masalah hutang dan kewangan korea selatan

Fenomena industri hiburan Korea Selatan ketika ini belum nampak petanda akan reda. Kejayaan negara mereka muncul sebagai salah satu kuasa utama industri hiburan dunia, merupakan satu pencapaian yang luar biasa.

Di pacu oleh industri KPOP serta penghasilan drama dan filem yang membawa identiti hidup mewah dan bergemerlapan, di sebalik setiap keindahan yang terpapar pasti akan wujud penggiat seni Korea Selatan yang tidak takut menceritakan realiti sebenar masyarakat mereka.

Filem dan siri TV negara tersebut semakin terbuka memaparkan individu dalam keadaan terdesak, dibebani hutang sehingga sanggup melakukan apa saja untuk selamat. Saksikan filem 'Parasites' atau siri TV 'Squid Game' yang menjadikan individu sedemikian sebagai tema utama cerita.

Adakah di sebalik setiap keindahan dunia hiburan yang dipacu BTS dan Blackpink, tersembunyi kisah duka yang jarang diceritakan secara lebih terbuka?

Hutang negara yang menimbun dan meningkat

golongan berhutang korea selatan

Salah satu isu yang sering jadi hangat di kalangan masyarakat kita, adalah berkaitan statistik peratusan hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) yang sering dijadikan hujah politik.

Ada pihak mengatakan tidak ada masalah untuk kadar itu ditinggikan. Ada pihak yang berkeras mahu angka itu kekal atau diturunkan. Korea Selatan ketika ini sedang berhadapan kadar hutang berbanding KDNK pada nilai 106.6%, ketika kali terakhir dilapor pada bulan Disember 2020.

Jika dibandingkan dengan kita, Malaysia hanya berada pada kadar 57.16%. Kali terakhir negara kita menyamai nilai yang sedang melanda Korea Selatan ketika ini, adalah pada tahun 1986 apabila kadar hutang negara kita mencecah 103.4%.

Kadar hutang berbanding KDNK sesebuah negara memberi gambaran awal kemampuan sesebuah negara secara purata untuk menghasilkan sesuatu sebagai janaan pendapatan jika dibandingkan dengan nilai hutang sedia ada.

Semakin tinggi kadar hutang berbanding KDNK, semakin rendah tahap kemampuan sesebuah negara untuk membayar balik hutang mereka - disebabkan oleh beban hutang yang perlu ditanggung gagal ditampung oleh pendapatan negara yang dijana.

Trend 'bittoo' - berhutang untuk melabur

bittoo korea selatan

Situasi ini yang membarah setiap tahun mula menyebabkan jumlah hutang isi rumah di Korea Selatan turut meningkat, tahun ke tahun.

Majoriti masalah ini berpunca akibat kegagalan sistem sosial mereka untuk menawarkan pelan pendapatan yang mencukupi, memaksa orang ramai mula meminjam wang untuk dijadikan kaedah membayar hutang atau dijadikan modal pelaburan.

Salah satu kegilaan masyarakat Korea Selatan adalah kaedah melakukan pinjaman yang dinamakan sebagai 'bittoo,' di mana seseorang individu membuat pinjaman untuk dilaburkan semula ke dalam pasaran saham - kemuncaknya berlaku pada penghujung tahun 2020 ketika pasaran saham Korea Selatan sedang melambung.

Orang ramai berebut melakukan pinjaman disebabkan oleh kadar faedah yang rendah yang pada asalnya dilaksanakan bagi membolehkan aliran wang tunai ke dalam pasaran berlaku dengan kukuh, untuk berhadapan Covid-19.

Apa yang menakutkan, kegilaan itu turut disertai pelajar serta individu-individu yang tiada pendapatan tetap; meningkatkan risiko mereka untuk terbeban dengan sebarang perubahan yang boleh berlaku.

Hasilnya, dalam tempoh hanya beberapa bulan kadar hutang isi rumah di Korea Selatan melambung tinggi, memaksa kerajaan Korea Selatan mengambil tindakan drastik mengumumkan pada bulan Julai tahun 2021 pengetatan syarat pinjaman serta kenaikan kadar faedah bagi membendung masalah ini.

Mereka yang ketika ini sudah dibebani masalah hutang, berkemungkinan besar akan dibebani hutang lebih tinggi berbanding sedia kala.

Masalah pengangguran dan jurang pendapatan yang ketara

beban masalah hutang masyarakat korea selatan

Walaupun dari luarannya, apa saja tentang Korea Selatan tampak indah belaka - terdapat dua masalah utama yang membelenggu negara mereka; kadar pengangguran anak muda yang tinggi serta jurang pendapatan antara teratas dan terbawah yang terlalu berbeza.

Apa yang sangat membimbangkan, anak-anak muda di sana merupakan kumpulan paling terjejas, mengalami peningkatan mendadak kadar pengangguran dari 22.9 peratus pada tahun 2017 ke 27.2 peratus pada bulan Januari 2021, untuk kategori 15 ke 29 tahun usia.

Secara ayat mudah, 1 daripada 4 anak muda Korea Selatan tiada pekerjaan atau sumber pendapatan tetap. Masalah ini turut tidak dibantu kewujudan jurang pendapatan yang terlalu luas perbezaannya; beza pendapatan T20 dengan B20 dalam sistem ekonomi Korea Selatan, meningkat daripada 105x pada tahun 2018 ke 166x pada tahun 2020.

Kegagalan sistem ekonomi mereka ini turut mengakibatkan Korea Selatan menjadi negara paling teruk terjejas berbanding negara OECD lain, dalam kadar kemiskinan fakir warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Lebih 40% warga tua Korea Selatan hidup dalam keadaan fakir, sementara anak-anak mereka pula sukar atau gagal mendapatkan peluang pekerjaan.

Pasaran hartanah semakin tidak terkawal harganya dan jumlah hutang yang perlu ditanggung semakin meningkat, ekoran status Korea Selatan menjadi antara negara terawal menaikkan kadar faedah pinjaman bagi menangani masalah rakyat yang terlalu suka berhutang.

Ketika ini kerajaan Korea Selatan sedang mensasarkan tiga industri utama sebagai pemangkin iaitu pengeluaran komponen elektronik, komponen bateri dan produk biofarmaseutikal; diharapkan mampu mengembalikan ekonomi mereka ke tahap yang lebih stabil.

Selagi situasi itu belum dapat digapai, akan makin banyaklah karya yang bertemakan masalah beban hutang masyarakat Korea Selatan terus dihasilkan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)