kesesakan lalu lintas

Setiap kali pulang pada musim perayaan, akan kedengaran keluhan-keluhan pemandu negara kita yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, khasnya mereka yang memandu ke negeri-negeri di pantai timur.

Durasi 12 jam dikatakan menjadi satu tempoh masa yang kebiasaannya perlu ditempuhi pemandu, menjadikan perjalanan panjang serta membosankan. Sekiranya kita merasakan 12 jam adalah satu tempoh yang sangat lama, bagaimana pula pengalaman orang lain di negara luar yang terpaksa menempuh perjalanan lebih lama.

Berikut adalah lima detik kesesakan lalu lintas mencapai tahap ekstrim terpanjang pernah direkodkan dalam sejarah, sehinggakan ada pemandu yang terpaksa bermalam bukan sehari, malahan berhari-hari di atas jalan raya.

1. Lyon-Paris, Perancis : Februari 1980

paris trafik paling teruk

Berdepan situasi sukar akibat cuaca yang buruk, pemandu-pemandu yang menghala ke Paris daripada Lyon terperangkap dalam kesesakan yang dianggarkan sepanjang 175km, satu rekod yang masih belum dipecah sehingga kini dengan pemandu terperangkap dalam jarak 2/3 perjalanan dari Lyon ke Paris.

Kesesakan ini berlaku disebabkan terlalu ramai warga Paris berkunjung ke pergunungan Alps bagi percutian dan pulang dalam waktu yang sama, ditambah lagi dengan cuaca yang teruk menyulitkan lagi keadaan. Ekoran tidak ada tempat lain untuk pergi berehat, ramai yang terpaksa duduk di dalam kereta selama 2 hari sebelum lalu lintas dapat disuraikan.

2. Jerman Timur-Jerman Barat : April 1990

jerman kesesakan jalan paling panjang

Ekoran runtuhnya tembok Berlin yang memisahkan kedua-dua belah Jerman, cuti sambutan Easter yang tiba menyebabkan warga kedua-dua kawasan merancang mahu menghabiskan cuti selepas dipisahkan sekian lama bersama saudara mara. Jalan yang menghubungkan kedua-dua kawasan sebelum itu secara puratanya mempunyai kapasiti setengah juta pengguna sehari.

Untuk sambutan tersebut, lebih 18 juta kenderaan membanjiri jalan raya menyukarkan kawalan dan operasi. Walaupun ramai tersangkut selama lebih 3 hari di atas jalan raya, semangat mereka menyeberangi tembok Berlin tetap tidak padam. Mereka gagah beratur sepanjang 48km dengan barisan menunggu untuk mengisi minyak lebih empat jam sebelum tiba peluang anda. (rujukan)

3. Moscow - St.Petersburg : Disember 2012

snowbound traffic queue moscow russia

Berdepan salji yang mampu mencapai ketinggian lebih dua kaki di beberapa kawasan memaksa pihak berkuasa di beberapa daerah sepanjang jalan lebuhraya M10 yang menghubungkan Moscow dan St. Petersburg, menutup laluan keluar yang tidak boleh digunakan atas faktor keselamatan.

Terperangkap di tengah-tengah lebuhraya, pemandu terpaksa berkurung di dalam kereta cuba memanaskan badan dalam suhu yang cukup dingin, dengan sesetengah pemandu terpaksa meninggalkan saja kenderaan mereka dalam mencari sumber haba. Seramai 10,000 pemandu terperangkap selama lebih 3 hari berdepan cuaca yang cukup mencabar. (rujukan)

4. Beijing-Tibet : Ogos 2010

aliran trafik padat beijing

Kesesakan jalan ini bukanlah kesesakan jalan terpanjang di dunia, dengan trafik tersekat dalam jarak 100km 'sahaja.' Bagaimanapun, insiden ini akan terus diingati kerana memegang rekod sebagai insiden kesesakan jalan raya paling lama di dunia yang memakan masa 12 hari sebelum kesesakan dapat dilegakan.

Sebabnya? Jumlah kenderaan yang terlalu banyak. Ekoran ramai pemandu yang terpaksa bermalam berhari-hari lamanya, kes-kes rompakan berlaku melibatkan pemandu yang tersekat selain daripada kewujudan peniaga-peniaga segera yang memaksa pemandu membeli barangan makanan pada harga tak masuk akal. Ada banyak juga kenderaan tidak dapat bergerak selepas minyak mereka di dalam tangki dicuri semasa mereka nyenyak tidur, dilakukan individu tidak bertanggungjawab. (rujukan)

5. Bethel-New York : Ogos 1969

peminat muzik berjalan kaki ke woodstock

Perancangan mewujudkan festival muzik Woodstock buat julung kalinya mendapat sambutan yang di luar jangkaan, dengan setengah juta peminat muzik melakukan perjalanan ke Bethel - 10 kali ganda melebihi anggaran awal penganjur. Penganjur pula hanya mampu menyediakan 25 ribu tempat meletak kenderaan memaksa berpuluh ribu kenderaan beratur sepanjang jalan, mengakibatkan kesesakan sepanjang 100km berlaku.

Takut terlepas acara, pengunjung mengambil langkah meninggalkan saja kenderaan mereka di atas jalan lalu berjalan kaki beramai-ramai, bagi memastikan mereka dapat menyaksikan sendiri festival muzik tersebut. Ekoran kenderaan yang ditinggalkan menghalang laluan, penggunaan helikopter bagi membawa artis yang bakal beraksi terpaksa dilakukan.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)