bahaya gejala micro sleep tertidur ketika memandu

Selepas mengalami sendiri beberapa insiden rentetan rasa mengantuk amat sangat semasa hari masih siang akibat keletihan yang saya alami, saya berazam untuk mula menulis tentang perkara-perkara kecil yang mempunyai risiko tinggi bahaya pada kita.

Salah satu gejala yang sangat berlaku adalah 'tidur mikro' atau 'microsleep. 'Microsleep' inilah punca banyak kemalangan jalan raya dilaporkan.

Jadi, apakah itu microsleep?

Ancaman tidur mikro

microsleep papan tanda

'Microsleep' ialah suatu keadaan dimana seseorang itu hilang kawalan dalam tumpuan secara tiba-tiba dan seringkali terjadi bersama-sama gejala lain seperti kehilangan tumpuan menyebabkan pandangan menjadi kosong, kepala terhangguk dan tersentak kembali dan mata yang tertutup tanpa menyedari ia berlaku. Semua ini boleh berlaku dalam tempoh 1 ke 30 saat tanpa disedari individu tersebut.

Lazimnya ia berlaku apabila seseorang itu sudah terlalu penat, mempunyai hutang tidur yang banyak dan pada masa yang sama berperang untuk terus berjaga dalam melakukan sesuatu kerja yang bersifat rutin seperti melihat skrin komputer, televisyen ataupun handphone - atau yang paling berbahaya; memandu kereta.

Sejarah juga telah mencatatkan beberapa malapetaka besar dunia yang mempunyai hubungan dan kaitan dengan kejadian microsleep, termasuklah ledakan nuklear Chernobyl, meledaknya kapal angkasa Challenger dan tumpahan minyak Exxon Valdez.

Apa punca microsleep?

ppemandu mengantuk

Selain daripada menyerang orang yang mempunyai hutang tidur serta perlu melakukan sesuatu perbuatan yang berulang-ulang, 'microsleep juga boleh berlaku akibat gangguan kepada tidur seperti penyakit yang dikenali sebagai 'Obstructive Sleep Apnea'.

Kondisi ini menyebabkan seorang itu mungkin mempunyai tidur dalam tempoh waktu yang cukup tetapi kualiti tidurnya tiada, akibat sekatan pada saluran pernafasan.

Penghidap 'narcolepsy' atau gangguan kepada kitaran tidur dan 'restless leg syndrome' atau turut dikenali sebagai Willis-Ekbom Disease, yang menyebabkan seseorang senantiasa perlu menggerakkan kaki kerana ketidak selesaan semasa tidur juga berisiko tinggi mengalami 'microsleep.'

Cabaran urbanisasi era sekarang meramaikan lagi individu yang mempunyai hutang tidur. Rutin pekerja syif, mengamalkan dua atau tiga pekerjaan pada satu masa, bekerja dan belajar pada masa yang sama, berjaga lewat malam dan mereka yang mempunyai masalah dalam penyusunan jadual tidur meninggikan lagi peratusan 'microsleep' akan terjadi.

Apa yang menakutkan, memandu dalam keadaan mengantuk mempunyai kesan yang sama kepada tubuh badan sebagaima seseorang yang telah mengambil alkohol. Mereka yang berjaga 18 jam tanpa tidur didapati mempunyai kesan khayal yang serupa dengan seseorang individu yang mempunyai bacaan alkohol dalam darah setinggi 0.05 BAC atau 'blood alcohol content.'

0.08 BAC ialah nilai maksima rujukan seseorang itu mabuk yang kerap digunakan dalam undang-undang banyak negara.

Kenali tanda-tanda risiko 'microsleep'

pemandu tertidur

Antara tanda microsleep pada badan ialah:

  1. Rasa mengantuk
  2. Mengusap-usap mata berulang-kali
  3. Menguap dengan banyaknya
  4. Mata yang menjadi lebih kuyu dan berat
  5. Rasa penumpuan yang makin hilang, kosong
  6. Tidak selesa dan moody.
  7. Fikiran melayang-layang
  8. Rasa terlalu sukar untuk mata terus terbuka
  9. Kepala tersengguk-sengguk, sebelum anda terkejut dan bangun semula.

Sekiranya tanda-tanda tersebut berlaku, berhenti daripada membawa kereta atau mengendalikan sebarang jentera berat.

Bagaimana hendak mengawal gejala 'microsleep'?

panduan power nap

Amalkan apa yang dinamakan sebagai power nap sekitar 20-30 minit sahaja apabila anda mula rasa mengantuk ketika memandu. Elakkan memandu dalam keadaan penat dan lesu. Jika boleh, rancang perjalanan anda supaya tidak berlaku dalam jadual jendela circadian rendah, bersamaan tempoh jam 2 pagi hingga 6 pagi.

Lantik seorang pemandu lain yang boleh menggantikan anda. Nak lebih seronok, hiburkanlah di antara satu sama lain dengan nyanyian dan bersembang. Pastikan anda sudah dapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan suatu perjalanan yang jauh. Cuba kekalkan daya fokus anda kepada aktiviti seperti mendengar radio, podcast atau apa saja kandungan yang boleh menggerakkan minda, sekiranya anda tidak boleh berhenti untuk berehat atau menukar pemandu.

Sesuatu yang perlu kita semua akui adalah tidur merupakan satu keperluan hidup yang amat sukar kita atasi, jadi ada kalanya kita perlu menyerah untuk bersedia melelapkan mata.

Cuma pastikan kita tidaklah terlelap di tengah-tengah jalan raya ya!


Khairil Idham Ismail adalah seorang doktor perubatan yang kini bertugas di Hospital Serdang, Selangor. Seorang penulis, beliau juga pernah terlibat menerbitkan penyelidikan berkenaan kadar kemalangan melibatkan golongan pekerja perubatan di negara kita.



Hakcipta iluminasi.com (2017)