Rasanya semua orang pernah bertepuk tangan. Persoalannya, kenapa kita bertepuk tangan? Apakah sejarah dan asal-usulnya?

Kebiasaannya kita menepuk-nepukkan tangan kita disebabkan kita mahu menunjukkan penghargaan kita pada sesuatu, tak kiralah persembahan, ucapan, filem, pementasan dan bermacam lagi sebab yang kebiasaannya membawa mesej positif dan gembira.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Banyak pendapat berkenaan asal-usul gerakan menepuk ini dengan individu sekecil bayi pun sudah pandai merapatkan kedua-dua tangannya. Walau demikian, kajian sudah menunjukkan bayi memang pandai merapatkan tangannya, tetapi gerakan bertepuk tangan merupakan sesuatu yang mereka pelajari daripada pemerhatian.

Ini bermakna, pasti ada asal-usul kenapa manusia bertepuk tangan dalam meraikan sesuatu. Jom kita baca.

Sejarah paling awal tepukan beramai-ramai

teater zaman rom

Tidak dapat dipastikan siapa yang memulakan budaya bertepuk secara spesifik. Bagaimanapun rekod paling awal tepukan digunakan untuk menunjukkan penghargaan dipercayai datang daripada sebuah pementasan orang Roman pada tahun 3BC, hasil tulisan penulis terkenal Plautus.

Plautus gemar memasukkan satu elemen unik dalam setiap pementasannya di mana pada penghujungnya, seorang aktor ditugaskan untuk berdiri di hadapan barisan pelakon lain menghadap penonton dan berkata - "valete et plaudite' atau 'selamat tinggal dan berikan penghargaan anda!'

Daripada ayat itu, penonton akan memberikan reaksi mereka dan menemukan kedua-dua tangan mereka bagi menghasilkan apa yang dinamakan sebagai sorakan penghargaan pada pementasan yang telah disampaikan.

Selain bertepuk tangan, orang Rom juga menggambarkan penghargaan mereka dengan beberapa cara lain. Ada yang memetik jari, menghentakkan kaki serta mengangkat dan mengibarkan pakaian labuh mereka yang dinamakan 'toga'.

Dalam kitab Bible juga disebutkan 'tepukan' sebagai satu bentuk penghargaan dalam dua ayat, iaitu ayat 2 Kings 11:12 dan Psalm 98:8. Kedua-duanya jelas menyebutkan perkataan 'tepuk' atau 'tepukan' dalam situasi yang menggembirakan. Satu sempena meraikan pertabalan raja baru dan satu lagi berkenaan keindahan alam.

Budaya 'claquers' di Perancis

persembahan teater zaman dahulu di perancis

Sekiranya kita lihat rakaman rancangan televisyen, ada yang menggunakan khidmat seorang pembantu yang akan menaikkan tanda sebagai isyarat untuk penonton bertepuk tangan.

Budaya ini dipercayai berasal daripada sebuah gerakan di Perancis bernama 'claque' yang beroperasi di kawasan-kawasan teater dan opera pada abad ke 16. Ditiru daripada idea sebenar seorang raja Rom bernama Nero yang mewajibkan askar-askar beliau bertepuk tangan selepas setiap persembahan melibatkan beliau, idea itu diadaptasi oleh seorang penulis bernama Jean Daurat.

Mungkin risau persembahannya tidak mendapat sambutan, Jean akan memberikan tiket secara percuma kepada orang ramai dengan syarat pada penghujung persembahannya, mereka perlu bertepuk tangan.

Sejak itu wujudlah karier yang dinamakan 'claquers' di mana individu-individu boleh diupah untuk menjadi tukang tepuk dalam mana-mana persembahan di Paris, sehinggakan ada agensi khas menguruskan tempahan pekerja. Permintaan terhadap 'claque' cukup tinggi dengan pengurus-pengurus teater menjadi pelanggan tetap mereka, bagi memastikan setiap persembahan teater dianggap mendapat sambutan menggalakkan.

Tepukan dalam muzik

clappingmusic lagu tepukan

Walaupun tepukan digunakan untuk menggambarkan penghargaan, beberapa orang pemuzik yang kreatif menjadikan tepukan sebagai satu ganti alat muzik yang berkesan.

Wujud gerakan pada tahun 1960-an yang mahu menerbitkan karya muzik secara sangat minimalis. Salah sebuah lagu klasik yang menggunakan tepukan sepenuhnya terhasil pada tahun 1972 oleh Steve Reich, antara individu pengasas muzik corak minimalis ini.

Sekiranya anda tanya pada penulis lagu mana yang paling terkenal menggunakan tepukan sebagai isi utamanya, penulis hanya akan menjawab ada satu saja lagu yang cukup terkenal sehingga ke hari ini iaitu lagu 'We Will Rock You' dendangan kumpulan Queen.

Lagu tersebut majoritinya menggunakan ritma yang perlu dihasilkan dengan tepukan, boleh digantikan dengan hentakan kaki dan tenaga yang dihasilkan daripada lagu tersebut mampu menggerakkan sesiapa saja untuk bangun memulakan hari kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)