Awal tahun 2019, seorang pemain bola sepak berusia 25 tahun bernama Bernio Jordan Enzo Verhagen berjaya melakukan perpindahan mengejutkan, selepas menyertai kelab FC Dinamo-Auto di Transnistria. Bagi seorang pemain bertaraf amatur di Belanda, itu ibarat satu perpindahan yang unik.

Ini kerana Dinamo-Auto adalah kelab berstatus amatur, tanpa stadium sendiri. Verhagen kekal dalam kelab itu hanya sementara, sebelum kembali ke Belanda. Tiba di Belanda, bagi mendapatkan kisah pengalamannya di negara bergolak itu, seorang wartawan bernama Sam van Raalte mengaturkan sesi temubual melalui podcast.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semasa sesi itu dijalankan, Raalte menerima banyak mesej daripada pendengar berkenaan kes-kes penipuan melibatkan Verhagen. Diajukan tentang isu itu, Verhagen hanya menafikan apa yang disebutkan. Sesi itu diakhiri dengan selamat, namun Raalte tidak dapat terus melupakan apa yang ditimbulkan hari itu. Dia terus mengikuti karier Verhagen dengan teliti.

Dari Transnistria ke kelab divisyen satu Chile

verhagen berpindah ke chile

Membaca kenyataan kelab Cape Town City FC di Afrika Selatan bersetuju mengambil Verhagen sebagai pemain, mengejutkan Raalte. Dia tidak bermain walau satu permainan di Transnistria jadi bagaimana Cape Town memilih beliau? Perkara sama berulang lagi, daripada Afrika Selatan - Verhagen ke Chile, bermain dalam liga perdana negara tersebut bersama kelab Audax Italiano. Dia mengekalkan rekod sama, langsung tidak pernah diturunkan untuk bermain.

Pada 5 November 2019, kelab divisyen satu Denmark Viborg FF mengumumkan Verhagen bakal menyertai pasukan mereka dengan jersi bernombor 28. Pada ketika inilah kisahnya jadi semakin aneh.

Raalte mendapati sebelum diumumkan sebagai pemain rasmi Viborg FF, media Chile 'La Tercera' menerbitkan satu temubual melalui sidang video dengan Verhagen dan teman wanitanya, Nayaret Muci. Muci bertindak sebagai penterjemah temubual itu. Temubual itu turut sama melibatkan beberapa status Instagram yang dimuat naik Muci, mengkritik Verhagen yang gemar bertindak kasar terhadapnya sejak mereka di Denmark lagi. Pertanyaan itu ditepis Verhagen dan Muci sebagai perselisihan biasa.

Apabila ditanya bagaimana pengalamannya bermain di Chile - Verhagen menyifatkan dia perlu meninggalkan Audax Italiano disebabkan masalah rasisme yang berlaku, sehingga dia digelarkan monyet dan hamba oleh pemain lain. Ditanya siapakah yang dilantik sebagai ejen bagi menguruskan semua perpindahan beliau, Verhagen mula mengelakkan diri daripada menjawabnya.

Raalte cuba mendapatkan jawapan namun Verhagen bertindak mengugut Raalte, agar berhenti mengganggu urusannya.

Misteri yang membelenggu pengurusan bola sepak Belanda

verhagen bincang taktikal

Apabila persatuan bola sepak Belanda atau KNVB dihubungi bagi mendapatkan status sebenar Verhagen, Raalte diberitahu Verhagen adalah seorang pemain muda yang pernah menyertai kelab divisyen satu negara itu, Willem II selama setahun pada tahun 2009. Gagal meneruskan kontrak, Verhagen mula menyertai kelab-kelab amatur sebelum terbang ke luar negara.

Bagaimanapun, tidak ada rekod rasmi menunjukkan Verhagen benar-benar ditawarkan kontrak ke luar - ini kerana semua pemain di bawah KNVB perlu melalui perpindahan ke luar negara kali pertama melalui KNVB. Rekod akhir aktiviti Verhagen melibatkan sebuah kelab amatur bernama Den Dungen pada awal tahun 2019. Wakil kelab Den Dungen ketika dihubungi memberitahu Verhagen pemain biasa saja dan mustahil untuk diterima menyertai liga profesional - apatah lagi di luar negara pula.

Cubaan untuk mendapatkan informasi daripada kelan-kelab lamanya tidak banyak membantu. Sehinggalah satu temubual dengan Verhagen bersama sebuah agensi berita sukan di Denmark, berjaya membuka tembelang Verhagen selama ini.

Verhagen dalam temubual itu menyebut dia pernah menjalani beberapa sesi ujian dengan sebuah kelab di Denmark - namun kelab yang disebutkan menafikan dakwaan Verhagen. Raalte juga mendapati di semua kelab yang disertai Verhagen, dia tidak pernah menyertai latihan pasukan sebaliknya diberikan kebenaran untuk melakukan latihan sendiri disebabkan kondisi badannya yang belum mencapai tahap diperlukan.

Surat khabar Denmark 'Politiken' menerbitkan artikel berkenaan Verhagen, menyifatkan beliau sudah beberapa kali menyamar sebagai pemain FC Kopenhagen, kelab ternama di Denmark bagi menggoda wanita dan juga melakukan kecurian melibatkan barangan kemas milik wanita yang menjadi mangsanya.

Bagi melindungi kedudukan mereka akibat artikel tersebut, Viborg FF mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah pun bekerjasama dengan Stellar Group, sebuah agensi pemain terkenal di dunia yang dikatakan mewakili Verhagen. Stellar Group menafikan dakwaan ini.

Taktik licik Verhagen mula dibogelkan satu per satu

verhagen pakai jersi 28

Teknik Verhagen untuk menipu kelab-kelab bagi mengambilnya sebagai pemain mula terungkai.

Viborg FF menjadi mangsa Verhagen melalui rangkaian emel palsu, dokumen rekaan dan panggilan telefon yang nyata didalangi sendiri oleh Verhagen sepenuhnya. Salah seorang pengarah Viborg FF turut sama diberikan sebuah dokumen surat tawaran sebuah kelab gergasi China yang dikatakan menagih khidmat Verhagen, agar perjanjian antara mereka dapat dipercepatkan.

Kelab itu sendiri seakan terkejut dengan prestasi yang ditunjukkan selepas Verhagen hadir menyertai sesi latihan, kerana taraf permainannya jauh berbeza dengan reputasi yang dia bawa.

Pemeriksaan lebih lanjut terhadap semua dokumen yang diserahkan dalam urusan kontrak Viborg FF dengan 'ejen' yang mewakili Verhagen, berjaya menemui banyak perkara meragukan termasuklah alamat emel yang digunakan oleh ejen Stellar Group, merupakan alamat emel palsu.

Pada 26 November 2019, Viborg FF mengumumkan penamatan kontrak Verhagen dan keesokannya, Verhagen ditahan pihak berkuasa Denmark atas dakwaan jenayah serangan dan rompakan melibatkan beberapa mangsa, termasuklah bekas teman wanitanya sendiri Nayaret Muci. 3 Disember 2019, Verhagen dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan melakukan penipuan melibatkan kontrak profesional beliau sebagai seorang pemain bola sepak.

Pengajarannya - jangan pandang rendah pihak yang kena scam, kerana seorang scammer mampu melakukan banyak perkara yang mampu meyakinkan kita sehinggakan 4 kelab bola sepak mampu terpedaya dengan taktik berani Verhagen, seorang pemain bertaraf amatur yang tak perlu menendang bola.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel The Wild Story of an Amateur Footballer Who Scammed Four Teams in a Year yang diterbitkan pada 9 Disember 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)