khalid payenda menteri kewangan afghanistan pemandu uber2

Risiko melibatkan diri dalam politik kepada jatuh bangun hidup seseorang, sama sekali sukar untuk diduga.

Bagi seseorang yang membuat keputusan untuk menceburi politik sebagai karier, mereka sudah memahami risiko apa yang boleh berlaku kepada mereka. Hidup senang ketika senang, jatuh terduduk ketika susah merupakan asam garam yang perlu diterima.

Apa pula kisahnya bagi kumpulan menteri kabinet di Afghanistan, yang terpaksa melarikan diri selepas pihak Taliban kembali merampas kuasa pemerintahan di sana?

Untuk salah seorang bekas Menteri paling kanannya, menyara hidup sebagai pemandu teksi Uber adalah jalan terbaik yang perlu ditempuhinya.

Daripada mengurus negara kepada mengurus penumpang

khalid payenda menteri kewangan afghanistan ashraf ghani

Selepas proses pengunduran pasukan pelindung tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan bermula pada bulan Februari 2020, ekoran perjanjian yang telah dicapai di antara kerajaan Amerika Syarikat dengan pimpinan tertinggi Taliban - kerajaan Afghanistan ketika itu di bawah kabinet Ashraf Ghani mula menyedari kedudukan mereka sebagai kerajaan seperti telur dihujung tanduk.

Ramalan rampasan kuasa bertukar menjadi realiti selepas Taliban melancarkan operasi yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan Ashraf Ghani, pada pertengahan bulan Ogos tahun 2021.

Presiden Ashraf Ghani bertindak melarikan diri, dikatakan bersama-sama lebih 200 orang individu lain melibatkan pegawai, ahli parlimen dan juga barisan menteri kabinetnya; destinasi mereka sama ada ke Emiriyah Arab Bersatu, Uzbekistan, Tajikistan, Oman dan juga Arab Saudi.

Salah seorang yang sempat melarikan diri lebih awal adalah Khalid Payenda, ketika itu bergelar menteri kewangan. Khalid hanya mula berkhidmat sebagai menteri kewangan Afghanistan dalam kabinet pentadbiran Ashraf Ghani pada bulan Januari 2021.

Tidak sampai setahun mentadbir, Khalid terpaksa melepaskan jawatannya pada 10 Ogos 2021 disebabkan konflik di antara dia dan Presidennya.

Pengalaman luas dalam pentadbiran kewangan

menteri kewangan afghanistan pemandu uber

Walaupun rakan sekabinetnya ramai yang melepaskan kuasa akibat Taliban, Khalid bertindak lebih awal ekoran perselisihan fahamnya dengan Presiden Ashraf Ghani sendiri atas beberapa isu.

Bimbang akan dipenjarakan ekoran konflik, Khalid melepaskan jawatan dipegangnya membawa seluruh keluarganya ke Amerika Syarikat untuk menyelamatkan diri.

Apa yang kita tahu punca konflik di antara Khalid dan Ashraf bermula selepas kementerian di bawah kendalian Khalid, enggan meluluskan pembiayaan yang diarahkan Ashraf melibatkan sebuah syarikat dari Lubnan.

Tidak lama itu selepas Taliban kembali, keluar laporan yang menyatakan bagaimana (bekas) Presiden Ashraf Ghani yang sempat melarikan diri dikatakan turut membawa wang ringgit berjumlah hampir RM715 juta - dipercayai wang milik kerajaan Afghanistan.

menteri kewangan afghanistan yang kini pemandu uber

Seorang yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan, Khalid memainkan peranan besar dalam membangunkan dasar-dasar ekonomi moden Afghanistan semasa dilantik oleh Bank Dunia sebagai ahli ekonomi.

Khalid kemudian berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan Afghanistan sehingga tahun 2018, sebelum naik memangku jawatan kanan itu.

Tahap pendidikannya bukan calang-calang. Beliau pemegang ijazah Universiti Preston dalam bidang akaun, MBA dalam bidang kewangan dan perbankan serta berkelulusan sarjana dalam bidang pembangunan polisi ekonomi dari University of Illinois Urbana-Champaign di Amerika Syarikat.

Ketika kemuncak kerjaya, Khalid diberikan tanggungjawab besar merencana dan merancang bajet berbilion ringgi bagi pembangunan negaranya hasil bantuan negara luar, bagi membolehkan Afghanistan keluar daripada perangkap kewangan yang telah menghantui mereka sekian lama.

Tetapi pada hari ini semasa anda sedang membaca artikel ini, Khalid hidupnya sudah berubah lebih sibuk memastikan kutipan pendapatannya sebagai pemandu Uber cukup setiap hari, bagi membolehkan dia menyara keluarganya.

Mencari rezeki halal demi keluarga

khalid payenda menteri kewangan

Dengan memandu kereta jenis Honda Accord, Khalid kini menyara hidup memandu penumpang ke sana ke mari dipandu aplikasi Uber secara sepenuh masa.

Setiap hari dia mensasarkan pendapatan sekitar $150 untuk kerja lebih 6 jam, bagi memastikan kuota pada hari itu dipenuhi.

Khalid juga mengakui tekun untuk cuba mendapatkan bonus tambahan yang diberikan Uber, sekiranya dia berjaya melengkapkan 50 perjalanan dalam tempoh waktu tertentu dengan tambahan $95 akan diberikan kepadanya.

Amaun itu walaupun jauh lebih kecil berbanding angka yang diselianya sebagai menteri kewangan, pada Khalid sangat membantu. Walau bagaimanapun Khalid tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada menyesali apa yang telah terjadi kepada negaranya.

Kerajaan Amerika Syarikat ketika ini bermain talam dua muka; memainkan peranan besar sehingga kembalinya Taliban dan pada masa yang sama berani menyalahkan bekas kerajaan Afghanistan di bawah Ashraf Ghani terlalu mudah menyerah kalah, walaupun bantuan ketenteraan dan pertahanan sudah disediakan melawan kembalinya Taliban.

Yang menjadi mangsa adalah masyarakat Afghanistan sendiri.

Perkara paling dikesali Khalid adalah ketiadaan keazaman secara kolektif masyarakat Afghanistan untuk mengubah nasib sendiri; termasuklah kegagalannya melaksanakan dasar-dasar yang lebih membantu masyarakat di negaranya dalam tempoh singkat dia memegang kuasa.

Dari menteri kepada pemandu teksi

khalid payenda afghanistan minister uber

Setiap kali ada penumpang menaiki keretanya, loghat suara Khalid yang masih pekat dengan telo asalnya menimbulkan pertanyaan.

Dia tidak malu untuk mengaku dia hadir sebagai migran dari Afghanistan. Tetapi hanya penumpang bertuah saja mungkin akan mengenali dia juga sebenarnya bekas menteri kewangan negara itu.

Selain menyara hidup dengan memandu teksi, Khalid juga mendapat jemputan untuk memberikan ceramah di insititusi pendidikan tinggi bagi berkongsikan perspektifnya dalam perihal ekonomi.

Namun rezeki sebegitu tidak konsisten. Tidak ada apa yang lebih menggembirakan Khalid ketika ini selain daripada selesai menurunkan penumpangnya di destinasi dengan selamat.

Untung-untung penumpang yang berpuas hati dengan servis yang ditawarkan bekas menteri kewangan Afghanistan ini akan menambah bayaran sebagai tips.

Menjelang pagi, Uber mula menawarkan bonus tambahan bagi pemandu yang sanggup bekerja lewat malam di antara jam 1 ke 2 pagi.

Khalid tidak melepaskan peluang itu meneruskan pemanduan mencari pesanan, walaupun penumpang pada jam sedemikian biasanya dalam keadaan mabuk dan sebenarnya sukar untuk dihadapi. 

Begitulah roda kehidupan. Ada masa kita duduk di atas, ada masa kita terletak di bawah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)