Oleh pada 26 Aug 2019 kategori

Bagi peminat filem dan dunia komik zaman sekarang, untuk lebih satu dekad kita telah melalui apa yang layak dikatakan sebagai zaman kemuncak dunia sinematik filem melibatkan watak-watak dalam komik. Khasnya melibatkan watak ciptaan penerbitan popular Marvel.

Apa yang dapat kita saksikan sekarang, berbeza dengan situasi yang terjadi sebelum era millenium. Masyarakat sekarang sudah dapat menerima konsep dan filem adiwira dengan lebih baik, diangkat sebagai zeitgeist yang menarik untuk diikuti berbeza dengan era di mana filem dan komik 'superhero' hanya dianggap hobi serta kegemaran budak-budak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu watak paling popular adalah watak Spider-Man. Populariti watak tersebut membolehkan sehingga kini banyak filem diterbitkan selain diangkat menjadi salah satu watak penting dunia sinematik Marvel.

Bagaimanapun, semua peminat filem Marvel pasti tahu hak penerbitan filem Spider-man walaupun sebuah watak ciptaan Marvel, dipegang oleh syarikat lain iaitu Sony Pictures. Mengapa ini berlaku?

Era-80 an dan 90-an yang kelam-kabut bagi Spider-Man

spiderman jepun siri klasik

Bagi kanak-kanak yang lahir pada era lewat 70-an sehinggalah 90-an, adiwira dalam televisyen ketika itu kebiasaannya hanya ditayangkan dalam produksi bajet rendah. Untuk setiap satu filem adiwira yang dianggap baik seperti Superman dan Blade; pasti ada 5 lagi filem yang gagal sepenuhnya serta dikritik.

Sebelum hak cipta penerbitan filem Spider-Man dijual ke Sony Pictures, Marvel telah pun menjual hak cipta watak paling popular mereka ini pada tahun 1985 - kepada sebuah rumah penerbitan bernama Cannon Films. Studio itu lebih terkenal sebagai sebuah penerbit filem bajet rendah, dengan perjanjian bayaran $225,000 ditawarkan Cannon Films kepada Marvel, dalam tempoh 5 tahun.

Syarat perjanjiannya mudah, Cannon Films perlu menerbitkan sebuah filem Spiderman dan sekiranya pada bulan April 1990 Cannon gagal menerbitkan filem watak tersebut, hak cipta penerbitannya akan kembali kepada Marvel. Begitulah tak pedulinya Marvel ketika itu dengan watak tersebut.

Usaha Cannon Films membangunkan skrip berakhir selepas diisytiharkan bankrap pada tahun 1989 dan semua aset dan milikan syarikat itu diambil alih sebuah syarikat bernama Pathe Communications.

Pathe pula kerana tidak terlibat dalam penerbitan filem, memindahkan hak cipta itu kepada 21st Century Film Corporation (jangan tersilap dengan 20th Century Fox pula).

Bergaduh kerana berebut hak penerbitan

tobey maguire spider man a326

21st Century Film melakukan perbincangan semula dengan Marvel dan berjaya memanjangkan tempoh had masa yang awal yang diberikan pada Cannon, dianjakkan ke tahun 1992.

Sekali lagi kepayahan melanda selepas 21st Century Film gagal mengumpulkan dana, jadi mereka memilih untuk menyerahkan hak penerbitan Spider-Man kepada Viacom, salah sebuah anak syarikat kepada Columbia Pictures.

Situasi menjadi lebih rumit selepas 21st Century Film diisytiharkan bankrap.

Syarikat yang membeli dan menyelamatkan semua aset studio tersebut adalah syarikat gergasi Metro-Goldwyn-Meyer atau MGM. Sebagai pemilik semua aset 21st Century, MGM merasakan hak cipta filem Spider-Man sepatutnya menjadi milik mereka, bukan Viacom.

Selepas beberapa perbicaraan mahkamah berlangsung ekoran saman MGM ke atas semua pihak yang terlibat, mahkamah memutuskan bahawa hakcipta penerbitan watak tersebut sepatutnya dikembalikan kepada Marvel, berikutan kegagalan pihak-pihak terlibat mematuhi perjanjian penerbitan yang telah ditetapkan yang dimeterai pada tahun 1985.

Marvel yang pada ketika itu kembali stabil melakukan rundingandengan semua pihak yang terlibat khasnya Viacom dan MGM, memilih untuk membayar sagu hati dan mencari studio baru dalam usaha menerbitkan filem Spider-Man. Tidak lagi mahu tersilap pilih, Marvel memilih untuk menyerahkan hak cipta penerbitan filem Spider-Man kepada Sony Pictures pada tahun 1999, dengan yuran pelesenan sebanyak $7 juta.

3 tahun selepas itu, Sony menerbitkan filem blockbuster 'Spider-Man', lakonan Tobey Maguire dan arahan pengarah legenda Sam Raimi, benar-benar meletupkan demam filem adiwira yang pada ketika itu sudah pun mula naik selepas penerimaan baik terhadap filem 'X-Men' dan 'Blade.'

Cerita belum habis lagi

spider man far from home zendaya tom holland

Sambutan terhadap trilogi filem Spider-Man terbitan Sony sangat-sangat memberangsangkan, dengan filem keduanya dianggap antara filem adiwira terbaik.

Bagaimanapun, selepas tekanan kewangan yang melanda Sony Pictures memaksa syarikat tersebut menjual hak penjualan dan pengeluaran barangan mainan melibatkan watak dalam siri Spider-Man kembali kepada Marvel pada tahun 2011.

Selepas pulih, Sony Pictures bertindak menerbitkan trilogi filem baru Spider-Man dengan filem pertama diterbitkan pada tahun 2012, menampilkan Andrew Garfield pula sebagai pemegang watak utama.

Filem keduanya keluar pada tahun 2014, perancangan tambahan sebuah lagi filem menjadikan empat filem semuanya bakal terbit pada tahun 2016 dan 2018. Beberapa perancangan lain adalah untuk mewujudkan dunia sinematik khas Spider-Man diumumkan, termasuklah rancangan penerbitan filem yang bakal menggabungkan watak tersebut dengan musuh ketatnya - Venom.

Bagaimanapun, 'The Amazing Spider-Man 2' walaupun mendapat ulasan yang baik, gagal mencapai angka kutipan yang disasarkan menyebabkan Sony terpaksa merombak semula rancangan besar mereka.

Pada tahun 2015, selepas desas-desus tersebar; Sony dan Marvel mengumumkan bahawa watak Spider-Man akan muncul dalam siri dunia sinematik Marvel, bergabung dengan banyak watak Marvel lain seperti Iron Man dan Thor. Selain itu, Andrew Garfield juga diumumkan akan digantikan dengan pelakon baru iaitu Tom Holland.

Ini membuktikan Sony telah pun menghentikan kebanyakan rancangan mereka sebelum itu bagi membenarkan pihak Marvel mengambil alih hala tuju watak Spider-Man buat sementara.

Pengumuman itu mendapat sambutan hangat dan kita sudah tahu apa yang berlaku kepada Spider-Man selepas itu; watak itu muncul kali pertama dalam filem 'Captain America : Civil War' sebelum menjadi bintang utama dalam filem sendiri 'Homecoming', seterusnya terlibat dalam peperangan menentang Thanos dalam 'Infinity War' dan 'Endgame' - sebelum kembali dalam filem 'Far From Home' yang meletakkan dia berdepan seteru baru Mysterio.

Sony adalah pemilik sebenar - tidak ada pertikaian

spiderverse peter parker

Walaupun sudah muncul dalam dua filem, kedua-dua filem itu sebenarnya harus kita sedari diterbitkan sepenuhnya oleh Sony dengan pihak Marvel dibenarkan oleh Sony untuk menentukan hala tuju skrip dan jalan ceritanya.

Dalam perjanjian awal antara kedua-dua syarikat, Sony bersetuju membenarkan Spider-Man muncul dalam filem Avengers dan membenarkan Marvel mengutip 5% daripada jumlah kutipan pertama filem-filem solo Spider-Man terbitan Sony.

Bagaimanapun, melihat sambutan yang menggalakkan terhadap filem 'Homecoming' serta 'Far From Home', Disney yang ketika ini merupakan syarikat induk kepada Marvel mahu melakukan perjanjian baru dengan pecahan 50-50 di antara Sony dan Disney, atas semua kutipan filem solo Spider-Man.

Cadangan ini bagaimanapun tiada keperluan kepada Sony, kerana tidak ada sebab untuk mereka menerima permintaan. Selama ini Sony Pictures yang menanggung kos penerbitan filem-filem Spider-Man, bukan Marvel atau Disney.

Sama ada akan wujud jalan keluar dalam perbincangan kedua-dua syarikat, kita tunggu dan lihat sahajalah. Pasti ada penonton akan merasakan agak rugi sekiranya watak Spider-Man kembali dikuasai sepenuhnya Sony tanpa ada campur tangan Marvel dan Disney. Apatah lagi apabila yang terkorban adalah perancangan untuk menjadikan Spider-Man sebagai salah satu watak besar dalam siri sinematik Marvel, yang sedang memasuki fasa seterusnya.

Tetapi Sony sudahpun membuktikan mereka sebenarnya faham bagaimana mahu menerbitkan filem Spider-Man dengan baik. Siri trilogi pertama Spider-Man masih lagi menghiburkan dan relevan walaupun sudah berusia berbelas tahun dan dua filem Spider-Man lakonan Andrew Garfield sebenarnya cukup seronok untuk ditonton.

venom tom hardy

Kejayaan filem 'Venom' yang menampilkan aktor hebat Tom Hardy daripada segi penataan jalan cerita serta kutipan di panggung juga tidak boleh dipandang ringan, jadi tidak ada sebab untuk peminat-peminat Spider-Man merasa kecewa seandainya isu ini tidak menemui penyelesaian.

Sama ada Marvel terlibat atau tidak dengan filem Spider-Man selepas ini, watak Spider-Man berada dalam tangan pihak yang tahu bagaimana membikin filem Spider-Man yang baik.

Apa yang Marvel lakukan terhadap watak Spider-Man satu masa dulu - menjaja watak ini kepada syarikat lain, merupakan tindakan yang perlu mereka lakukan bagi menjamin kelangsungan syarikat tersebut. Kini, Marvel yang sudah di bawah Disney berubah menjadi gergasi industri hiburan yang sangat sukar ditandingi dari segi kemampuan kewangan mereka.

Selepas berulang kali menonton filem 'Spider-Man - Into the Spider Verse', penulis merasakan di antara semua filem Spider-Man yang diterbitkan dalam 5 tahun lepas, filem animasi itulah filem terbaik watak manusia labah-labah itu. Siapakah tenaga di sebalik filem itu? Sepenuhnya Sony, bukan Marvel, bukan Disney.




Hakcipta iluminasi.com (2017)