Pada tahun 1958, sejenis makanan baharu dicipta oleh seorang usahawan dengan matlamat untuk menamatkan kelaparan di Jepun.

Pencipta makanan ini tahu bahawa makanan ini mestilah sedap, tidak mudah rosak, mudah disediakan dan yang paling penting, murah.

Makanan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah antara makanan paling popular ketika ini iaitu mi segera.

BESARKAN TEKS     A-  A+

angkasawan makan mi segera di angkasa lepas 978

(Mi segera dimakan di angkasa lepas)

Malah, mi segegra juga menjadi makanan angkasawan di angkasa lepas.

Namun, tidak seperti sebahagian hasil ciptaan yang lain, mi segera tidak tercipta secara kebetulan.

Jadi, bagaimana ahli perniagaan berusia 48 tahun yang langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang penghasilan mi memulakan industri bernilai berbilion dolar?

momofuku ando 2

(Momofuku Ando)

Momofuku Ando bukanlah seorang usahawan yang "biasa-biasa". Beliau mempunyai pelbagai pengalaman dalam bidang perniagaan, dari menjual tekstil hinggalah kepada perniagaan arang.

Malah pada satu ketika, beliau pernah menubuhkan sebuah sekolah serta terdapat buku kanak-kanak ditulis berkenaan dengan diri Ando.

Untuk lebih memahami bagaimana mi segera tercipta, kita perlu kembali ke tahun 1940-an di Jepun.

Selepas Perang Dunia Kedua, Jepun berhadapan dengan masalah kebuluran yang sangat meluas dan mengalami musim menuai terburuk dalam beberapa dekad.

penuaian di jepun teruk selepas perang dunia kedua

Pada ketika itu, orang ramai kebuluran dan beratur untuk mendapatkan mi di gerai-gerai jalanan.

Disebabkan oleh undang-undang catuan yang ketat dan larangan menjual makanan jalanan, beribu-ribu pasar terbuka mula wujud.

Dianggarkan bahawa para pekerja kilang mendapat sebahagian besar sayur-sayuran mereka di pasaran gelap.

Pada ketika itu, Jepun sangat bergantung kepada gandum yang disediakan oleh Amerika Syarikat semasa pendudukannya.

jepun terima gandum dari amerika syarikat 961

Ramen dan gyoza, dua jenis makanan yang diperbuat daripada lebihan tepung gandum, dianggap sebagai "makanan stamina" kerana mengandungi kalori tinggi dan membuatkan anda kenyang.

Namun pada ketika itu, terdapat dorongan kuat untuk menggunakan gandum yang disediakan oleh AS untuk membuat roti.

Melihat situasi itu, Ando tertanya-tanya mengapa kerajaan Jepun tidak menggunakan sebahagian besar daripada tepung gandum itu untuk menghasilkan mi, makanan ruji di Jepun.

Beliau berkata, "Jika anda mengubah pemakanan, anda sebenarnya menghapuskan tradisi dan warisan budaya anda,".

momofuku ando pencipta mi segera 507

Ando berpendapat bahawa ramen yang lebih mudah didapati dan lebih mudah disediakan boleh menjadi penyelesaian kepada masalah kelaparan Jepun.

Namun jawapan yang diterima Ando adalah, "Jika anda rasakan ia idea yang bagus, maka lakukannya sendiri". 

Dan itulah apa yang Ando lakukan.

Walaupun ia adalah idea yang sangat bernas, namun ini tidak mudah bagi Ando yang langsung tidak memiliki pengalaman menghasilkan mi.

Lebih sukar, Ando perlu mencari cara untuk menghasilkan makanan segera yang enak, mudah disediakan, boleh disimpan lama dan mampu dibeli oleh orang ramai.

makmal momofuku ando bersaiz 10 meter persegi yang digunakan untuk menghasilkan mi segera

(Makmal Momofuku Ando bersaiz 10 meter persegi yang digunakan untuk menghasilkan mi segera)

Selepas setahun bertungkus-lumus mencari formula dan melakukan eksperimen, akhirnya Ando berjaya.

Pada dasarnya, Ando mendapat inspirasi menghasilkan mi segera selepas melihat isterinya menghasilkan tempura.

Ando menyedari bahawa menggoreng adalah satu proses penting dalam penghasilan mi segera.

Menggoreng dapat menyingkirkan kelembapan, membuatkan ia boleh disimpan dalam jangka masa yang lama dan kemudian dihidrasi semula dengan air panas.

mi segera dihasilkan menggunakan prinsip tempura

(Mi segera dihasilkan menggunakan prinsip penghasilan tempura)

Dengan ini, terciptalah mi segera yang tersangat ikonik.

Apa yang menarik adalah ciptaan Ando ini bukanlah satu kebetulan, di mana Ando tahu bahawa mi segera akan berjaya dan beliau bekerja keras selama setahun untuk mencari jalan penyelesaian.

Melihatkan kembali tahun-tahun sebelumnya, Ando berkata: "Pengalaman kesusahan dan penderitaan menguatkan saya untuk berjaya dalam waktu-waktu kritikal,".

Pada tahun 1958, Ando melancarkan Chikin Ramen dan menukarkan nama syarikatnya kepada Nissin.

penghasilan chikin ramen

Ando memainkan peranan penting dalam percubaan jualan mi segera ini di mana beliau dilaporkan membuka gerai jualan di Tokyo untuk memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba produk baharu itu.

Pada mulanya, mi segera ini dijual dengan harga 5 kali ganda berbanding mi segar, namun disebabkan ianya sedap dan mudah disediakan, produk ini mendapat sambutan ramai.

Ia digelar "mi ajaib" kerana ia sedia untuk dimakan hanya dalam beberapa minit sahaja.

Perang Dunia Kedua telah tamat lebih dari sedekad, ekonomi Jepun mulai pulih, terdapat lebihan tepung gandum dan orang ramai kembali bekerja seperti biasa.

momofuku ando cipta mi segera

Ini adalah situasi yang sangat tepat bagi mi segera untuk mengecapi kejayaan mutlak.

13 juta bungkus Chikin Ramen terjual dalam tahun pertama dan jualan di Jepun melonjak, berkembang kepada berbilion jualan hanya dalam tempoh sedekad.

Ia menjadi semakin popular dengan puluhan syarikat mula mengeluarkan mi segera.

Pada tahun 1968, penjualan mi segera di Jepun dianggarkan mencecah 3.5 bilion bungkus dan Ando masih terlibat dalam penghasilannya.

mi segera cawan

Di usia 61 tahun, Ando cuba untuk membuatkan mi segera menjadi "lebih segera" iaitu dengan mencipta mi cawan.

Nissin memperkenalkan mi cawan pada tahun 1971 dan sama seperti Chikin Ramen, ia mendapat sambutan hangat.

Malah, ia tersangat popular sehinggakan Nissin tidak mampu memenuhi permintaan walaupun mereka menghasilkan 650,000 mi cawan setiap hari.

Hari ini, penjualan mi segera adalah lebih dari 2 kali ganda penjualan mi segera bungkus di Jepun. Walaupun pelbagai kejayaan dikecapi, Ando masih terlibat dengan syarikat beliau.

Pada tahun 1998, The Japan Times menulis, "Walaupun meraikan ulang tahun kelahiran ke-88 tahun, Ando masih berminat untuk mencipta variasi baru mi segera,".

mi segera makanan ruji malaysia 683

Hari ini, beratus-ratus perisa mi segera diperkenalkan di Jepun setiap tahun dan ia bukannya mendapat sambutan di Jepun sahaja tetapi di seluruh dunia.

China adalah pasaran terbesar mi segera ketika ini di mana penduduk negara ini makan lebih dari 40 bilion hidangan mi segera setiap tahun.

Walau bagaimanapun, Korea Selatan mendahului dari segi pengambilan mi segera per kapita, dengan 75 hidangan per kapita setiap tahun.

Di Amerika Syarikat, Nissin Top Ramen diperkenalkan pada tahun 1972 dan 6 tahun kemudian, mi segera dikatakan mengancam untuk menggantikan televisyen sebagai eksport tertinggi Jepun ke Amerika Syarikat.

Kini, mi segera boleh ditemui hampir di semua kedai runcit dengan harga yang sangat murah dan lebih dari 100 bilion bungkus dimakan setiap tahun di seluruh dunia.

Malah, ia boleh dikatakan menjadi makanan ruji di Malaysia dan rakyat Malaysia merupakan antara yang paling banyak memakan mi segera di dunia.

Pada tahun 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai "Permintaan Global Terhadap Mi Segera" dengan jumlah 1,570 juta hidangan mi segera untuk tahun berkenaan.

pengambilan mi segera di seluruh dunia 498

(Kredit: iloveborneo)

Jika dibahagikan dengan jumlah penduduk, jumlah pengambilan mi segera oleh seorang rakyat Malaysia adalah sekitar 48 bungkus setahun.

Dan jika anda tertanya-tanya, Ando akhirnya bersara di usia 95 tahun dan syarikat beliau iaitu Nissin melaporkan pendapatan sekitar RM18.1 bilion pada tahun 2020. 

Nissin kini diterajui oleh anak Ando iaitu Koki Ando dan walaupun syarikat ini tersangat berjaya, Ando tidak pernah melupakan matlamat asalnya iaitu untuk menamatkan masalah kebuluran.

persatuan mi segera sedunia

Pada tahun 1997, Ando membantu memulakan apa yang kini dikenali sebagai Persatuan Mi Segera Dunia, dengan matlamat untuk meningkatkan industri mi segera dan menyediakan bantuan makanan kecemasan.

Sejak penubuhannya, organisasi ini telah membantu menyumbangkan beratus-ratus ribu hidangan mi segera.

Malah Ando pernah berkata, "Kita tidak pernah terlambat untuk melakukan apa sahaja dalam hidup. Anda boleh membuat permulaan baharu walaupun pada usia 50 atau 60 tahun".

Penciptaan mi segera oleh Ando benar-benar mengubah cara pemakanan manusia selama-lamanya.

muzium mi segera momofuku ando

(Muzium Mi Segera Momofuku Ando)

Rujukan:

1. Instant Noodle

2. Nissin Foods

3. Binsider

4. Nippon




Hakcipta iluminasi.com (2017)