Hiroo Onoda merupakan antara askar Jepun terakhir yang berhenti berperang dalam Perang Dunia Kedua, namun ia berlanjutan selama 29 tahun selepas Tentera Imperial Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu yang berada di atas U.S.S Missouri pada 2 September 1945.
Onoda lahir pada 19 Mac 1922 di perkampungan Kamekawa yang terletak di Wakayama, Jepun. Sepanjang zaman kanak-kanaknya, Onoda memang dikenali sebagai seorang yang suka mengingkari arahan dan keras kepala.
BESARKAN TEKS A- A+
Dikhabarkan, dia mempunyai darah pahlawan yang mengalir dalam dirinya. Nenek moyangnya merupakan samurai dan susur galur kepahlawanan ini berterusan sehingga ke bapanya iaitu seorang sarjan pasukan askar berkuda yang bertempur dan tewas dalam Perang Sino-Jepun Kedua di China.
Menyertai tentera
Onoda memilih jalan yang sama dan mendaftarkan diri sebagai Tentera Imperial Jepun setelah berusia 18 tahun. Hanya setahun selepas mendaftarkan diri, Amerika Syarikat telah mengisytiharkan perang terhadap Jepun berikutan serangan ke atas Pearl Harbour.
Semasa dalam tentera, Onoda telah dilatih sebagai pegawai risikan dalam kelas komando "Futamata" di pusat latihan ketenteraan Nakano yang memberikan pengkhususan dalam teknik ketenteraan tidak konvensional, termasuklah perang gerila, sabotaj, risik balas dan propaganda. Kemahiran-kemahiran yang Onoda pelajari daripada latihan unik di sini amat berguna apabila dia mula dihantar bertugas ke Pulau Lubang di Filipina selepas tamat latihan pada Disember 1944.
Dua tahun sebelum itu, Tentera Jepun telah menguasai tanah Filipina, merampas kuasa daripada kerajaan Filipina serta menawan pasukan tentera Amerika yang berada di situ. Walau bagaimanapun, bilangan tentera yang ada tidak cukup untuk bertahan apabila Amerika Syarikat telah membuat serangan balas dan berjaya mengusir Jepun dari kepulauan itu.
Pada musim sejuk tahun 1944, ramai tentera Jepun terpaksa melarikan diri dari tanah besar Filipina dan berpindah ke pulau yang lebih kecil seperti Pulau Lubang. Berbekalkan latihan dan kemahiran perang gerila yang dipelajari, Hiroo Onoda dihantar ke situ untuk mempertahankan warga Jepun daripada tentera Amerika dan Filipina selama mana yang termampu.
Teknik perang gerila
Onoda menggunakan teknik perang taktikal di mana apabila kubu tidak dapat lagi bertahan dalam perang konvensional, mereka akan melarikan diri ke hutan untuk memulakan serangan gerila.
Tujuannya adalah untuk menghalang tentera AS daripada terus membina kubu yang kuat di wilayah tersebut. Ia akan melengahkan mereka daripada mendekati tentera Jepun selain memberikan lebih masa kepada tentera Jepun untuk berkumpul semula dan bersiap-sedia untuk menyerang. Unit gerila ini yang juga menjadi perisik dalam diam akan berterusan menjadi musuh dalam selimut bagi pihak Tentera Bersekutu.
Walau bagaimanapun, apabila Hiroo Onoda tiba di pulau tersebut, pegawai-pegawai berpangkat tinggi yang berada di situ enggan membenarkan Onoda menyempurnakan tugasannya. Sebaliknya, mereka memilih untuk berlawan dan berdepan dengan Tentera Bersekutu yang menceroboh.
Akibatnya, apabila tentera AS mendarat di Pulau Lubang pada 28 Februari 1945, tentera Jepun cuba menentang dan akhirnya dikalahkan dengan mudah. Melihat kekalahan teruk yang bakal berlaku, Onoda mencari tiga rakan tenteranya iaitu Prebet Yūichi Akatsu, Koperal Shōichi Shimada dan Prebet Kelas Pertama Kinshichi Kozuka lalu mengarahkan mereka segera lari ke hutan untuk memulakan serangan gerila.
Dan Hiroo Onoda telah berterusan menjalankan perang gerila ini selama 29 tahun berikutnya.
Kelangsungan hidup di dalam hutan
Mereka dapat melangsungkan hidup dengan memakan nasi yang dicuri, buah kelapa dan daging daripada lembu ternakan yang dibunuh semasa serbuan ke ladang-ladang.
Pada bulan Ogos 1945, apabila perang antara Jepun dan Amerika Syarikat telah berakhir, Onoda telah dapat menghidu yang pertempuran antara kedua-dua pihak semakin reda namun dia tidak menyedari langsung bahawa negaranya sudahpun mengaku kalah. Jadi, tanpa disedari, dia telah berterusan menyambung perang itu dengan membuat serangan ke atas para petani serta menembak anggota polis yang cuba menangkap mereka.
Mengetahui kewujudan unit serangan gerila askar Jepun yang terputus hubungan sama sekali dengan pusat arahan ketenteraan, pihak Amerika Syarikat mencuba pelbagai usaha - termasuk menggugurkan risalah dari udara - untuk memastikan berita tentang Jepun menyerah kalah sampai ke lokasi persembunyian mereka.
Tidak mempercayai berita yang diterima
Hiroo Onoda dan rakan sepasukan ternampak risalah Amerika Syarikat yang mengatakan perang telah tamat dan Jepun menyerah kalah pada Oktober 1945. Walau bagaimanapun, apabila mengingati semula latihan yang diterima, Onoda cepat-cepat menolak dan mendakwa yang risalah itu sebenarnya adalah propaganda kerajaan AS.
Pada penghujung tahun 1945, banyak risalah lain yang datang. Kali ini cetakan risalah tersebut mengandungi arahan oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita dari Pasukan Ke-14 sendiri agar Onoda dan rakan-rakannya menyerah diri.
Onoda dan rakan-rakannya meneliti dan mengkaji dokumen itu. Akhirnya mereka membuat kesimpulan bahawa risalah tersebut adalah palsu. Sebagai orang Jepun yang mempunyai harga diri yang tinggi, Onoda tidak dapat menerima hakikat bahawa tentera Jepun sanggup menyerah kalah begitu sahaja tanpa berlawan sehingga ke titisan darah askar yang terakhir.
Onoda dan rakan-rakannya kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan kempen keganasan mereka di kawasan luar bandar sambil mengelakkan diri daripada pihak berkuasa Filipina.
Rakan sepasukan menyerah diri
Pada tahun 1949, Prebet Akatsu mula sedar bahawa perang yang sebenar sudahpun berakhir. Dia melarikan diri dari pasukannya dan hidup bersendirian dalam persembunyian selama enam bulan sebelum menyerahkan diri kepada Tentera Filipina pada bulan Mac 1950.
Penyerahan diri Akatsu membuatkan seluruh dunia mula mendapat tahu tentang aktiviti persembunyian askar Jepun yang masih bertapak di Pulau Lubang. Dengan maklumat ini, pihak Amerika Syarikat mula menghubungi ahli keluarga tentera yang masih bersembunyi dan menggugurkan surat-surat daripada ahli keluarga ke seluruh kawasan pulau pada tahun 1952.
Menurut Onoda, mereka menjumpai risalah dan gambar itu namun menganggap bahawa kesemua ahli keluarga di Jepun sedang hidup di bawah cengkaman pendudukan tentera AS, jadi mereka telah dipaksa menulis surat tersebut untuk terus selamat.
Kehidupan selama hampir tiga dekad berikutnya merupakan suatu perkara yang sukar bagi Onoda. Pada tahun 1954, dia kehilangan Koperal Shimada akibat ditembak dan dibunuh oleh pasukan mencari Filipina. Mereka diburu kerana telah tersenarai sebagai penjenayah yang dikehendaki. Pada tahun 1972 pula, sekutu Onoda yang terakhir iaitu Prebet Kelas Pertama Kozuka mati ditembak pihak polis semasa mereka berdua sedang membakar silo beras di sebuah kampung.
Kemudian tinggallah Onoda sendirian - seorang askar Jepun yang enggan menyerah kalah kepada kerajaan Filipina. Ketika ini, setelah Akatsu pulang ke Jepun dan berita kematian Shiada dan Kozuka tersebar, seluruh rakyat Jepun sudahpun mengetahui dan mengikuti kes Hiroo Onoda.
Menerima lawatan mengejut
Salah seorang rakyat Jepun yang mengikuti kisah Onoda ialah Norio Suzuki iaitu seorang pengembara yang sudah merantau hampir ke seluruh dunia. Untuk pengembaraan menjelajahi dunia yang seterusnya pada tahun 1974, Suzuki memasang niat untuk melihat sendiri "Leftenan Onoda, seekor panda dan Yeti - mengikut turutan."
Apabila tiba di Filipina pada bulan Februari tahun itu, impiannya tercapai kerana berjaya menemui Hiroo Onoda di dalam hutan di Pulau Lubang. Pada mulanya, Onoda sangat berhati-hati dengan kehadiran Suzuki namun kerisauannya reda apabila lelaki muda itu berkata, "Onoda-san, Maharaja dan seluruh rakyat Jepun sangat risaukan anda." Suzuki kemudian bertanya mengapakah Onoda enggan keluar dari persembunyian. Onoda memberitahu bahawa dia tidak akan sesekali meninggalkan pulau tersebut sehinggalah dia dibebaskan daripada tugasannya oleh pegawai atasan.
Setelah Suzuki kembali ke Jepun, dia memaklumkan keadaan dan situasi Onoda kepada pihak berkuasa Jepun. Pihak kerajaan kemudian berusaha mencari semula pegawai pemerintah Onoda iaitu Mejar Yoshimi Taniguchi yang kini telah bekerja sebagai seorang penjual buku dan menerbangkannya ke Pulau Lubang.
Maka, pada 9 Mac 1974, Hiroo Onoda yang berusia 52 tahun akhirnya memunculkan diri dari dalam hutan untuk menerima arahan komandernya supaya menyerah diri. Dia masih berpakaian uniform yang sudah lusuh namun lengkap dengan senapang dan pedang yang masih dalam keadaan sangat baik.
Walaupun begitu, dia masih ragu-ragu dan bersedia untuk sebarang kemungkinan perangkap. Akan tetapi, setelah diarahkan pegawainya, dia serta-merta meletakkan senapang, 500 butir peluru, pedang dan pisau belatinya sebelum mengangkat tangan menghormati bendera tanah air tercinta.
Onoda menyerahkan pedang miliknya kepada Presiden Filipina sebagai tanda menyerah dan dia telah diampunkan daripada kesemua jenayah yang dilakukan ke atas rakyat Filipina.
Diangkat menjadi hero di Jepun
Kepulangan Onoda disambut sebagai seorang hero di Jepun. Namun, dia masih berasa tidak selesa dengan segala maklumat yang baru diketahui tentang negaranya serta perubahan-perubahan yang berlaku di sana. Dia tidak percaya bahawa Jepun perlu menggalas tanggungjawab terhadap perang yang tercetus di Asia Timur dan berasa terkejut dengan pendirian Jepun yang sanggup membiarkan pasukan tenteranya dibubarkan oleh kuasa Bersekutu.
Tidak lama selepas itu, dia mula melibatkan diri dalam politik sayap kanan di mana dia ingin memulakan Jepun yang lebih kuat dan tidak gentar untuk berperang. Walau bagaimanapun, kemasyhuran yang dikecapi serta pelbagai perubahan yang berlaku di Jepun selepas lebih dua dekad itu membuatkan dia berasa amat tidak selesa. Jadi, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke Brazil pada tahun 1975.
Di Brazil, dia telah memulakan kehidupan berkeluarga dan menternak lembu di ladang. Akhirnya, dia kembali ke Jepun untuk melancarkan kem alam semula jadi bagi kanak-kanak. Kem ini dipercayai boleh membantu golongan muda untuk berhubung dengan alam selain membina nilai-nilai positif dalam diri mereka.
Tanggal 6 Januari 2014, Hiroo Onoda menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan jantung pada usia 91 tahun. Walaupun dia bukanlah dinobatkan sebagai tentera Jepun terakhir yang terus berperang dalam Perang Dunia Kedua (gelaran itu diberi kepada Teruo Nakamura iaitu seorang lagi tentera gerila yang berjuang di hutan Indonesia dan menyerah diri beberapa bulan selepas Onoda), kisah persembunyian dan namanya masih dikenali sehingga ke hari ini.
Dedikasi dan ketegasannya mempercayai askar Jepun telah membantunya mengharungi saat-saat getir sepanjang tempoh tersebut. Malangnya, pada masa yang sama, ia juga membuatkan dia terdorong untuk mengorbankan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa walaupun perang sudah lama tamat.
Kisah Hiroo Onoda ini menunjukkan bagaimana nilai seperti kesetiaan, harga diri, keazaman dan komitmen boleh membawa anda kepada kebaikan dan juga keburukan.
Rujukan:
1. NPR
2. Economist