Oleh pada 16 Jul 2018 kategori

Negara KPop hari ini bukanlah negara yang maju sejak azali. Rakyatnya terpaksa melalui pelbagai halangan dan dugaan dalam mengubah nasib mereka kepada seperti hari ini. Semuanya tercapai kerana pimpinan negara yang ikhlas dan bijaksana serta gabungan rakyat yang bersatu padu. 

Latar Belakang Korea Sejak Tahun 1900an

korea sekitar 1900an

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara tahun 1910 hingga 1945, Korea adalah salah sebuah koloni empayar Jepun, yakni sebahagian tanah jajahan Jepun. Sebagai kesan daripada pelaburan kapital antara tahun 1930an hingga 1940an, Korea melalui sebuah fasa perindustrian, modenisasi dan pertumbuhan ekonomi. Ketika pemerintahan Jepun, sebanyak 8 buah syarikat besar telah diasaskan dan beberapa firma lain dikembangkan kesan daripada pelaburan negara matahari terbit itu. 

Namun begitu, hasil perkembangan ekonomi tersebut lebih memberi manfaat kepada rakyat Jepun, berbanding rakyat Korea, dan mereka terus hidup dalam kemiskinan. Ekonomi di Korea terus merudum ketika Perang Pasifik (a.k.a Perang Dunia ke-2 yang berlaku di Asia antara tahun 1941 - 1945), di mana Jepun terus mengeksploitasi Korea dari segi ekonomi dan sumber manusia. Rakyat Korea dipaksa untuk mengasimilasi dengan budaya Jepun. Korea pada waktu itu pula adalah antara negara yang paling miskin di dunia. 

1948 - 1960: Republik Pertama dan Perang Saudara Korea

perang saudara di korea

Perang Saudara Korea telah mengakibatkan pembahagian Korea kepada 2 buah wilayah, iaitu Utara dan Selatan. Perang tersebut turut memusnahkan sebahagian besar infrastruktur sedia ada. First Republic of South Korea (Republik Pertama) telah ditubuhkan kesan daripada perang berkenaan, di bawah kepimpinan Syngman Rhee sehinggalah tahun 1960. Di bawah pemerintahan beliau, ekonomi Korea lebih memberi fokus kepada aktiviti pertanian. 

1960 - 1961: Republik Kedua

sempadan korea utara dan korea selatan 966

Republik Kedua Korea Selatan hanya wujud dalam tempoh yang agak singkat, iaitu selama setahun, namun kewujudannya memberi impak yang sangat mendalam kepada ekonomi dan sejarah Korean Selatan melalui ideologi dan polisi. Pemerintahan pada waktu itu di bawah Democratic Party mempunyai pendirian ekstrim anti-komunis (seperti Republik Pertama), namun dalam masa yang sama menyokong polisi keutamaan ekonomi, mempromosikan hubungan ekonomi dengan Jepun. 

1961 - 1963: Pengambilan Alihan Kuasa Oleh Tentera

korea selatan diambil alih tentera

Pada tahun 16 Mei 1961, berlaku pengambilan kuasa kerajaan oleh tentera di bawah Supreme Council for National Reconstruction (SCNR). Sebab utama untuk menjatuhkan Republik Kedua adalah kerana ada bantahan serta ketidakpuasan hati dalam kalangan pimpinan tentera terhadap polisi politik dan ekonomi sedia ada. Pengambil alihan kuasa tersebut dipimpin oleh Park Chung-Hee, yang kemudiannya menjadi Presiden Korea Selatan dari tahun 1963 hinggalah pembunuhannya pada 1979.

Perkara pertama yang dilakukan Park setelah mengambil alih negara adalah membentuk pelan 5 tahun kebangsaan (1962-1966) bertujuan membangunkan ekonomi negara melalui pengembangan industri pertanian dan industri tenaga. Antara usaha beliau adalah membangunkan industri asas seperti penghasilan baja kimia, simen, penapisan minyak, besi, logam, serta membina infrastruktur seperti jalan raya, rel kereta api dan pelabuhan.

Pelan 5 tahun oleh Park juga menekankan peningkatan peluang pekerjaan kepada rakyatnya, di samping mempromosikan bidang sains dan teknologi. Walaupun pelan tersebut tidak menjadikan ekonomi Korea Selatan stabil secara serta-merta, ianya berjaya membina asas-asas modenisasi sebagai persediaan untuk kejayaan jangka masa panjang ekonomi dan polisi.

1963 - 1972: Republik Ketiga

park chun hee korea selatan 627

Ketika pemerintahan Republik Ketiga, Korea Selatan telah menerima $USD 300 juta daripada Jepun dalam bentuk tuntutan hartanah, dan negara tersebut masih bergantung kepada bantuan luar untuk membangun, terutamanya daripada Amerika Syarikat, sebagai habuan kerana menghantar tentera mereka ketika Perang Vietnam.

Korea Selatan menggunakan wang tersebut demi mencapai sebuah ekonomi yang stabil, dengan melancarkan pergerakan Saemaeul bagi membangunkan kawasan pedalaman. Kepimpinan yang mampan pihak kerajaan serta penggunaan secara efektif tenaga kerja yang murah berjaya membantu mengembangkan ekonomi Korea Selatan. 

1972 - 1981: Republik Keempat

samsung industri elektronik

Ketika pemerintahan Republik Keempat, kerajaan banyak menyokong industri berat seperti elektronik dan logam. Industri-industri ini berupaya berkembang maju dengan sokongan kerajaan, yang mana memberikan kebebasan kepada kepimpinan syarikat untuk membelanjakan wang tanpa berasa kekangan bajet. Hasilnya, aliran tunai mula masuk menguatkan lagi ekonomi sedia ada kerana bertambahnya keyakinan pengguna terhadap industri berat. 

1981 - 1997: Penstrukturan Semula Pasaran

penstrukturan semula pasaran korea selatan

Sehingga penghujung tahun 1995, ekonomi Korea Selatan adalah yang ke-11 terbesar di dunia. Namun begitu, isu kewangan negara itu menjadi parah apabila Korea Selatan bersetuju dengan pakej bantuan kewangan (bailout) sebanyak $USD 57 bilion oleh Amerika Syarikat sebagai pertukaran bagi penstrukturan semula pasaran negara itu. Korea Selatan menerima tekanan besar untuk menstruktur semula sektor kewangan yang menjadikannya lebih telus, berasaskan pasaran dan mudah diawasi (oleh Amerika Syarikat). 

1997 - 1999: Krisis Ekonomi Asia (IMF)

kesan krisis ekonomi asia terhadap korea selatan

Korea Selatan adalah antara negara yang terkesan dengan krisis ekonomi asia yang berlaku sekitar tahun 1997 hingga 1998. Rizab negara pada waktu itu adalah sangat terhad, sekitar $USD 6 bilion, yang sebahagian besarnya diperuntukkan untuk perbelanjaan akan datang. Kim Young-Same, Presiden Korea Selatan pada waktu itu gagal melindungi ekonomi negaranya, dan terpaksa diambil alih oleh Presiden Kim Dae-Jung bagi menstabilkan semula masalah kewangan yang dihadapi. 

Presiden Kim Dae-Jung secara umum menentang pengaruh Chaebol serta sistem kewangan dan kerajaan ketika beliau mengambil alih pejabat. Di bawah pemerintahan beliau, dengan bantuan rakyat dan bantuan kewangan sebanyak $USD 58 bilion oleh International Monetary Fund (IMF), Korea Selatan berjaya membayar hutang-hutangnya dan menstabilkan ekonomi. 

Kesimpulan

bandar seoul

Walaupun Malaysia dan Korea Selatan mula membina negara masing-masing pada waktu yang hampir sama, Korea Selatan dilihat lebih jauh ke depan dari segi ekonomi, teknologi dan lain-lain. Malaysia yang kaya dengan sumber asli gagal menandingi ekonomi negara KPop itu. Jadi di mana silap kita?

Sebagai rakyat, kita sendiri harus berubah, kerana segalanya bermula dari bawah. Sekiranya kita berjaya mengubah diri kita menjadi lebih baik, tidak mustahil perkara yang sama boleh dicapai untuk Malaysia. Ayuh, ke arah Malaysia yang lebih padu. 

Tambahan: Pengaruh Golongan Chaebol Dalam Ekonomi Korea Selatan

pengaruh chaebol

Chaebol merujuk kepada kumpulan korporat di Korea Selatan, yang dijalankan oleh keluarga-keluarga elit, melalui penguasaan monopoli atau oligopoli produk dan industri. Mereka ini boleh dibandingkan dengan kumpulan konglomerat di Amerika Syarikat, dan Zaibatsu di Jepun. Golongan ini mula wujud dan mula berkembang ketika era pemerintahan Presiden Park Chung-Hee. Beliau melihat golongan Chaebol sebagai kumpulan yang penting dalam membangunkan ekonomi Korea Selatan yang masih goyah pada ketika itu. 

Sumber:

  1. washingtonpost.com
  2. managementtoday.co.uk
  3. linkedin.com
  4. en.wikipedia.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)