Setiap hari kita menggunakan bermacam jenis perkakasan elektrik yang kita ketahui nama panggilannya. Bagaimanapun, pernahkah anda terfikir bagaimana perkakasan itu mendapat namanya?

Berikut adalah 5 perkakas elektrik yang besar kemungkinan digunakan kita setiap hari dan sedikit penerangan tentang mengapa kita memanggilnya dengan nama yang biasa kita gunakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Radio

old radio vintage resin craft for home decor for bar hotel villa c24150169

Bagi pemandu kereta, kita pasti mempunyai satu set pemain audio yang kita gelarkan 'radio' dalam kereta kita. Radio kerap menjadi peneman di kala sunyi, memainkan muzik daripada stesen radio ataupun berhubung dengan memori sambungan USB atau bluetooth yang ada.

Asal usul perkataan radio sebenarnya datang daripada penemuan gelombang radiasi elektromgnetik oleh seorang ahli fizik Jerman, bernama Heinrich Hertz. Pada zaman beliau sekitar hujung kurun ke 19, saintis ketika itu menamakan sebarang gelombang yang mempunyai radiasi sebagai 'radio-activity' yang masih digunakan sehingga kini.

wireless signal radio

Hertz menemui kaedah untuk menghantar gelombang di udara namun penemuannya tidak membawa kepada apa-apa penciptaan baru. Hanya selepas Nicola Tesla, Guglielmo Marconi dan beberapa orang pencipta berjaya membina konduktor yang mampu menghantar atau menerima gelombang yang ditemui Hertz itulah, wujudnya terma yang dikatakan 'radio-telegraphy', sistem komunikasi tanpa wayar.

Teknologi yang bermula daripada penghantaran gelombang dari satu alat ke satu alat, bertambah baik sehinggakan seseorang mampu menghantar gelombang daripada satu lokasi kepada berjuta orang penerima serentak dalam jarak yang jauh. Frasa 'broadcast' dipinjam daripada frasa yang digunakan dalam pertanian, untuk menggambarkan penaburan benih dalam kawasan ladang yang luas. Jasa Hertz menemui kaedah menghantar gelombang itu diingati dengan menamakan unit gelombang yang mampu dihantar - dikira menggunakan unit 'hertz.'

2. Televisyen (Television)

televisyen besar

Perkataan televisyen berasal daripada gabungan dua perkataan bahasa Greek iaitu tele yang membawa makna jauh dan visio yang bermaksud penglihatan. Apabila digabungkan kedua-duanya, ini membawa makna penglihatan yang jauh. Perkataan itu apabila di tukarkan kepada bahasa Inggeris, jadilah 'televisyen.'

Penggunaan pertama perkataan tersebut direkodkan sekitar tahun 1900 apabila seorang saintis Russia bernama Constantin Perskyi menggunakan terma tersebut bagi menerangkan tentang sebuah sistem yang mampu memancarkan gambar bergerak melalui wayar seperti telegraf atau telefon.

constantin perskyi

Sebelum penggunaan perkataan televisyen menjadi popular, nama-nama lain yang digunakan adalah 'telephote' yang diperkenalkan pada tahun 1880 dan 'televista' yang digunakan pada tahun 1904.

3. Remote control (Alat kawalan jauh)

remote control astro

Perkataan kegemaran kita bagi penggemar siri televisyen atau kaki filem, 'remote' adalah perkataan yang kita gunakan untuk menggambarkan alat yang digunakan bagi mengawal peranti elektronik kita dari jarak jauh.

Begitulah juga asal-usul perkataan itu. 'Remote' adalah sebuah perkataan yang diambil daripada perkataan Latin 'remotus' yang bermaksud 'dari satu jarak yang jauh.' Selain itu ada juga perkataan lain dalam bahasa Latin iaitu 'removere' yang membawa maksud keluar daripada jarak penglihatan.

4. Iron (Seterika)

seterika lama

Mengapa 'seterika' dipanggil 'iron' dalam bahasa Inggeris, sedangkan iron juga merujuk kepada bahan galian bumi iaitu bahan besi? Ini kerana semua perkakas yang digunakan zaman dahulu dalam melicinkan pakaian, diperbuat daripada besi atau iron. Besi yang dipanaskan yang dilebur dan dibentuk untuk mudah dipegang itu juga dipanggil 'sad-iron.' 'Sad' itu adalah perkataan lama Inggeris yang membawa maksud 'rata. Tak menarik sangat kan sejarah perkataan 'iron'?

Bagaimana pula dengan perkataan seterika? Perkataan 'seterika' sebenarnya diambil daripada perkataan Belanda 'strijkijzer.' Kami tidak dapat mengenal pasti bagaimana penggunaan perkataan itu bermula, tetapi agakan kami berpunca daripada penjajahan Belanda di beberapa buah kawasan di negara kita dan Indonesia satu masa dulu. Sekiranya diterjemahkan perkataan 'strijkijzer' ke dalam Bahasa Inggeris, maknanya tetap sama.

5. Monitor

televisyen lama

Walaupun penggunaan 'skrin' semakin lama semakin popular menggantikan perkataan monitor, masih banyak pihak tetap menggunakan terma monitor bagi menggambarkan penayang visual pada komputer masing-masing.

Perkataan 'monitor' datangnya daripada perkataan latin 'monitor' yang membawa masuk 'warner' atau sesuatu alat/cara yang memberi amaran. Penggunaan lainnya pula adalah 'monitus' atau amaran dan juga 'monere' yang membawa makna 'memberi amaran.'

Oleh kerana itu, perkataan 'monitor' boleh membawa dua makna yang berbeza. Yang pertama boleh merujuk kepada seseorang yang dilantik untuk mengawasi sesuatu kumpulan, seperti 'class monitor' atau ketua kelas. Yang kedua pula mewakili alat elektronik yang membolehkan kita menonton apa yang dipancarkan oleh komputer.

kawalan keselamatan monitor

Namun persoalan lainnya, apa pula beza 'skrin' dengan 'monitor'? Skrin boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti di radio, telefon, televisyen dan apa saja yang mampu memaparkan maklumat dalam bentuk visual. Monitor pula khusus untuk peranti berupa seperti televisyen yang masih lagi digunakan sehingga kini tetapi mengapa pula ia digelarkan 'monitor'?

Ini berpunca daripada sistem monitor yang digunakan dalam sistem penyiaran studio rakaman. Semua rancangan yang dirakamkan diawasi menggunakan monitor serupa televisyen yang selalunya digelar 'studio monitor.' Studio monitor membolehkan pengarah atau penerbit melihat terus apa yang dirakamkan dan mampu membuat pengubahsuaian sekiranya perlu.

Beza monitor dengan televisyen biasa, monitor tidak mempunyai sistem penala siaran dipasang di dalamnya seperti televisyen, jadi monitor hanya boleh memancarkan visual menerusi kabel yang disambungkan kepadanya. Apabila penggunaan komputer di rumah mula diperkenalkan, skrin yang digunakan digelarkan monitor kerana mempunyai sifat-sifat yang sama dengan studio monitor.




Hakcipta iluminasi.com (2017)