Oleh pada 03 Aug 2019 kategori

Satu masa dulu, aktor terkenal Keanu Reeves seringkali diketawakan kerana lakonannya yang agak kaku serta tidak mempunyai banyak variasi - walaupun dia sebenarnya membuktikan kebolehannya dalam siri trilogi The Matrix, Point Break dan juga filem Speed.

Sehingga kini Reeves dikatakan aktor yang tak mampu membawakan watak-watak lebih dramatik kerana hanya mampu melakonkan beberapa jenis watak sahaja. Bagaimanapun, di sebalik kekurangan yang diperkatakan itu, Reeves berjaya mengekalkan popularitinya serta terus diberikan peluang berlakon banyak watak ikonik; dengan trilogi 'John Wick' menjadi bukti apabila sesuatu watak itu dicipta untuk beliau - dia mampu membawakannya dengan berkesan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Atas sebab itulah nama Reeves mula disebut-sebut bakal melakukan penampilan sulung dalam siri dunia sinematik Marvel (MCU) seterusnya, selepas berakhirnya era pertama siri filem tersebut. Persoalannya - watak manakah yang paling sesuai dibawakan Reeves? Jom kita tengok 5 watak adiwira yang kami rasakan sesuai untuk pelakon terkenal ini.

1. Adam Warlock

keanu reeves adam warlock

Watak klasik ini membuat kemunculan pertama dalam siri komik Fantastic Four pada tahun 1967. Walaupun sudah lama direka, sehingga kini watak ini belum pernah dipaparkan dalam mana-mana filem rasmi terbitan Marvel, kecuali beberapa penampilan di dalam siri animasi khasnya animasi Guardians of the Galaxy.

Wujud beberapa petanda watak ini memang ada dalam dunia sinematik Marvel khasnya di dalam filem 'Guardians of the Galaxy', bagaimanapun tidak dinyatakan dengan jelas benar atau tidak sangkaan ini, buat masa sekarang.

Kenapa kami rasakan Keanu sesuai membawakan watak ini - lihat saja rambut Adam yang panjang dan beralun ditiup angin. Setakat ini, belum pernah lagi aktor terkenal ini mengubah warna rambutnya kepada warna kuning jadi adakah ini watak yang sesuai untuk dia cuba mengubah penampilan beliau?

2. Wolverine

keanu reeves wolverine

Setakat ini belum ada apa-apa pengumuman rasmi yang menggabungkan dunia X-Men ke dalam MCU, tetapi kami pasti akan ada kejutan satu hari nanti. Ini kerana X-Men merupakan salah satu pasukan adiwira yang paling dikenali ramai di seluruh dunia dan rugilah Marvel seandainya mereka tidak mengambil peluang ke atas francais ini secepat mungkin.

Watak 'Wolverine' memang sudah sebati dengan aktor asalnya iaitu Hugh Jackman, tetapi permulaan semula francais ini membolehkan aktor baru memperbaharui penampilan watak tersebut dan pada pendapat kami, Keanu Reeves layak untuk menggalas tanggungjawab itu.

Bagaimanapun, fizikal Reeves yang lebih langsing berbanding watak Wolverine asal, mungkin menjadi penghalang. Ini kerana Wolverine merupakan seorang yang rendah dan agak tegap orangnya berbanding Reeves.

3. Ghost Rider

keanu ghost rider marvel

Selepas melalui detik-detik hitam menyaksikan sendiri bagaimana aktor terkenal Nicholas Cage cuba melakonkan watak Ghost Rider/ Johnny Blaze dengan berkesan, penulis berpendapat ada baiknya watak menyeramkan ini diberikan kepada Keanu Reeves.

Kita semua tahu Keanu cukup handal membawakan watak lelaki yang sedang terseksa, jadi watak Johnny Blaze yang memilih untuk menggadaikan jiwanya kepada syaitan hanya semata-mata untuk menyelamatkan ahli keluarganya merupakan gabungan sempurna untuk kisah ini.

Selain itu, Keanu Reeves juga adalah seorang penggila motorsikal sejati yang turut bergelar pemilik sebuah syarikat membina motorsikal 'custom'. Nak bukti apa lagi dia akan jadi Ghost Rider yang lebih baik berbanding Nicholas Cage? Penulis menggelengkan kepala sajalah bila tahu Nicholas Cage dipilih sebagai Johnny Blaze. Langsung tak sesuai dan tak kena.

4. Namor

keanu namor marvel

Berbeza dengan Aquaman yang memaparkan aktor sasa Jason Momoa, watak Namor kurang mendapat publisiti di kalangan komik-komik Marvel. Salah satu watak paling lama dalam dunia Marvel, diterbitkan kali pertama pada tahun 1939 - watak Namor mungkin agak mencabar untuk digabungkan ke dalam dunia MCU dan watak yang lain, kerana lokasinya yang berada di tengah lautan.

Usaha untuk menerbitkan filem dengan watak Namor sebenarnya sudah bermula dengan perancangan untuk terbitan tahun 2007. Bagaimanapun, projek itu tidak kesampaian sebelum tajuk ini terus terumbang-ambing.

Sama seperti masalah yang dihadapi sebelum ini oleh watak Spider-Man dan Deadpool, hakcipta untuk penerbitan filem watak Namor dipegang oleh Universal Studios. Jadi situasinya lebih sulit berbanding dengan perjanjian yang telah berjaya dicapai di antara Marvel dan Sony dalam membawakan watak Spider-man ke dalam MCU. Walau apa pun, kami harap agar pakaian yang lebih senonoh diberikan pada watak ini sebelum diberikan kemunculan kali pertama di layar perak.

5. Gambit

keanu gambit marvel

Di antara kesemua watak yang ada, penulis merasakan setiap kali melihat wajah dan gaya rambut Keanu Reeves - hanya watak 'Gambit' akan bermain difikiran. Bagaimanapun penghalangnya sudah pastilah kedudukan Gambit yang dilihat agak tenggelam berbanding watak-watak francais X-Men yang lain.

Namun demikian, Gambit mempunyai kisah latar belakang yang menarik tentang bagaimana seorang kanak-kanak anak yatim terpaksa membesar seorang diri dengan kuasa luar biasa. Walaupun watak ini pernah dipaparkan dalam filem X-Men Origins - Wolverine, kemunculan watak tersebut dalam filem itu agak mengecewakan.

Sebuah filem 'spin-off' memaparkan watak Gambit lakonan Keanu Reeves yang menggabungkan kisah bagaimana dia membesar, sebelum menyertai pasukan X-Men, bercinta dengan Rogue serta hubungannya dengan watak jahat Mister Sinister, merupakan asas sebuah filem yang cukup kuat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)