Seoul : Salji masih lagi turun menutupi jalan, Puan Kim bergerak merentasi cuaca yang menghampiri 0 darjah celcius. Kebanyakan orang sudah pun berlindung di dalam kawasan rumah, sementara beliau tetap meneruskan rutin harian beliau meneroka lorong-lorong mencari kertas terpakai dan sampah yang boleh dikitar semula.
Dengan kepayahan kerana dia terbongkok-bongkok, itulah apa yang beliau lakukan untuk terus hidup ketika berumur 81 tahun. Pada hari biasa, dia akan mengelilingi bandar beberapa kali berjalan kaki, mengumpulkan lebih 100kg sampah yang akan dijual pada pusat pengumpul dengan harga 100 won (RM0.39) satu kilogram.
BESARKAN TEKS A- A+
Jumlahnya hanya sekadar 10,000 won atau RM38.57 sehari, itupun kalau pungutan pada hari itu baik.
Pendapatan tersebut merupakan amaun yang amat kecil untuk hidup di negara yang maju dan kos sara hidupnya tinggi seperti Seoul. Tetapi untuk 3 juta warga tua Korea Selatan yang duduk dalam kemiskinan, ini adalah satu-satunya cara untuk mereka menghabiskan usia tua mereka.
"Saya bekerja kerana ada keperluan membeli ubat dan yang lebih penting, saya perlu makan. Kalau lapar sangat, saya penuhkan perut dengan air kosong dan kemudian makan makanan bajet. Kemudian saya teruskan kerja," kata Puan Kim, yang kebiasaannya terpaksa membelanjakan 2,000 won (Rm7.80) untuk nasi dan sup sahaja.
Di Korea Selatan, hampir separuh daripada warga tua berumur lebih 65 tahun hidup dalam kemiskinan, mengikut kaji selidik OECD bagi tahun 2016. Hampir suku daripada jumlah tersebut hidup sendirian, kesunyian dan mengalami masalah kemurungan.
Walaupun golongan warga tua hanyalah 13 peratus daripada jumlah populasi di Korea Selatan ketika ini, jumlah itu dijangka meningkat kepada 40 peratus pada tahun 2050. Para pengkritik berpendapat, jika masalah kemiskinan di kalangan warga tua tidak diperbaiki dan terus diabaikan, ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan kebajikan masyarakat sana.
Bagaimana generasi yang bertanggungjawab menjadikan Korea Selatan salah sebuah negara paling maju dalam dunia, akhirnya hidup dalam sengsara?
Pengorbanan satu generasi
Pulihnya Korea Selatan daripada kisah krisis seperti penjajahan Jepun, perang Kora dan krisis ekonomi 1997 amat bergantung kepada pembangunan teknologi yang menjadikan Korea Selatan kuasa ekonomi dunia.
Professor Lee Ho-Sun dari Korea Soongsil Cyber University yang mengkaji bantuan kebajikan untuk golongan miskin warga tua berkata, taraf pesat pembangunan ekonomi mereka ketika ini adalah hasil titik peluh mereka yang sudah tergolongan dalam kelompok warga tua. Warga tua ini pula tidak pernah berhenti bekerja - amat biasa sekali untuk melihat seseorang yang sudah putih rambutnya bekerja sebagai pengawal keselamatan, pencuci atau pengutip sampah yang bekerja di sekeliling kota Seoul.
Ini adalah apa yang disebutkan sebagai nasib generasi yang dilupakan - mereka yang lahir pada awal era kesusahan tetapi terlalu dapat merasai nikmat hasil titik peluh mereka sendiri.
"Semua keringat dicurah untuk membangunkan negara ini dan kini mereka hidup merana ketika usia tua mereka," kata beliau.
Kebanyakan di antara mereka berada pada kemuncak karier ketika krisis ekonomi 1997 yang mengakibatkan hampir 2 juta penduduk kehilangan pekerjaan. Ramai juga di antara mereka yang menjadi mangsa budaya korporat Korea Selatan yang mengorbankan golongan pekerja berusia lanjut dengan pekerja muda yang mampu digajikan dengan lebih murah.
Sistem pencen cuba diperkenalkan pada sekitar lewat 80-an. Dengan elaun bulanan sebanyak 200,000 won (RM771.00 pada kadar hari ini) dan kelayakan yang menolak mereka yang mempunyai anak, pengkritik dasar berkata cubaan untuk mewujudkan satu sistem persaraan untuk generasi tua Korea Selatan berlaku terlalu lambat.
Dalam sebuah negara yang purata umur adalah 80 tahun, ramai warga tua terpaksa mencari jalan menyara hidup sendirian. Dalam sesetengah kes, ada juga warga tua yang terpaksa melacurkan diri untuk mendapatkan nafkah hidup. Kata Professor Ho,"warga tua Korea Selatan merasa bangga mereka dapat berkhidmat pada negara dan mereka tidak mengharapkan sebarang balasan. Jadi mereka hanya mendiamkan diri lalu meneruskan kehidupan mereka tanpa bersungut."
Bila anak pun tak membantu
Selain statistik, peranan psikologi dan emosi generasi emas Korea Selatan ini menggambarkan betapa teruknya situasi yang mereka hadapi.
"Memang sejak dari muda hidup mereka susah, sebab itulah saya mahu membantu kebajikan warga tua kami," kata Shin Sun Ho, pengurus Silver Volunteer Cooperation Association, sebuah NGO yang berperanan membantu warga tua. NGO itu ditubuhkan untuk membantu mereka yang terlepas pandang dari bantuan kerajaan, seperti mereka yang tidak layak mendapat bantuan dalam rekod kerana mempunyai anak, tetapi sebenarnya langsung tidak berhubung dengan anak mereka sekian lama.
"Realitinya, majoriti warga tua ini tidak berhubung dengan anak mereka," kata Encik Shin.
Salah seorang adalah Puan Yim, seorang penyutip sampah berumur 86 tahun. Selepas terpisah dari keluarga ketika perang Korea, dia merantau mencari kerja seperti pembantu ladang atau mencuci rumah. Selepas berkahwin, suaminya pula lebur segala simpanan untuk memulakan perniagaan yang gagal. Walaupun begitu, Puan Yim bekerja keras menyara 5 anak sehingga seorang dapat ke universiti. Begitupun, mereka semua berpindah ke bandar selepas berkahwin dan tiga tahun lalu (2013) suaminya pula meninggal lalu dia kini keseorangan tanpa sokongan keluarga.
"Bila anak-anak saya datang melawat, mereka datang serentak. Kemudian semuanya balik. Cucu saya takut dengan kediaman saya, mereka kata banyak lipas. Saya jadi sunyi dan bosan," kata dia dengan ketawa.
Saya tak mahu anak risau
Berbekalkan nasihat kawan-kawan, Puan Yim mula bekerja sebagai pengutip sampah untuk menghilangkan kebosanan - alasan biasa kedengaran yang disebut golongan warga tua.Tetapi Encik Shin berpendapat, itu hanyalah alasan untuk menutup realiti yang generasi tua seperti Puan Yim tidak mahu membebankan anak-anak mereka, jadi mereka lebih sanggup bekerja sendiri dari meminta dengan anak-anak.
Laporan tahun 2015 menyebut seramai 58.5 peratus warga tua Korea Selatan hidup dengan perbelanjaan sendiri sementara 30 peratus daripada mereka masih lagi bekerja. Salah satu penjelasan kenapa ia berlaku adalah kerana generasi tua Korea Selatan merasakan mereka gagal memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, jadi tidak adillah jika mereka memohon pertolongan anak-anak.
Mentaliti menyalahkan diri sendiri ini menyebabkan wujudnya satu gejala lain pada generasi muda Korea Selatan. Menurut Prof.Ho : "Generasi muda bukannya tamak tetapi mereka tak pernah dididik untuk saling bantu membantu dalam sistem sosial dan budaya. Generasi sekarang, apabila ibu bapa mereka berkata mereka baik, anak-anak akan percaya tanpa memikirkan kebenaran kata ibu bapa."
Walaupun masih cergas, Puan Yim mengakui dirinya merana. "Anak saya anggap saya sihat. Tapi bila saya pulang ke rumah, badan saya sakit dan belakang saya juga sakit. Saya tak beritahu anak-anak kerana saya tak mahu mereka risaukan saya."
Jurang perbezaan antara generasi muda dan tua di Korea Selatan adalah satu isu penting pada Encik Shin - pada pendapat dia, untuk menyelesaikan isu ini, anak muda harus dididik untuk sedar jika diteruskan, satu hari nanti mereka mungkin akan mengalami nasib serupa jika mentaliti ini terus dipegang.
Sakit pun tak mahu bantuan
Puan Kim sebenarnya pernah bekerja sebagai seorang pembantu rumah tetapi dilepaskan selepas dia dikhabarkan semakin berusia.
Tidak mahu menyusahkan anak-anak, beliau menyewa sebuah bilik berharga 50,000 won (RM192) sebulan. "Lipas banyak, tapi saya tak ada pilihan lain," kata beliau. Berumur 81 tahun, dia tahu masanya kian suntuk.
"Bila saya makan, saya akan muntah. Anak saya minta saya ke hospital tapi saya enggan. Begitupun, jika terpaksa, saya perlu sedia untuk membayar yuran perubatan, sebab itu saya masih bekerja."
Kerajaan Korea Selatan memperkenalkan Skim Insurans pada tahun 2008 untuk membantu golongan warga tua, tetapi setiap individu perlu memohon dan disaring sebelum mendapat kelulusan. Bagaimanapun, bagi warga tua seperti Puan Kim yang hari-harinya dipenuhi dengan rutin untuk meneruskan hidup, mereka amat kurang pendedahan kepada program tersebut.
"Generasi mereka tidak ada pendedahan kepada konsep kebajikan sosial. Mereka bukan jenis pandai meminta tolong, berkira apa mereka akan dapat atau siapa boleh membantu," kata Prof.Ho.
Masa depan yang gelap bagi warga tua Korea Selatan
Elemen kekeluargaan dalam masyarakat Korea Selatan semakin menjadi kurang relevan dan sistem kebajikan masyarakatnya tidak mampu menampung masalah yang muncul.
Wakil kerajaan, Encik Yang Seung-Jo yang juga pengerusi National Assembly Health and Welfare Committee berkata, "dulu, kita boleh mohon bantuan keluarga untuk selesaikan masalah sara hidup warga tua. Tapi kini, mereka yang berumur 30 ke 40 sendiri tidak mampu menampung hidup mereka dengan pendapatan mereka."
Dengan ekonomi yang perlahan dan kadar tenaga kerja muda yang hanya mencecah 10.4 peratus, situasi warga tua di Korea Selatan nampaknya tidaklah begitu baik.
"Kami bukannya mahu mengabaikan nasib warga tua, itu semua ada dalam agenda kami cuma kami perlu mengubah polisi sedia ada," kata beliau. "Generasi muda harus bekerja untuk menjana pendapatan supaya mereka mampu membayar cukai yang akan digunakan sebagai wang saraan pencen warga tua. JIka mereka tidak dapat menyumbang kepada ekonomi dan tidak mampu menjaga ibu bapa mereka, itu adalah masalah besar pada negara. Selagi masalah golongan muda tidak selesai, kita tidak dapat menyelesaikan masalah golongan tua."
"Terlalu ramai yang tidak membayar cukai yang perlu dikurangkan supaya kita boleh tinggikan jumlah penerima cukai," tambah beliau.
Ke arah perlindungan yang lebih sempurna
Encik Yang memberitahu," bajet untuk pencen adalah 9.4 trillion won (lebih kurang RM36 billion) jadi ini satu beban besar pada kerajaan."
Prof Ho berpendapat melihat kebajikan warga tua bukanlah hanya sekadar satu janji kerajaan, tetapi tugas."Kerajaan sepatutnya menyediakan perlindungan keseluruhan merangkumi kehidupan dan kebahagiaan warga tua, bukan sekadar keperluan fizikal semata-mata."
Encik Shin pula berkata," dah terlalu banyak kes warga tua dilanggar ketika mengutip sampah di jalanan. Orang ramai perlu sedar bagaimana kehidupan mereka ini setiap hari."
Tetapi bagi Puan Kim (dalam gambar di atas bersama penulis asal artikel ini), ini semua hanyalah cakap-cakap kosong untuk masa depan yang beliau sendiri tidak mampu bayangkan dan amat berlainan dengan kehidupan seharian beliau.
"Saya akan jaga diri saya sendiri," kata Puan Kim. "Kemudian saya akan keluarkan semua simpanan saya, pergi ke hospital dan mati di sana, tanpa pengetahuan anak-anak saya sendiri. Itu saja matlamat saya sekarang."
Selepas membaca kisah seperti ini, apabila direnungkan, kehidupan kita di Malaysia tidaklah seburuk yang selalu kita atau mungkin sesetengah pihak suka gambarkan. Apa yang penting, kita ambil yang baik dan buang yang buruk serta senantiasa bersyukur dengan apa saja nikmat yang ada pada kita hari ini, esok atau semalam.
Artikel ini adalah terjemahan artikel asal ini.