melakukan seppuku.

Walaupun program Kamikaze adalah langkah terdesak yang meragut nyawa lebih daripada 3,000 tentera Jepun tetapi ia juga telah menyebabkan lebih daripada 15,000 kematian tentera Pihak Berikat dan memusnahkan 300 kapal perang mereka. Namun, ia tidak dapat mengubah hakikat bahawa Pihak Berikat menang Perang Dunia Kedua.




Hakcipta iluminasi.com (2017)