'In my hearts, in my dreams, I see you, I feel you.'
Siapa ingat lirik lagu pembuka irama klasik itu? Era kegemilangan filem Titanic di pawagam sekitar tahun 1997 di Malaysia, mencetuskan fenomena yang jarang sekali berlaku di negara kita - mencatat sejarah menjadi filem berbahasa Inggeris paling lama ditayangkan di pawagam negara kita.
Filem romantik itu membantu menjulang naik nama aktor Leonardo di Caprio serta Kate Winslet, menjadi bualan hangat sehingga ramai anak gadis termimpi mahukan teman seperti 'Jack Dawson' dan anak muda pria mula....mahu belajar melukis figura.
BESARKAN TEKS A- A+
Disebabkan oleh ketelitian penghasilan filem ini, tidak dapat dinafikan impaknya pada penonton sangat memukau - sehinggakan ramai yang menyangkakan apa yang berlaku dipaparkan dalam filem, sama seperti apa yang terjadi dalam realiti.
Kisah sebenar di sebalik legenda 'Titanic'
Tidak. Kisah sebenar tentag apa yang berlaku semasa tenggelamnya kapal Titanic, jauh berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam filem. Cuma kita dibuai dengan imej romantik pengorbanan yang dilakukan Jack - sedangkan kisah belakang tabirnya taklah seromantik yang disangka.
Apabila disebut tentang tragedi yang menimpa kapal RMS Titanic, anda semua pasti akan membayangkan bagaimana kapal gergasi itu berlanggar dengan bongkah ais yang menyebabkannya tenggelam. Imej fiksyen Jack menemani Rose di atas kepingan pintu itu pasti sudah terpahat dalam minda anda.
Pasti ramai yang masih berpegang bahawa bongkah ais merupakan punca utama tragedi itu terjadi kan?
Malangnya apa yang tidak dipertontonkan dalam filem arahan James Cameron itu, adalah insiden yang berlaku melibatkan kapten, anak kapal serta pengurusan kapal tersebut - agar kelemahan pada rangka kapal gergasi itu tidak diketahui ramai.
Ini kerana beberapa pihak mula menemui bukti baru yang menunjukkan Titanic sepatutnya tidak dibenar memulakan pelayarannya.
Penemuan koleksi gambar Titanic sebelum belayar
Pada tahun 2012, dalam sebuah acara lelongan barangan milik salah seorang pengarah kejuruteraan kapal Titanic yang bernama John Kempster, terdapat koleksi album yang memuatkan lebih 116 keping gambar kapal tersebut yang ditangkap oleh Kempster.
Kempster yang pada ketika itu berkhidmat sebagai pengarah syarikat kejuruteraan Harland & Wolff, dipertanggungjawabkan merangka dan memasang sistem elektrik dan pendawaian kapal gergasi itu.
Kesemua gambar itu yang baru ditemui telah tersimpan dalam sebuah loteng di kediaman waris Kempster entah untuk berapa lama tempohnya.
Selepas selesai proses bidaan, gambar-gambar itu diterbitkan untuk kali pertama pada tahun 2014 oleh pemilik barunya - dengan harapan agar koleksi foto itu dapat membuatkan ramai mengimbau kembali nostalgia.
Bagaimanapun, penerbitan baru gambar itu membuka semula minat orang ramai untuk menyiasat kembali punca sebenar Titanic tenggelam - benarkah disebabkan bongkah ais atau sebenarnya ada punca yang tidak didedah sepenuhnya?
Lihat gambar di atas? Nampak ada kesan hitam pada dinding di sebelah kanan kapal tersebut. Itulah punca kontroversi baru ini.
Titanic sedang terbakar semasa memulakan pelayaran
Satu perkara yang jarang disebutkan dalam mana-mana kisah tentang Titanic adalah berkaitan kebakaran yang sedang berlaku pada bahagian dalam kapal itu, semasa kapal itu berlepas daripada pelabuhannya di Belfast.
Kebakaran yang terjadi pada bahagian penyimpanan arang batu dikatakan menyebabkan kebakaran pada bahagian badan kapal itu. Disebabkan maraknya api dalam bahagian tersebut, pasukan pemadam api gagal memadamkan kebakaran yang berlaku - sehinggakan semasa kapal itu berlepas, api sebenarnya sedang menjilat ruang simpanan itu tanpa henti.
Pihak pengemudi kapal dan pengurusan pelayaran dikatakan mengetahui apa yang berlaku, tetapi memilih untuk mendiamkan diri agar pelayaran bersejarah itu dapat diteruskan.
Titanic mula belayar pada 2 April 1912 dan api hanya dapat dipadamkan pada 13 April, selepas pasukan petugas berjaya mengosongkan ruangan itu daripada arang batu. Sepanjang tempoh hampir 12 hari itu, 8 ke 10 orang petugas senantiasa bekerja mengikut jadual tetap menyembur api dengan air dengan harapan agar kebakaran dapat dikawal.
Kebakaran itu diakui sendiri memang berlaku oleh petugas-petugas yang terlibat. Testimoni daripada seorang petugas bernama Charles Hendrickson ketika siasatan bagi mengenalpasti punca Titanic tenggelam, berjaya mencerahkan tentang insiden kebakaran yang berlaku semasa pelayaran Titanic bermula.
Hendrickson juga mengaku dia terlibat dalam usaha membersihkan kesan kebakaran serta menyapu minyak pada bahagian yang terbakar agar tidak terlalu kelihatan kesannya.
Testimoni ketua petugas pemadam kebakaran bernama Frederic Barrett yang terselamat dalam insiden tenggelamnya Titanic, lebih bersifat sensasi.
Barrett mengakui bahawa tahap kerosakan yang terjadi disebabkan oleh kebakaran itu telah pun menjejaskan struktur rangka kapal itu - sehingga mengakibatkan berlakunya risiko lebih tinggi limpahan air boleh masuk, selepas struktur rangka kapal itu didapati mengalami perubahan kekuatan.
Penemuan baru, hujah baru
Rekod-rekod testimoni rasmi yang dicatatkan berkaitan kebakaran ruangan simpanan arang batu itu bagaimanapun gagal dikaitkan sebagai salah satu punca yang mampu menjelaskan punca sebenar Titanic tenggelam.
Hanya selepas penemuan semula gambar yang tersimpan lama itu diterbitkan selepas lelongan, seorang jurnalis bernama Senan Molony mendapati di antara kesemua gambar Titanic yang ada - ada beberapa gambar dengan jelas memaparkan kesan kebakaran yang dipercayai berlaku pada bahagian luaran kapal tersebut.
Mendapati wujudnya persamaan dalam gambar tersebut dengan rekod-rekod testimoni yang telah direkodkan lebih 100 tahun dahulu - Molony mula memfokuskan penyiasatannya, mencabar teori bongkah ais yang telah lama menjadi punca utama Titanic karam.
Bagi mendapatkan penjelasan bersifat saintifik, Molony menjalinkan kerjasama dengan seorang pakar sains tenaga haba dari Imperial College of London bernama Prof. Guillermo Rein.
Dengan menggunakan analisis berkomputer, Prof. Rein berpendapat tahap kepanasan yang terjadi dalam Titanic akibat kebakaran itu mampu mencecah sehingga 982 darjah celcius, menyebabkan struktur besi yang digunakan berubah menjadi lebih rapuh.
Dengan bantuan simulasi komputer, Prof. Rein berjaya mereka semula kesan kebakaran yang berlaku dan mengenalpasti kesan atau sebarang perubahan yang terjadi pada rangka dan badan kapal tersebut.
Kesimpulan beliau, kekukuhan badan kapal tersebut sebenarnya telah terjejas teruk akibat daripada kebakaran yang cuba disembunyikan mengakibatkan struktur badan Titanic yang sangat besar, tidak lagi mampu menampung impak yang sepatutnya mampu dihadapi.
Kelajuan tinggi Titanic yang melebihi kadar sepatutnya
Dalam tempoh beberapa hari cuba memadamkan kebakaran, pasukan petugas yang bekerja siang dan malam memadamkan api dengan air, juga perlu menyodok dan membakar lebih banyak arang batu ke dalam dapur bagi mengelakkan api menyambar arang yang ada.
Disebabkan oleh kuantiti arang batu yang dibakar melebihi had yang sepatutnya - Titanic belayar lebih laju daripada biasa. Adakah ini menjadi punca kenapa Titanic gagal beralih daripada laluan sehingga melanggar bongkah ais itu? Ini tidak dapat dipastikan.
Selepas pelanggaran dengan bongkah ais itu, Frederick Barrett selaku ketua pemadam api turun ke bawah bagi memeriksa tahap kerosakan yang berlaku. Pada mulanya, kerangka kapal yang dipasang masih mampu menahan air daripada masuk masih mampu menjalankan fungsinya walaupun telah terbakar.
Malangnya, bahagian di mana impak berlaku itu hanya mampu bertahan selama 2 jam sebelum air mula masuk melalui bilik dapur di mana arang batu dibakar untuk menghasilkan stim. Barret sempat menyelamatkan diri sebelum air mula melimpah masuk ke dalam badan Titanic - bermula betul-betul di lokasi di mana kebakaran telah berlaku.
Bukan semua pihak mampu menerima teori kebakaran ini punca utama tenggelamnya Titanic. Bagaimanapun hujahnya sukar dinafikan serta selari dengan rekod testimoni dan siasatan yang telah dijalankan.
Bagi mereka yang percaya Titanic tenggelam hanya disebabkan bongkah ais, mereka berpendapat kebakaran itu tidak sepatutnya mampu menyebabkan kerosakanpada rangka kapal seperti yang digembar-gemburkan.
Bagi peminat setia filem Titanic pula?
Kisah Jack dan Rose yang bertemu, bercinta dan berpisah atas sebuah kapal yang sebenarnya sedang terbakar, mungkin bukan sebuah kisah romantik yang seronok untuk diceritakan.
Jadi ada pihak merasakan lebih baik kita fokuskan kisah cinta mereka berakhir disebabkan pelanggaran kapal terbesar di dunia ketika itu, dengan bongkah ais - yang memaksa cinta mereka tamat di tengah lautan.
Rujukan
New Evidence Suggests There Was Something Very Wrong With The Titanic Before The Iceberg