Setiap kali berlaku insiden antara Palestin dan Israel, pasti akan ada usaha penentangan dibuat rakyat Malaysia; menggodam sistem mereka, melakukan tunjuk perasaan atau sekurang-kurangnya mengutuk kekejaman rejim Zionis dalam hati.

Bagaimanapun, sedar tak sedar rakyat Malaysia yang berhati waja ini kurang menyedari bahawa diri kita yang kecil ini sebenarnya agak bergantung dengan penyumbang-penyumbang dari Israel dalam industri hiburan arus perdana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh sebab itulah walaupun anda bingkas bangkit memboikot dana disalurkan ke Israel, dalam sudut lain kita banyak menyumbang kepada kejayaan mereka disebabkan oleh keperluan hiburan kita setiap hari.

1. Haim Saban

haim saban entertainment israel

Bagi kanak-kanak generasi 80-an dan 90-an, waktu petang pasti akan dihabiskan dengan menonton rancangan kartun; banyak kartun pada era itu diakhiri dengan logo 'Saban Entertainment' bukan?

Saban Entertainment ditubuhkan oleh Haim Saban, seorang pelarian berketurunan Yahudi Safardi (Sephardic) yang berhijrah ke Israel pada tahun 1956.

Dia gagal menamatkan sekolah memaksanya melakukan pelbagai kerja sebagai pemuzik.  Dia kekal dalam industri hiburan sebagai seorang jurupromosi muzik berpengaruh, bertanggungjawab membawa masuk ramai nama besar ke Israel untuk mengadakan persembahan.

Saban mula melibatkan diri dalam industri hiburan Amerika Syarikat, menjadi komposer kepada banyak kartun animasi terkenal sebelum lawatannya ke Jepun pada tahun 1984 memperkenalkan dia dengan siri TV Super Sentai.

Dia membawa usul mahu menterjemahkan rancangan itu kepada penonton dalam versi barat, mengambil masa lebih 8 tahun perbincangan sebelum berjaya meyakinkan eksekutif di saluran Fox untuk mengeluarkan dana.

Fox bersetuju untuk membeli lesen rancangan dari Jepun memulakan siri supra popular 'Mighty Morphin Power Rangers' yang menjadi batu asas kepada kejayaan Saban Entertainment.

Selain Power Rangers, Saban Entertainment juga menerbitkan siri terjemahan dan olahan semula lain seperti Digimon, Dragon Ball, Masked Rider, Transformers dan pelbagai siri animasi komik Marvel.

2. Gene Simmons

gene simmons israel

Bagi peminat muzik rock, nama Gene Simmons merupakan satu nama besar yang mengubah lanskap muzik dunia.

Terkenal sebagai pemain bass kumpulan KISS dan solekan muka unik, Gene Simmons atau nama sebenarnya Chaim Wiltz lahir pada 1949 di Haifa, Israel - anak kepada pelarian yang berjaya melarikan diri dari buruan tentera Nazi.

Pada usia Wiltz 8 tahun, keluarganya berpindah ke New York bagi mencuba nasib mengubah hidup susah di Israel. Wiltz pada usia remaja menukar namanya kepada Eugene Klein sebelum mula menggunakan nama 'Gene Simmons', sempena nama seorang pemuzik legenda bernama Jumpin Gene Simmons.

Sejarah keluarga Simmons tragik ekoran status mereka menjadi mangsa pendudukan tentera Nazi.

Ibu Simmons salah seorang tahanan perang yang dipaksa bekerja sebagai pengutip ubi kentang dalam kem tahanan - sehinggalah tentera Jerman menyerah kalah pada tahun 1945. Neneknya pula salah seorang mangsa yang dibunuh tentera Jerman menggunakan kebuk gas beracun.

Selepas bebas, ibu Simmons berkahwin pada tahun 1946 sebelum berpindah ke Israel pada tahun 1947. Masalah kewangan membelenggu pasangan itu sepanjang mereka di Israel.

Simmons sendiri semasa kecil perlu belajar meniaga buah bagi membantu pendapatan keluarga, sebelum hidup mereka berubah selepas berpindah di Amerika Syarikat.

3. Avi Arad

avi arad marvel spiderman

Sama seperti Gene Simmons, Avi Arad yang lahir pada tahun 1948 di Givatayim, Israel merupakan seorang anak pelarian; ibu bapanya lari meninggalkan negara asal mereka Poland untuk menyelamatkan diri.

Hidup Arad sejak kecil penuh dengan konflik ekoran seiring dengan usaha gerakan Israel menubuhkan negara sendiri, yang bermula pada tahun kelahirannya. Arad membesar dalam suasana tidak stabil sehingga turut terlibat sebagai tentera, dalam peperangan 60 hari dalam tentera Israel pada tahun 1967. Perang itu dimenangi Israel, membawa kepada pembentukan rasmi negara itu.

Selepas tamat konflik, Arad hadir ke Amerika Syarikat menyambung pengajian dalam bidang perniagaan. Bagi menyara diri, dia bekerja sambilan sebagai seorang pemandu lori.

Minatnya terhadap komik dan permainan membawa Arad bekerja dengan 3 syarikat gergasi permainan dunia iaitu Mattel, Tyco dan Hasbro; membolehkan dirinya mengumpul pengalaman belajar dan memahami selok-belok perniagaan. Dia berjaya  membuka syarikat rekaan permainan sendiri dinamakan Toy Biz.

Pembukaan Toy Biz bersama rakan kongsi beliau Isaac Perlmutter membolehkan Toy Biz mula mengeluarkan siri permainan berasaskan watak komik Marvel. Nasib mereka mula berubah dengan lebih mendadak selepas masalah kewangan yang dihadapi syarikat penerbitan Marvel Comics sehingga berdepan status bankrap, membolehkan Toy Biz membeli Marvel.

Arad dan Toy Biz memulakan kempen rejuvenasi semula Marvel menerusi perancangan teliti, yang membawa kepada rancangan untuk memperkembangkan lagi perniagaan di bawah payung Marvel ke dalam bentuk media lain, tidak lagi terhad kepada komik dan siri animasi semata-mata.

Avi Arad adalah tulang belakang utama kepada permulaan kenaikan populariti siri filem bertemakan komik dengan penerbitan filem X-Men, sebelum benar-benar memecah pasaran dengan trilogi Spider-Man pertama lakonan Tobey Maguire.

Pada tahun 2006 dia melepaskan semua jawatan dalam Marvel bagi memulakan syarikat sendiri, tetapi terus berkhidmat sebagai produser dalam majoriti filem berasaskan komik ciptaan Marvel sehingga kini.

4. Isaac Perlmutter

isaac perlmutter marvel

Tak ramai mengenali nama beliau bukan? Siapa beliau?

Isaac Perlmutter adalah individu paling tinggi jawatannya dalam Marvel Entertainment, memegang jawatan sebagai pengerusi.

Beliau dan Avi Arad sebagai rakan kongsi menyelamatkan Marvel Comics sebagai pemilik baru, sebelum kedua-duanya memperkembangkan syarikat komik itu menjadi gergasi media yang kita kenali sekarang.

Berbeza dengan Arad, Perlmutter memilih untuk terus menceburkan diri bersama Marvel secara langsung sehingga kini, dalam aspek pengurusannya. Perlmutter terkenal sebagai seorang yang lebih gemar duduk di belakang tabir, lahir pada tahun 1942 ketika Palestin masih dikuasai oleh British.

Dia menetap di Israel, terlibat dalam perang 60 hari pembebasan Israel pada tahun 1967 sebelum memberanikan diri berhijrah ke New York hanya dengan wang tunai berjumlah $250 pada usia 24 tahun......tanpa sebarang kelulusan pendidikan tinggi.

Perlmutter menyara hidup dengan menggunakan kemahirannya dalam bahasa Hebrew menjadi penterjemah dan jurucakap kepada majlis-majlis pengebumian sebelum Toy Biz mengubah nasib beliau.

Tidak banyak yang diketahui berkenaan Perlmutter ekoran sifat suka berahsia yang dimiliki beliau. Beliau terkenal kedekut, sangat penjimat serta suka mengawal situasi.

Oleh sebab itulah eksekutif di Marvel sendiri sukar bekerjasama dengan beliau kerana sifatnya yang gemar mendesak, khasnya dalam isu berkaitan hala tuju kreatif.

Namun Perlmutter adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan banyak langkah penjimatan bajet semasa awal era dunia sinematik Marvel mahu bertatih, berani mengambil risiko melantik pengarah Jon Favreau yang rekodnya agak malap ketika itu untuk mengarahkan filem pertama 'Iron Man.'

Pada hari pertama pelancaran filem tersebut yang diterbitkan pada tahun 2008, Perlmutter hadir ke pawagam dengan memakai rambut dan misai palsu, bagi mengelakkan dirinya dikenali hadirin.

'Iron Man' di bawah kendalian pengarah pilihannya sendiri diterima baik peminat filem dunia, bertanggungjawab memulakan kegilaan dunia terhadap filem berasaskan komik yang nampaknya masih belum reda trendnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)