(Kim Seol-hyun)

K-Pop. Satu fenomena yang telah menggegarkan dunia muzik. Industri muzik Korea Selatan kelihatan seperti tidak mahu berhenti dan meneruskan langkah-langkah yang dilihatkan akan menjadi semakin dahsyat.

Antara salah satu bukti bahawa kumpulan K-Pop semakin mempengaruhi dunia adalah melalui jumlah tontonan video mereka di Youtube.

Kumpulan seperti BTS dan Blackpink kini menerajui jumlah ini dengan jauh meninggalkan penyanyi-penyanyi dari Amerika Syarikat seperti Ariana Grande dan lain-lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Video Blackpink bertajuk "Kill This Love" yang dilancarkan pada 4 April 2019 memperoleh 56.7 juta tontonan dalam hanya 24 jam, sekaligus memadamkan rekod sebelumnya iaitu "Thank You, Next" oleh Ariana Grande yang memperoleh 46 juta tontonan.

Akan tetapi, seminggu selepas rekod ini dipecahkan oleh Blackpink, kumpulan K-Pop lelaki paling terkenal di dunia BTS telah mencipta rekod baru melalui video muzik "Boy With Luv Featuring Halsey" dengan 74.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam.

blackpink kumpulan k pop korea selatan

(Blackpink)

Jadi dengan mengetahui betapa besarnya industri K-Pop pada ketika ini, sudah tentu anda beranggapan bahawa bayaran atau gaji yang diterima mereka juga seiring dengan populariti mereka kan?

Pertamanya, anda perlu tahu bahawa terdapat 3 syarikat utama dalam industri K-Pop iaitu S.M. Entertainment, YG Entertainment dan JYP Entertainment, yang dikenali sebagai "Big 3".

Dalam isu perolehan dan pendapatan, kemungkinan besar adalah ketiga-tiga syarikat ini sahaja yang berkongsi keuntungan dengan mereka dengan artis-artis bermula dari kemunculan pertama dalam industri K-Pop. 

Sebab mengapa Big 3 berkongsi keuntungan dengan artis mereka sejak kemunculan pertama adalah nama-nama mereka sahaja sudah cukup mampu untuk menjana pendapatan yang lumayan membuatkan syarikat-syarikat ini adalah yang terhebat.

Pendek kata, 3 syarikat ini dengan mudah boleh mengaut keuntungan menggunakan artis mereka hanya kerana mereka adalah sebahagian daripada "Big 3".

jyp entertainment

(JYP Entertainment)

Mereka sangat yakin bahawa pelaburan mereka terhadap artis-artis mereka akan membuahkan hasil dalam sekelip mata, jadi mereka membayar kepada artis di bawah mereka seperti mana yang sepatutnya.

Namun, perkara ini tidak berlaku kepada syarikat K-Pop yang lain.

Disebabkan syarikat-syarikat lain adalah lebih kecil dan reputasi mereka tidak sehebat Big 3, mereka tidak boleh mengambil risiko berkongsi pendapatan dengan artis mereka sebaik sahaja melakukan kemunculan pertama.

Kebanyakan daripada syarikat ini menggunakan sistem yang dikenali sebagai "break-even" atau "pulang modal".

Jadi, sebelum artis K-Pop mendapat bahagian keuntungan yang dibuat daripada syarikat, mereka terlebih dahulu perlu membayar segala semua perbelanjaan yang dilaburkan oleh syarikat ke atas mereka.

Ini termasuklah semua kos sejak mereka bersama dengan syarikat tersebut seperti kos latihan, kos pengeluaran album, makan dan minum, tempat tinggal, video muzik, lagu, guru koreografi, solekan dan banyak lagi.

(Video muzik "Boy With Luv featuring Halsey" dari BTS)

Dengan ini, berapa banyak sebenarnya yang diperoleh oleh selebriti pujaan dunia ini?

Untuk memudahkan pemahaman, ambil kumpulan AOA sebagai contoh. AOA adalah kumpulan K-Pop yang terdiri daripada 6 orang gadis (8 pada mulanya) dan membuat kemunculan pertama pada tahun 2012.

Untuk 2 tahun pertama, AOA mengalami masalah di mana mereka bergelut untuk mencipta dan boleh dikatakan tidak berjaya.

Untuk 4 promosi pertama AOA, purata jualan album mereka hanyalah sekitar 4,000 salinan. Jumlah gabungan jualan digital bagi keempat-empat album tersebut pula hanyalah 300,000 unit, yang dikategorikan sebagai sederhana.

Namun pada tahun 2014, AOA menghasilkan lagu-lagu hits membuatkan jualan album mereka bertambah sehingga 30,000 dan semakin meningkat.

Ini membuatkan AOA menjadi antara kumpulan K-Pop wanita paling popular pada ketika itu, menjadikan jumlah jualan digital meningkat kepada 1 juta salinan.

aoa

(Kumpulan AOA)

Bukan itu sahaja, salah seorang ahli AOA iaitu Kim Seol-hyun menjadi antara salah seorang artis K-Pop yang paling banyak ditaja dengan lebih daripada 20 tawaran iklan. Dan ini hanyalah untuk tahun 2014/2015 sahaja.

Ya nama AOA memang tersangat popular di Korea Selatan pada ketika itu namun ini tidak semestinya menjadikan anggota kumpulan mereka kaya-raya.

Malah, AOA hanya mula mendapat keuntungan dari syarikat mereka menjelang akhir tahun 2015.

Ini bermakna AOA mengambil masa 3 tahun iaitu dari 2012 ketika membuat kemunculan pertama sehingga tahun 2015 di mana mereka menjadi popular, untuk membayar balik segala perbelanjaan kepada syarikat mereka.

Cuba bayangkan, AOA yang dianggap sebagai kumpulan K-Pop paling popular pada zaman mereka pun terpaksa mengambil masa 3 tahun untuk membayar balik hutang, bagaimana pula dengan kumpulan K-Pop yang kurang dikenali?

sm entertainment

(SM Entertainment)

Jika dibandingkan dengan AOA, tempoh 10 tahun pun mungkin tidak cukup untuk melangsaikan hutang bagi kumpulan K-Pop biasa. Jadi, tak hairanlah banyak anggota kumpulan K-Pop menarik diri dan syarikat-syarikat berpecah.

Bagi pendapatan pula, terdapat masalah yang lebih rumit daripada yang kita sangkakan.

Seperti yang disebutkan tentang Seol-hyun dari AOA, dia menerima perhatian yang lebih berbanding anggota-anggota lain. Jadi, adakah ini akan memberi kesan kepada pendapatan mereka? 

Adakah keuntungan yang dijana oleh seorang anggota dibahagikan kepada semua anggota kumpulan?

Jika Seol-hyun terlibat dalam iklan-iklan, membuat kemunculan dalam variety show dan membintangi drama TV, berapa jumlah sebenar yang diperolehinya?

seol hyun aoa

(Kim Seol-hyun)

Jawapannya adalah walaupun Seol-hyun seorang sahaja yang terlibat dalam iklan-iklan dan variety show, namun wang yang diterima akan dibahagikan kepada 6 anggota AOA.

Namun bagi wang yang diterima daripada drama TV menjadi milik Seol-hyun secara keseluruhan.

Sistem ini juga perjanjian kontrak awal antara kumpulan 2PM dan JYP Entertainment.

Semua keuntungan yang dibuat mestilah dibahagikan kepada di antara 6 anggota, dengan pengecualian dari peranan drama dan iklan yang difilemkan di negara masing-masing.

Membahagikan wang di antara 6 anggota mungkin kelihatan seperti banyak tetapi bagi kumpulan seperti Girls' Generation (SNSD) dan Super Junior yang mempunyai 9 anggota, sudah tentu jumlah akan menjadi lebih kecil.

kumpulan seventeen k pop terdiri daripada 13 anggota

(Seventeen)

Itu belum mengambil kira kumpulan Cosmic Girls dan Seventeen yang mana kedua-duanya mempunyai 13 orang anggota.

JYP, FNC dan Cube Entertainment kesemuanya menggunakan sistem pengagihan gaji yang sama rata dan mungkin juga digunakan oleh syarikat lain.

Bayaran akan dibahagikan sama rata kepada semua anggota walaupun terdapat salah seorang anggota yang lebih banyak bekerja berbanding yang lain. 

Sesetengah syarikat mempunyai pandangan yang berbeza apabila melibatkan kemunculan dalam variety show di mana mereka percaya bahawa muncul dalam rancangan ini adalah sebahagian daripada mempromosikan album, jadi keuntungan daripada rancangan ini menjadi milik syarikat.

Dan sudah tentu bintang K-Pop yang terkenal menerima bayaran yang lebih daripada mereka yang tidak begitu terkenal. 

taeyang dan gdragon dari big bang

(Taeyang dan GDragon dari Big Bang)

Sebagai contoh, menurut Forbes, kumpulan K-Pop yang menghasilkan wang paling banyak pada tahun 2013 adalah Super Junior, Girl's Generation (SNSD), Big Bang dan 2NE1.

Super Junior menjana RM121 juta, SNSD memperoleh RM117 juta, Big Bang menerima RM114 juta dan 2NE1 sebanyak RM106 juta. Dan jika dibandingkan dengan tahun 2018 dan 2019, jumlah ini sudah tentu lebih tinggi.

Yuna dari SNSD dan Suzy dari Miss A dilaporkan menerima bayaran RM70,400 bagi setiap episod pada tahun 2015/2016 dan jumlah itu masih belum dibahagikan.

Siwon dari Super Junior pula menerima bayaran di antara RM105,000 hingga RM140,000 bagi setiap episod.

GDragon dari Big Bang pula merupakan seorang penerbit muzik selain daripada bergelar bintang K-Pop, jadi dia menerima bayaran royalti daripada lagu-lagu yang dihasilkan.

Konsert terutamanya di luar negara juga merupakan penjana keuntungan paling tinggi, lebih tinggi daripada jualan album.

(Video muzik "Kill This Love" dari Blackpink)

Perkara yang mengejutkan dalam industri ini adalah apa yang dihadapi oleh kumpulan K-Pop "biasa" iaitu kumpulan yang tidak memenangi anugerah muzik atau tidak mencapai sasaran jumlah jualan bagi jualan fizikal atau digital.

Kebanyakan daripada mereka hanya menerima elaun daripada syarikat selagi mereka tidak melangsaikan hutang. Salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa hanya menerima elaun sebanyak RM2,100 setiap bulan.

Menurut statistik Perkhidmatan Cukai Kebangsaan Korea, 1% daripada penyanyi Korea Selatan teratas menerima RM11 juta secara purata untuk tahun 2015 dan 10% daripada yang teratas menerima purata RM2.1 juta pada tahun yang sama.

Walaubagaimanapun, jumlah yang diterima oleh 1% teratas itu merangkumi 45% daripada jumlah pendapatan semua penyanyi Korea Selatan, manakala gaji diterima 10% teratas mewakili 89% daripada jumlah keseluruhan.

Jadi, jurang antara pendapatan bagi artis K-Pop biasa dengan yang terkenal adalah sangat jauh.

kumpulan bts k pop

(Kumpulan BTS)

Itu bagi kumpulan K-Pop terdahulu. Bagi kumpulan K-Pop terkini, segalanya sudah berubah kerana genre K-Pop semakin terkenal dan menjadi satu fenomena dunia.

Topik berkenaan berapa pendapatan kumpulan BTS menjadi topik yang hangat. BTS telah mencipta banyak rekod dalam sejarah dalam pelbagai segi dan tiket konsert mereka terjual dengan begitu pantas.

Namun apa yang penting adalah ia bergantung kepada kontrak yang mereka tandatangani dengan syarikat Big Hit Entertainment.

Laporan mengatakan bahawa BTS menjana sekitar RM370 juta hanya dalam masa setahun. Ini termasuk jumlah RM218 juta yang dijana dalam masa 3 minggu ketika mereka melancarkan album "Love Yourself: Answer".

Dengan situasi di mana BTS menggunakan pembahagian keuntungan dengan nisbah 6:4 di mana Big Hit menerima 60% daripadanya, bersama-sama pembahagian 5:5 bagi aktiviti di luar Korea Selatan, para penganalisis menganggarkan bahawa setiap anggota BTS menerima sekitar RM33.5 juta.

Jumlah ini dilihatkan sebagai sesuatu yang jarang berlaku dalam industri K-Pop ketika ini.

Rujukan:

1. Kpopmap

2. Amino

3. Variety




Hakcipta iluminasi.com (2017)