bom belon jepun

Zaman peperangan seringkali menyaksikan penciptaan senjata-senjata atau ciptaan baru oleh pihak-pihak yang terlibat dalam kancah peperangan. Hal ini disebabkan mereka perlu menyanyingi dan mengimbangi kekuatan tentera pihak lawan. Mana-mana pihak yang mempunyai kekurangan pastinya akan kalah di medan perang. 

Ketika zaman Perang Dunia, pihak tentera Jepun telah mencipta satu senjata baru yang bukan sahaja kreatif tapi dikatakan berkesan. Mereka telah mencipta bom belon sebagai usaha untuk menyaingi kekuatan serangan udara tentera Bersekutu terutamanya di kawasan Pasifik. 

Pada ketika itu, pihak Jepun tidak mempunyai pelancar roket atau jom jarak jauh. Selain itu, mereka juga tidak mempunyai kapal pelancar pesawat bagi melancarkan jet pejuang dari laut. Oleh itu, pihak Jepun perlu mencari jalan untuk mengimbangi kekuatan serangan udara pihak musuh.

Kajian mengenai jet stream

jet stream

Dua dekad sebelum itu, seorang ahli metereologis dari Jepun bernama Wasaburo Oishi telah membuat penemuan mengenai aliran udara pada altitud tinggi (high-altitude current), yang kini dikenali juga sebagai aliran jet atau arus udara jet (jet stream) yang bertiup di kawasan Pasifik.

Beliau kemudian telah menjalankan beberapa siri eksperimen dengan melancarkan belon ke udara yang dilepaskan dari beberapa lokasi di Jepun. Daripada kajian ini, beliau dapat membuktikan kewujudan jet stream ini yang bertiup dari Barat ke Timur.

Malangnya, kajian ini telah diterbitkan dalam bahasa Esperanto, iaitu sejenis bahasa yang jarang dipertuturkan tapi telah membolehkan kajian ini dilihat dan diakses oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia.

Apabila pihak tentera Jepun menyedari akan kajian ini, mereka sedar kewujudan aliran udara pada altitud tinggi ini boleh dimanfaatkan untuk membawa bom dan senjata lain menyeberangi kawasan Pasifik sehingga ke Amerika Syarikat.

Penggunaan bom udara ketika zaman peperangan

bom belon

Selama tempoh 5 bulan sehingga April 1945, pihak tentera Jepun telah melancarkan kira-kira 9000 belon bom ini ke udara. Setiap belon yang berisi gas hidrogen ini turut akan diikat padanya bahan letupan. Bom belon ini dikenali sebagai Fu-Go.

Belon tersebut akan dibiarkan terbang ke udara setinggi 30,000 kaki sebelum sebelum satu mekanisme kawalan menendang dan menetapkan belon di ketinggian yang betul dengan membuang beg pasir apabila ia turun terlalu rendah atau membuang hidrogen apabila ia naik terlalu tinggi.

Selama tiga hari belon tersebut akan melayang ke seluruh Pasifik menunggang aliran jet pada ketinggian yang tinggi. Pada hari ketiga terdapat mekanisme khas yang akan melepaskan bom ke kawasan Amerika Syarikat, dan balon itu sendiri akan meletup (self-destruct) untuk menghalang musuh dari merampas dan mencuri rahsia atau teknologi di sebalik pembuatannya.

Daripada 9,000 buah yang dilancarkan, kira-kira 300 daripadanya sampai ke pantai barat benua Amerika Utara, dari Alaska ke Mexico dan sejauh kawasan pedalaman seperti Texas, Wyoming dan Michigan. Kebanyakannya jatuh di kawasan terpencil dan tidak berbahaya di lokasi tidak berpenghuni. Selain kerosakan kecil, ia turut menimbulkan kebimbangan kerana menyebabkan kebakaran kawasan hutan.

Respon terhadap serangan bom belon Jepun

bom belon jepun perang dunia kedua

Menyedari akan penggunaan bom belon ini, sekitar 2,700 orang tentera pasukan Bersekutu telah ditempatkan di tempat kritikal di sepanjang hutan pesisiran pantai Pasifik dengan peralatan pemadam kebakaran. Pesawat pejuang  juga dikerah untuk memintas belon, tetapi ianya kurang berkesan memandangkan mereka terbang begitu tinggi dan sangat cepat sehingga hanya kurang daripada 20 bom belon ini ditembak jatuh.

Pada mulanya tidak ada sesiapapun yang percaya bahawa belon itu boleh datang  dari Jepun berikutan jaraknya yang begitu jauh. Tetapi apabila pasir dari beg pasir yang diikat pada belon dianalisis untuk komposisi mineral dan kewujudan  mikroskopik yang lain di dalamnya, ia memberikan jawapan yang dicari-cari.

Ahli geologi akhirnya berjaya menjejaki pasir tersebut datangnya dari pantai yang terletak di bandar Ichinomiya di pulau Honshu. Hasil pengintipan dari udara yang dilakukan di kawasan tersebut juga menemui dua buah kilang berdekatan pantai tersebut yang dipercayai menghasilkan hidrogen yang digunakan. Kilang ini segera dimusnahkan melalui serangan pengeboman dari udara.

Selain itu, kerajaan Amerika Syarikat telah melakukan segala yang termampu bagi menghalang kewujudan serangan bom belon ini sampai ke pengetahuan pihak media. Ianya dilakukan agar tiada sesiapapun yang tahu bahawa orang Jepun mampu menghasilkan sejenis senjata yang dianggap pintar dan berkesan. Tindakan ini juga bagi mengelakkan keadaan panik orang ramai.

Kesan kemusnahan bom belon

monumen mangsa bom belon

Kemusnahan kilang menghasilkan gas hidrogen akibat serangan udara Amerika Syarikat telah memaksa pihak Jepun menghantikan penggunaan bom belon ini. Lagipun pihak Jepun percaya kesan kemusnahan yang dihasilkan oleh bom ini tidaklah begitu dahsyat seperti yang dikehendaki.

Setelah kematian sekumpulan orang awam yang sedang berpiknik di Oregon disebabkan oleh bom ini, barulah pihak media tiba-tiba kecoh akan kewujudan bom belon ini. Setelah kejadian ini, barulah kerajaan mula sedar betapa pentingnya rakyat tahu akan bom ini bagi mengelakkan perkara sama terjadi.

Kini di Oregon, terdapat sebuah monumen kecil yang dibina di tempat 6 orang mangsa tersebut terbunuh. Di monumen batu tesebut turut tersenarai nama-nama mangsa yang terlibat. Tidak jauh dari situ, dapat dilihat dengan jelas kesan letupan dan kebakaran pada pokok.

Kredit:

  1. Japan Times
  2. Wikipedia
  3. National Geographic

tags : , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)