Oleh pada 06 Jun 2021 kategori

Okinotorishima adalah terumbu karang dengan "dua ketul batu" yang diperbesar dengan struktur tetrapod-simen.

Ia ditadbir oleh Jepun dengan luas kawasan seluas 8,482 meter persegi dan luas tanah 9.44 meter persegi.

Terletak di Laut Filipina, Okinotorishima pertama kali ditemukan pada abad ke-16 oleh Bernardo de la Torre.

Ia kemudiannya ditemukan oleh Miguel Lopez de Legazpi pada tahun 1565, yang menamakan 5 buah batu serta terumbu karang di situ dengan nama "Parece Vela".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1789, ia sekali lagi ditemukan orang Inggeris yang kemudiannya beranggapan bahawa mereka adalah yang pertama berbuat demikian lantas menamakannya sebagai Dougless Reef bersempena nama Kapten William Douglass.

peta okinotorishima

Orang Jepun pertama kali melawat kawasan ini pada tahun 1922 dan 1925, yang kemudiannya menuntut "pulau" ini pada tahun 1931 dan menamakannya sebagai Okinotorishma yang bermaksud "pulau-pulau burung terpencil".

Dan disebabkan oleh lokasi Okinotorishma yang sangat strategik di antara Taiwan dan Guam, Jepun ingin membina pangkalan tentera di situ.

Namun untuk mengelakkan kontroversi, mereka menggunakan alasan bijak dan mengatakan bahawa mereka mahu membina rumah api serta tempat pemerhatian meteorologi.

Projek pembinaan Jepun ini bermula pada tahun 1939 namun terpaksa dihentikan beberapa tahun kemudian disebabkan oleh Perang Dunia Kedua yang meletus.

okinotorishima milik jepun 610

Selepas perang, batu-batu ini diberikan kepada Amerika Syarikat namun pada tahun 1968, AS memutuskan untuk memberikannya semula kepada Jepun.

Pastinya anda tertanya-tanya mengapa AS memberikan batu-batu berharga ini kepada Jepun, kan?

Ini kerana Okinotorishma tidak dianggap sebagai sesuatu yang berharga, sehinggalah pada tahun 1982 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merangka konvensyen berkenaan undang-undang laut iaitu Konvensyen Undang-undang Laut 1982.

Antara perkara yang terdapat dalam undang-undang ini adalah konvensyen itu menetapkan peraturan Zon Ekonomi Eksklusif, atau ZEE, yang membolehkan sebuah negara menuntut semua perairan dalam radius 200 batu nautika, atau 370.4 kilometer di pesisirnya sebagai ZEE mereka.

Dalam kata mudah, mereka tidak memiliki kedaulatan terhadap perairan itu dan ia bukan sebahagian dari negara mereka, tetapi mereka memiliki beberapa hak ke atasnya termasuklah hak untuk penerokaan dan hak ke atas sumber semula jadi yang berharga.

okinotorishima milik jepun 2

Inilah sebab mengapa Jepun sangat mahukan dua ketul batu ini menjadi sebuah pulau, yang bermaksud mereka dapat menuntut seluruh kawasan seluas 154.500 batu persegi ini sebagai Zon Ekonomi Eksklusif mereka yang kaya dengan perikanan, logam langka dan memiliki rizab minyak.

Namun tuntutan itu dipertikaikan, bukannya disebabkan oleh orang mengganggap bahawa Jepun tidak memiliki Okinotorishma, tetapi mereka mengatakan bahawa 2 ketul batu tersebut bukanlah sebuah pulau.

Dan "mereka" ini tidak lain dan tidak bukan adalah China. Mengapa China ambil peduli tentang dua ketul batu ini?

Selain daripada ingin memonopoli dua ketul batu ini, China mempunya rancangan bijak di mana jika satu hari jika AS mahu menghantar tentera dari Guam ke Taiwan melibatkan hal ketenteraan, China boleh menghalangnya dengan bersiap sedia di perairan ini.

okinotorishima menjadi kontroversi hebat

Dan untuk melakukan ini, mereka perlu membuat peta dasar laut yang mana memerlukan tinjauan dilakukan, dan ini tidak dapat dilakukan jika berada di kawasan ZEE milik Jepun.

Malah, terdapat minyak di kawasan ini yang mana menjadi sesuatu yang sangat didambakan oleh mana-mana negara.

Jadi persoalannya adalah, adakah Okinotorishma sebuah pulau atau tidak?

Jawapannya adalah mungkin, atau tidak.

Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut secara khusus membezakan pulau-pulau (kawasan daratan yang terbentuk secara semula jadi, dikelilingi oleh air, yang berada di atas air ketika air pasang) dengan batu-batu (yang tidak dapat menampung tempat tinggal manusia atau kehidupan ekonomi mereka dan tidak mempunyai zon ekonomi eksklusif)

Batu-batu ini sememangnya "tidak dapat menampung tempat tinggal manusia atau kehidupan ekonomi mereka", dengan jelas sekali disebabkan oleh ia hanyalah 2 ketul batu, membuatkan Jepun menghabiskan wang yang sangat banyak untuk membuktikan sebaliknya.

japan marine science and technology center

Pada tahun 1987, Jepun mula membina pemecah ombak keluli dan dinding konkrit di sekitar batu-batu tersebut untuk melindunginya daripada hakisan.

Pada tahun 1988 pula, mereka membina Pusat Sains dan Teknologi Marin Jepun, yang mana bukan di atas batu-batu tersebut tetapi berhampiran dengannya.

Dan akhirnya, walaupun konvensyen PBB dengan jelas menyatakan bahawa pulau buatan manusia tidak diambil kira, Jepun membina sebuah "pulau" batu buatan di antara dua batu tersebut menjadikannya 3 "pulau".

Secara keseluruhan, Jepun telah menghabiskan sekitar RM2.4 bilion dalam projek melibatkan Okinotorishma.

Rujukan:

1. Japan Times

2. Guardian

3. Interesting

4. Haerther




Hakcipta iluminasi.com (2017)