Oleh pada 16 Nov 2019 kategori

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

   

Vokalis Drama Band, Aepul Roza akui terkejut apabila lagu kumpulannya diangkat sebagai lagu terbaik minggu pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34).

Aepul berkata, mereka sekumpulan asalnya tidak menaruh harapan tinggi untuk menang di peringkat separuh akhir pertandingan lagu terbaik tahunan itu.

“Kami masih terkejut dan bersyukur dengan keputusan ini. Kejayaan ini adalah satu anugerah terindah buat lagu Drama.

“Tidak dinafikan rata-rata lagu yang tercalon pada minggu pertama separuh akhir MM34 semuanya hebat dan mempunyai kualiti tersendiri.

“Kami sekadar nak berhibur saja malam ini dan tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk meraih lagu terbaik,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Malam tadi, lagu Drama dipilih juri sebagai lagu terbaik SFMM34 minggu pertama yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Drama merupakan hasil ciptaan Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, berjaya mengetepikan saingan 10 lagu lain yang berentap.

Dalam pada itu, Aepul berkata, rata-rata ahli kumpulannya sebenarnya menyasarkan Satukan Rasa ciptaan Dinda Kanda dan lirik Iman Imran untuk mengungguli pertandingan pada malam tersebut.

   

muzik separuh akhir 4

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

    

“Kami menjangkakan lagu Satukan Rasa sebagai lagu terbaik untuk pusingan pertama ini.

“Kami rasa lagu nyanyian Siti Nordiana dan Khai Bahar mempunyai lirik serta melodi yang kuat,” katanya.

Minggu pertama separuh akhir SFMM34 turut mempertaruhkan Tiada Dirimu dendangan Shila Amzah, Bidadari (Ismail Izzani), #123 (Khai Bahar) dan Hatiku Milikmu (Siti Nordiana).

Tidak ketinggalan, Mencuba daripada Sufian Suhami, Paku (Ara Johari), Aku Yang Bersalah (Usop), Terlalu Memuja (Wany Hasrita) dan Kepuraanmu (Luqman Faiz).

    

Sumber berita: Drama Lagu Terbaik Minggu Pertama

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)