Demam Avengers : Endgame sedang memuncak ketika ini. Ke mana-mana saja, peminat filem pasti membicarakan tentang filem tersebut kerana statusnya sebagai penamat kepada usaha 10 tahun yang telah dirancang dengan begitu rapi sekali.

Walaupun demikian, selepas 21 buah filem diterbitkan sudah pastilah ada di antara filem Dunia Sinematik Marvel yang telah terbit, kurang memberikan impak pada penonton. Ada juga yang boleh dinilai sebagai satu usaha penerbit untuk mendapatkan keuntungan cepat, berikutan permintaan tinggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak dapat dinafikan, secara purata Dunia Sinematik Marvel berjaya membawa sesuatu visi yang baru kepada industri filem dunia namun antara kesemua filem, yang mana kurang rempahnya? Berikut adalah 5 filem Dunia Sinematik Marvel yang kami rasa agak mengecewakan. Tetap menghiburkan namun jika dibandingkan dengan yang lain, nyata tidak mencapai sasaran.

1. Avengers : Age of Ultron

age of ultron

Kami tidak tahu apa yang tak kena dengan filem ini - filem ini seakan-akan ada sesuatu yang tak ngam tanpa dapat kami jelaskan apa. AoU sebenarnya sebuah filem yang sangat penting kerana memperkenalkan kepada kita tiga watak penting iaitu Ultron yang akhirnya akan membawa kepada kemunculan watak mesin sibernetik Vision yang mampu memanipulasi 'batu Minda Infiniti', selain daripada watak Scarlett Witch yang memainkan peranan besar dalam filem selepas AoU.

Setelah diulang tengok beberapa kali, penulis berpendapat masalah utama filem ini sebenarnya datang daripada watak jahat Ultron yang dicipta sendiri oleh Tony Stark dengan kerjasama Bruce Banner, sebelum hilang kawalan. Mungkin juga tajuk yang diletakkan agak tidak sesuai iaitu 'Age of Ultron' tetapi Ultron musnah hanya dalam satu filem, tanpa memainkan apa-apa peranan selepas dilahirkan.

2. Thor : The Dark World

malekith thor

Walaupun filem pertama Thor agak kucar-kacir serta kelam-kabut, sekurang-kurangnya filem itu berjaya memperkenalkan kita dengan Thor, Heimdahl, Odin, Loki, negara Asgard dan hubungannya dengan bumi dalam cara yang agak berkesan. Thor : The Dark World seakan sebuah filem yang tidak ada hala tuju, tidak banyak meninggalkan apa-apa kesan pada penonton.

Satu-satunya pendedahan yang sekurang-kurangnya membuatkan penonton teruja adalah pendedahan berkenaan asal-usul watak Loki yang sebenarnya bukan seperti dijangkakan. Walau bagaimanapun, filem ini harus dikreditkan sebagai filem yang mengubah persepsi orang ramai terhadap watak jahat Loki, yang seterusnya mengubah watak Loki menjadi lebih besar dalam siri filem-filem berikutnya.

3. Doctor Strange

doctor strange

Sebelum anda marah, penulis nak jelaskan penulis adalah peminat setia filem ini. Dah berapa belas kali penulis menontonnya, kerana dunia mistik yang dikawal dalam filem ini sangat unik konsepnya. Bagaimanapun, daripada segi penceritaan filem Doctor Strange ini seakan-akan sebuah filem yang dibuat berdasarkan struktur biasa - hero berlagak, hadapi kesukaran, cari jalan, insaf, kemudian menyelamatkan keadaan.

Untuk pengenalan kepada watak ini, filem ini agak berjaya tetapi segala-galanya dipaparkan dalam keadaan terdesak. Selain itu, tanggapan bagaimana mudahnya Stephen Strange diangkat menjadi 'Master of the Mystics Arts' jauh lebih pantas berbanding pelatih lain juga menjadi persoalan.

Tidak salah jika penulis bandingkan perjalanan yang dilalui Stephen Strange dengan Bruce Wayne dalam 'Batman Begins' - kedua-duanya terpaksa berhadapan kesusahan untuk kembali bangkit, tetapi filem Batman arahan Christopher Nolan itu tampak lebih meyakinkan kita, membuatkan kita mampu merasai susah payah yang dilalui Bruce Wayne berbanding Stephen Strange.

4. Iron Man 3

the mandarin

Di antara ketiga-tiga filem Iron Man, filem pertamanya paling meninggalkan kesan pada penulis. Yang kedua agak 'meh' dan yang ketiga pula terlalu berusaha keras nak cipta impak. Apa yang paling mengecewakan - semua konklusi yang berlaku dalam filem ini langsung tak dibawa ke depan dalam filem-filem lain selepas itu. Apa berlaku pada janji Tony Stark kepada Pepper Potts? Apa kaitannya Tony Stark meletupkan berpuluh sut Iron Man pada kehidupannya selepas itu? Tak ada kaitan.

Tidak ada berlaku sebarang perubahan pada watak-watak dalam filem ini yang dibawa ke depan. Apa yang lebih mengecewakan adalah bagaimana penulis skrip dan pengarah mempermainkan salah satu watak paling penting dalam sejarah komik Iron Man iaitu The Mandarin, yang dijadikan bahan lelucon dan kelakar tanpa ada sebab musabab pun kenapa perlunya watak itu diolah sedemikian rupa.

5. Guardians of the Galaxy Vol.2

star lord ego guardians of the galaxy

Guardians of the Galaxy yang pertama berjaya membawakan kisah yang menjadi pengenalan kepada watak sekumpulan adiwira beroperasi di ruang angkasa. Komedinya nyata menjadi walaupun ada bahagian seperti pertarungan tarian yang agak tak masuk akal. Mengambil formula serupa untuk Vol.2, pengarah filem ini tidak mahu lari banyak mengekalkan konsep serupa menyelongkar kisah dan latar belakang watak utama dalam siri ini.

Namun demikian, formula yang ada dikembangkan lagi sehingga berada di luar kawalan - menyebabkan banyak adegan dalam filem ini rasa seakan dibuat-buat, sehingga ada kalanya sampai ke tahap menjengkelkan. Mungkin kerana filem ini agak ketandusan atau ketiadaan sumber penceritaan yang lebih mendalam dan menarik. Penulis nampak tidak ada keperluan untuk penonton belajar lebih mendalam berkenaan watak Star Lord, kerana filem pertama GOTG sudah berjaya memvisualkan beliau dengan sangat berjaya.

Kita tidak perlu sebuah filem untuk mengenali siapa Ego, ayah kandung Star Lord kerana bagi peminat setia filem pertamanya, ayah Star Lord tetap watak Yondu yang sudah dikisahkan lebih awal. Kemunculan Ego tidak akan mengubah apa-apa, mengakibatkan filem ini sudah tidak relevan sejak mula lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)