zachary levi shazam watak

Filem-filem adiwira menerima penerimaan yang sangat jauh berbeza, berbanding reaksi yang mereka terima 10 tahun lepas selepas bermulanya era millenium. Satu ketika dulu, filem adiwira dilihat hanya sesuai untuk tontonan remaja dan kanak-kanak, serta gagal mendapat sambutan yang hebat - membuatkan tidak ramai pelakon terkenal mahu nama mereka terpalit dengan projek-projek filem adiwira.

Bagaimanapun, beberapa buah filem seperti Superman, trilogi Batman, trilogi Spiderman dan filem-filem X-Men berjaya mengubah perspektif orang ramai sehingga membolehkan Dunia Sinematik Marvel, salah satu siri filem paling berjaya dihasilkan sambil syarikat DC juga turut sama mengorak langkah mahu membina projek serupa.

Penerimaan ini menyebabkan filem-filem adiwira mula menjadi perhatian nama-nama besar dan pelakon-pelakon pula nampak berebut mahu terlibat sama, dengan dua nama iaitu projek filem Marvel dan DC terus menjadi buah mulut semua. Tahukah anda pelakon manakah yang telah pun melibatkan diri dalam projek filem kedua-duanya?

1. Zachary Levi

zachary levi fandral shazam

Filem 'Shazam' menyambung penerimaan baik filem-filem adiwira keluaran DC selepas filem 'Aquaman' turut sama dipuji, berbanding dengan filem-filem terdahulu seperti Batman vs Superman dan Justice League yang dikritik kerana terlalu serius dan gelap.

Zachary Levi seorang pelakon yang lebih terkenal dengan watak komedi memang dipuji kerana benar-benar berjaya membawakan watak Shazam secara berkesan, disamping perlu menjiwai perasaan seorang remaja berusia 15 tahun yang menjadi identiti wataknya.

Perasankah anda, selain watak Shazam, Levi juga sebenarnya memainkan peranan dalam dua filem Marvel iaitu 'Thor - The Dark World' dan 'Thor Ragnarok' sebagai Fandral, salah seorang kawan rapat Thor? Peranan beliau dalam dua filem itu teramatlah terhad sebelum wataknya meninggal dunia tanpa ramai menyedari kemunculan beliau.

2. Tom Hardy

tom hardy venom bane

Salah seorang pelakon paling berbakat di Hollywood, Tom Hardy diakui berjaya memainkan watak pengganas Bane dengan sangat berkesan, kecuali suaranya yang agak janggal dalam filem The Dark Knight Rises. Terpaksa berlakon keseluruhan filem dengan memakai topeng, penonton dapat merasai sendiri ketakutan yang dibawa watak beliau serta ancamannya pada Batman.

Selepas dilaporkan Tom Hardy akan memegang watak Eddie Brock dalam filem 'Venom', ramai juga yang skeptikal termasuklah penulis. Filem itu merupakan antara filem paling teruk yang penulis cukup suka dan watak Eddie Brock yang dibawa oleh Hardy juga, adalah seorang yang separa mental, sentiasa berada di antara sempadan antara waras dan gila.

Rancangan untuk menggabungkan watak Venom ke dalam Dunia Sinematik Marvel sedang dikarang dan harapan kami, agar Tom Hardy ditawarkan untuk terus memegang wataknya.

3. Adewale Akinnuoye-Agbaje

adewale killer croc algrim

Pelakon Britain ini bukanlah seorang nama besar jika dibandingkan dengan pelakon kulit hitam lain yang berlakon bersamanya dalam filem Thor The Dark World, iaitu Idris Elba. Bagaimanapun, pertarungannya menghadapi Thor semasa memegang watak Kurse dalam filem tersebut merupakan antara adegan yang diingati dalam filem yang rata-ratanya mengecewakan. Kurse juga telah pun berjaya mengalahkan Thor sebelum Thor diselamatkan oleh adiknya, Loki.

Adewale juga memegang watak salah seorang penjahat dalam filem 'Suicide Squad', memainkan watak ikonik Killer Croc - salah seorang musuh Batman paling terkenal. Penampilan beliau dalam filem itu menjadi kali pertama watak tersebut ditayangkan dalam sebuah filem.

4. David Dastmalchian

david ant man the dark knoght

Siapa dia ni? Pasti ramai tidak menyedari David Dastmalchian pernah menjadi pelakon pembantu kepada tiga filem terkenal iaitu filem kedua dalam trilogi Batman, The Dark Knight serta dua filem Ant-Man dan sambungannya. Dalam filem The Dark Knight, Dastmalchian membawa watak salah seorang pengikut Joker yang ditugaskan untuk menembak mati Harvey Dent sebelum rancangan mereka digagalkan.

Dastmalchian memainkan peranan yang lebih besar dalam filem Ant-Man serta sambungannya, selepas diambil untuk menjadi salah seorang rakan kongsi pasukan penyiasatan yang ditubuhkan oleh adiwira Ant-Man, Scott Lang.

Dalmatschian juga akan kembali dalam filem DC 'Suicide Squad' sebagai 'Polka Dot Man', filem olahan semula judul tersebut yang bakal terbit pada tahun 2021.

5. Djimon Hounsou

djimon housou shazam aquaman captain marvel

Senyap-senyap saja pelakon terkenal Djimon Hounsou meletakkan dirinya sebagai pelakon paling banyak memainkan watak dalam filem-filem adiwira DC dan Marvel. Pasti ramai tak menyedari bahawa dia telah terpilih melakonkan beberapa watak berbeza dalam 4 filem, dua daripada Marvel dan dua daripada DC.

Hounsou melakonkan watak Korath dalam dua filem Marvel iaitu 'Guardians of the Galaxy' dan kembali memainkan watak tersebut dalam filem 'Captain Marvel.' Bagi filem-filem DC pula, Hounsou kemudiannya diberikan tanggungjawab membawakan watak 'Ricou the Fisherman King' dalam filem 'Aquaman' sebelum kembali dalam filem 'Shazam' bersama Zachary Levi, sebagai 'Shazam' tua yang memindahkan kuasanya kepada pewarisnya.


tags :, , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)