Oleh pada 12 Aug 2021 kategori

Kita sering mendengar kisah keberanian tentera yang bertempur semasa Perang Dunia II tetapi amat jarang diceritakan tentang orang awam yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan negara.

Memang benar bahawa orang awam yang tidak mempunyai latihan ketenteraan akan terperangkap di dalam rumah, menjadi mangsa pertempuran atau dijadikan tawanan musuh tetapi ada segelintir yang berani melawan daripada berpeluk tubuh sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kisah perjuangan orang awam jarang diketahui umum kerana tidak direkodkan secara rasmi seperti tentera. Namun, seorang gadis Perancis ini bernasib baik apabila Majalah Time keluaran September 1944 telah membuat liputan mengenai perjuangannya menentang musuh. Berikut adalah kisahnya.

Latar belakang Simone Segouin

Segouin dilahirkan pada 3 Oktober 1925 di Thivars, Perancis. Dia membesar di pinggir Chartres yang terletak kira-kira 80 km dari Paris. Gadis itu dibesarkan oleh bapanya yang merupakan veteran Perang Dunia Pertama.

Apabila munculnya fahaman fasisme dan keadaan ekonomi yang tidak menentu di Eropah, Segouin diajar oleh bapa dan tiga abangnya cara untuk mempertahankan diri sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

Kerisauan mereka menjadi kenyataan apabila Nazi menyerang Perancis ketika Segouin baru berusia 14 tahun. Segouin terpaksa berhenti sekolah dan mengikuti keluarganya berpindah ke kawasan pendalaman desa.

jerman menawan paris

Ketika berusia 17 tahun, Segouin telah bertemu dengan Leftenan Roland Boursier, seorang bekas jurutera yang merekrut remaja untuk menjadi ahli French Resistance menentang Nazi. 

Walaupun tidak lagi ke sekolah, Segouin tetap menerima pendidikan tetapi bukanlah dalam bidang akademik. Dia diajar cara menggunakan senapang, mengebom kereta api, membunuh serta menangkap musuh hidup-hidup.

Dalam satu surat yang ditulis Leftenan Roland Boursier, dia menyatakan bahawa Segouin berbeza berbanding remaja lain yang direkrutnya. Gadis itu bukan sahaja tidak gentar tetapi sangat gembira jika dapat membunuh tentera Jerman.

Setelah setahun melatih Segouin, Boursier memberikan gadis itu identiti baru sebagai "Nicole Minet" sebelum memperkenalkannya kepada ahli French Resistance secara rasmi.

Sumbangan Segouin dalam WWII

segouin

Sebagai Nicole Minet, Segouin boleh menentang pihak Jerman tanpa perlu merisikokan keluarganya jika dia ditangkap. Dokumen pengenalan diri barunya menunjukkan dia berasal dari Dunkirk, sebuah bandar di Perancis yang baru sahaja dimusnahkan. 

 Tugas pertama Segouin adalah mencuri basikal pentadbir Jerman. Dia berjaya mencuri dan mengecat semula basikal itu. Basikal adalah cara paling mudah untuk bergerak di Perancis ketika itu kerana kebanyakan kereta dan pengangkutan awam telah dirampas atau dimusnahkan.

Segouin juga boleh menyampaikan maklumat dengan lebih efektif menggunakan basikal. Dia menjadi perantara untuk empat kumpulan yang dibentuk Boursier dengan kekuatan sekitar 40 orang. Dia juga terlibat dalam operasi pengeboman landasan kereta api dari Paris bagi menyekat pergerakan tentera Jerman.

Hasrat Segouin untuk membunuh tentera Jerman menjadi kenyataan pada 14 Julai 1944. Dia dan dua rakannya yang bersembunyi di dalam parit di tepi jalan telah melepaskan tembakan ke arah dua tentera Jerman yang sedang berbasikal.

Pengalaman paling manis gadis itu adalah ketika dia dan rakan-rakannya berjaya menangkap seramai 25 orang tentera Jerman menjelang penghujung perang. Ketika itu mereka tahu bahawa negara mereka akan bebas daripada penjajah.

segouin majalah time

Pada 23 Ogos 1944, jurugambar Majalah LIFE iaitu Robert Capa berpeluang untuk bertemu dengan Segouin. Robert sempat mengambil gambar gadis itu yang memegang sebuah mesingun ketika mereka meraikan kejayaan membebaskan bandar Chartres daripada cengkaman Nazi.

Robert meminta untuk meneruskan wawancara pada sebelah malam tetapi Segouin tidak dapat menghadirinya kerana terpaksa menyertai satu operasi menggempur tempat persembunyian saki-baki tentera Jerman.

Kehidupan Segouin selepas perang

Simone Segouin telah dianugerahkan pingat kehormatan Perancis, Croix de Guerre, kerana penglibatannya dalam pembebasan Paris, dua hari selepas pembebasan bandar Chartres.

Dia meneruskan kehidupannya seperti biasa tetapi perkhidmatannya tidak pernah berhenti. Segouin menjadi jururawat pediatrik di kampung halamannya dan mengahwini lelaki yang bertanggungjawab membimbingnya menjadi seorang pejuang iaitu Roland Boursier. Mereka dikurniakan enam orang anak.

Saat paling membanggakan buat Segouin ialah ketika dia berarak bersama Jeneral Charles de Gaulle ke Paris. Charles de Gaulle adalah pemimpin kumpulan pejuang yang membebaskan Perancis daripada jajahan Nazi Jerman. 

simone segouin nicole minet

Segouin menyatakan ramai lagi wanita lain yang menyertai kumpulan pejuang membebaskan Perancis tetapi dia bernasib baik kerana dikenali di seluruh dunia dan menjadi ikon. 

Jasa Segouin akan terus dikenang apabila sebatang jalan dinamakan sempena namanya di kediaman barunya di Courville-sur-Eure, Perancis. Tambahan pula, kisah perjuangannya turut dibukukan dan difilemkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)