justice league watak berlari gagah

Filem 'Justice League' sebenarnya adalah antara filem yang sangat ditunggu-tunggu bagi peminat filem komik. Namun ulasan awal filem tersebut berbunyi sangat-sangat mengecewakan dan mampu membuatkan kita takut hendak pergi menontonnya.

Jika anda adalah salah seorang yang berdebar-debar menantikan kemunculan filem kedua 'Justice League' sekian lama, kami syorkan kepada anda untuk menonton terlebih dahulu filem pertama Justice League yang ditayangkan dalam format filem untuk televisyen pada tahun 1997 ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

justice leaguefilem televisyen 1997

Idea asalnya datang daripada studio CBS yang mahu bekerjasama dengan DC Comics bagi menerbitkan satu siri televisyen yang memaparkan watak dari siri Justice League of America. Perancangan awalnya, siri itu akan ditayangkan ketika waktu perdana dan mempunyai klasifikasi sesuai untuk tontonan semua peringkat golongan.

Walau bagaimanapun, masalah besar melanda idea asal mereka; watak-watak paling penting dalam Justice League iaitu Superman, Batman dan Wonder Woman tidak dapat digunakan atas masalah hak cipta jadi penerbit memutuskan untuk menggunakan watak-watak lain yang ada iaitu The Flash, Green Lantern, Fire, Ice, The Atom dan Martian Manhunter sebagai ketua kepada kumpulan Justice League ini.

Selesai masalah watak, timbul pula idea yang bercelaru daripada penulis yang cuba menyelitkan unsur-unsur kehidupan seharian dalam skrip. Setiap watak diberikan masalah sebenar yang dihadapi oleh orang dewasa bagi mencerminkan realiti sebenar kehidupan seorang adiwira.

justice league1997 promo

The Flash mengalami masalah pengangguran, The Green Lantern pula kerap mengecewakan teman wanita kerana terlalu sibuk dengan tugas, watak Fire pula gagal menjadi pelakon terkenal seperti yang dia impikan sementara watak The Atom pula kerap meninggalkan kelas sains yang perlu dia ajar.

Peminat komik DC yang mengikuti perkembangan pembikinan siri ini mula risau setelah mereka mendapati terlalu banyak unsur-unsur realiti yang menjadi elemen penting pada watak Justice League yang ada, sedangkan kebiasaannya watak adiwira DC seringkali digambarkan sebagai satu watak yang gagah dan perkasa. Tidak ada siapa mahu tengok adiwira gagah dalam komik berhempas pulas menangani masalah mencari pekerjaan yang sesuai.

justice league berkumpul

Dibintangi oleh Matthew Settle, Kimberly Oja dan Kenny Johnston serta diarahkan oleh seorang pengarah bernama Felix Enriquez Alcala. Justice League mengisahkan tentang Justice League yang cuba hidup sebagai manusia biasa, menghadapi cabaran hidup beserta ancaman daripada watak jahat bernama The Weather Man yang kerap mengugut New Metro City (bandar fiksyen di mana mereka hidup) dengan ancaman cuaca buruk.

Ya, cuaca buruk.

Dengan rekaan kostum yang jelas kurang diberi penekanan pada rekaan, serta rekaan watak yang lemah, memang sejak mula lagi rancangan Justice League ini seolah-olah dicipta untuk gagal. Terlalu banyak elemen yang ditukar secara suka-suka pada watak menjadikan watak yang dikenali dalam komik bertukar kepada satu watak baru yang tidak menarik untuk ditonton. Skripnya lemah dengan tidak ada penegasan yang mengujakan penonton benar-benar berlaku.

the flash menyiasat

Filem ini langsung tidak ditayangkan di Amerika Syarikat dan hanya ditayangkan dibeberapa negara yang tidak bernasib baik, seperti Puerto Rico, Mexico, England, India dan Israel. Perancangan asal hendak menyambung filem itu ke dalam bentuk siri televisyen selepas itu, dihentikan atas alasan-alasan yang tidak diberitahu.

Jika kita imbas kembali, filem ini masih baru usianya, hanya 20 tahun. Namun terdapat lonjakan besar dalam kualiti filem adiwira ketika tempoh tersebut. Tidak dinafikan, era tersebut merupakan satu era zaman gelap filem adiwira selepas kemunculan filem-filem kurang berkualiti seperti Spawn atau Batman & Robin, yang sedikit sebanyak pasti mempengaruhi perancangan Justice League ini.

Adakah filem ini masih relevan pada tahun 2017? Sama sekali tidak tetapi sekurang-kurangnya jika filem Justice League versi 2017 mengecewakan ramai peminat filem, kita hanya perlu ingat semula filem pertama Justice League bagi mengingatkan kita, ada filem Justice League yang lebih teruk.

Jika anda nak tonton filem ini, boleh klik sini. Selamat berjaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)