Pertama sekali, admin ingin meminta maaf kerana menulis artikel ini tempohari. Ada masanya, kita perlu berani menghadapi ranjau berduri sebelum dapat merasa tuaian hasil yang memuaskan hati kita, jadi anggaplah artikel ini sebagai pengubat kepada artikel tersebut.

Jika dalam artikel kami, ramai yang diperkenalkan kepada pemuda dan pemudi berbakat seperti kumpulan Megaboys, MAX247 dan Gula-Gula, kali ini mari kita berkenalan dengan Isaac Voo.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapa Isaac Voo?

isaac voo malaysia kpop 2

Isaac Voo adalah seorang pemuda kelahiran Sabah yang memberanikan diri mencuba bakat dalam sebuah siri rancangan bertajuk BOYS24 di Korea Selatan, bukan Korea Utara. Program yang bermula pada tahun 2016 dengan 27 peserta itu memerlukan kesemua peserta lelaki menampilkan bakat mereka melalui siri jelajah konsert.

Isaac berjaya menjadi antara peserta teratas dalam siri program tersebut dan dia menduduki tangga keenam daripada 27 peserta, yang melayakkan dia terpilih memasuki siri-siri latihan untuk diserap menjadi artis KPOP professional di Korea Selatan.

Isaac Voo atau nama penuhnya Isaac Voo Kai Meng lahir pada 12 Disember 1994 di Kota Kinabalu, Sabah. Anak bongsu dalam adik beradiknya, dia bersekolah di SJK Chung Hwa di daerah Likas dan SM Lok Yuk. Meminati sukan bola tampar, Isaac juga adalah peminat setia rancangan terkenal Korea Selatan "Running Man."

isaac voo malaysia kpop posing

Mula meminati bidang hiburan sejak berumur 17 tahun ketika menyertai persembahan untuk Hari Guru sekolah, Isaac tidak menoleh ke belakang lagi dengan mula menyertai pertandingan pencarian bakat yang akhirnya membawa dia kepada siri BOYS24.

Selepas berjaya terpilih sebagai salah seorang pemenang BOYS24, pada Ogos 2017, Isaac Voo mengesahkan yang dia telah pun berjaya mendapat tempat sebagai salah seorang peserta kumpulan Re-Born yang akan melakukan penampilan sulungnya tidak lama lagi.

Jika berjaya, Isaac akan menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya memecah masuk ke dalam industri hiburan KPOP sebagai anggota tetap dan pada kami yang mempunyai pengalaman buruk tentang cubaan anak Malaysia dalam menghasilkan muzik KPOP, pencapaian Isaac Voo adalah sesuatu yang kita semua patut banggakan.

Kami dari team Iluminasi mengucapkan selamat maju jaya kepada Isaac dan moga kejayaan ini bakal memberikan inspirasi kepada anak muda lain untuk lebih serius mengejar impian mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)