Dalam satu kajian psikologi yang diterbitkan pada tahun 2008 oleh Bahagian Psikologi, Colorado State University, individu yang mempunyai habit memandu yang merbahaya dan agresif boleh dikenali dengan satu tabiat yang majoritinya sama.
Mereka gemar menghias bahagian luaran kereta mereka dengan bahan-bahan seperti pelekat kereta atau papan nombor plet yang berlainan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kajian itu mendapati pemandu yang gemar membezakan kenderaan milik mereka dengan hiasan sendiri, sebenarnya mempunyai tabiat seolah mahu menandakan hak milik atau kawasan mereka, secara tidak sedar pula tindakan itu seolah menjadi amaran kepada pemandu-pemandu lain.
Kesimpulan sama diperolehi tak kiralah apa saja jenis kenderaan yang dipandu, sama ada kereta sedan, van, kereta mini atau MPV. Dilaporkan juga, semakin banyak pelekat kereta ditampal di atas badan kenderaan, semakin mudah baran perangai pemandu tersebut ketika di atas jalan.
Penjelasan penyelidik, apabila seseorang itu meletakkan penanda kepada harta atau kawasan mereka seperti pelekat kereta atau tampalan decal, ia secara tidak langsung meningkatkan kadar pemandu menggunakan kenderaan, sebagai satu bentuk melepaskan perasaan marah, kerana mereka lebih sensitif berbanding orang yang tidak gemar melakukan perkara sama.
Beratus peserta berumur di antara 17 hingga 43 tahun diselidik dalam cara bagaimana menangani situasi ketika memandu. Mereka juga disoal berkenaan sebarang perubahan atau hiasan yang dilakukan ke atas kenderaan milik mereka.
Hasil kajian tersebut membuktikan pemandu yang menampal kenderaan mereka dengan pelekat merasa lebih dekat dengan kenderaan mereka, jadi sebarang bentuk gangguan akan diambil secara lebih peribadi, yang memungkinkan berlakunya insiden keganasan di atas jalan raya.
Nasihat yang mampu penyelidik berikan adalah jika nampak kereta yang mempunyai pelekat di badan kereta, pastikan jarak kenderaan anda dengan mereka berada dalam keadaan cukup.
Walaupun hasil kajian penyelidik ini mendapat kesimpulan sedemikian, kami perlu juga beritahu, bukan semua orang yang menampal pelekat di badan kereta akan bertindak agresif ketika memandu.
Kajian ini hanya membuktikan, wujud kecenderungan lebih tinggi untuk pemandu yang suka tampal sticker di kereta mereka untuk bertindak agresif, menurut dapatan kajian. Rujukan journal Applied Social Psychology