Oleh pada 20 Apr 2022 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Jaga-Jaga Senariounion adalah sebuah filem bergenre komedi terbitan tahun 2022, lakonan utama oleh kumpulan pelawak legenda negara, Senario.

Ia mendapat sentuhan daripada pengarah sohor, Aziz M. Osman yang sebelum ini amat sinonim dengan francais filem Senario.

Aziz pernah menduduki kerusi pengarah bagi filem Senario yang berjudul Senario The Movie pada 1999, Senario Lagi (2000), Lagi-Lagi Senario (2001), Senario XX (2005) dan Senario Pemburu Emas Yamashita (2006).

Manakala, Jaga-Jaga Senariounion yang merupakan filem televisyen ini mengikut jadual, bakal ditayangkan di platform Astro First bermula 21 April 2022.

   

sinopsis jaga jaga senariounion 703

Kredit foto: Instagram Astro Shaw

Sinopsis

Membawa penceritaan yang cukup dekat dengan jiwa masyarakat iaitu peristiwa di majlis kenduri kahwin yang melibatkan dua buah keluarga.

Kisah bermula apabila keluarga dan rakan-rakan Datuk Hamdan berkumpul untuk majlis akad nikah, mengiringi anaknya, Amin, bakal pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan (anak Azlee). Mereka membawa sembilan dulang hantaran bernilai RM50,000.

Malang tidak berbau apabila keluarga Datuk Hamdan menjadi mangsa kes samun ketika dalam perjalanan ke rumah bakal besannya. Mereka diserang perompak yang merampas kesemua dulang hantaran tersebut.

Anehnya, hanya barang-barang hantaran sahaja yang dicuri, tidak pula yang lainnya!

Rombongan Datuk Hamdan sampai di rumah pengantin perempuan dengan tangan kosong, hingga mengundang curiga ibu pengantin perempuan, Syanie yang bertegas mahu membatalkan akad nikah.

Ketegangan yang berlaku membawa kepada kemunculan Saiful, seorang penyiasat insuran yang berpendapat adanya unsur sabotaj dalam 'tragedi' itu.

Setiap seorang sama ada ahli keluarga pengantin lelaki atau perempuan tidak terkecuali daripada disyaki sebagai individu yang bertanggungjawab.

Mereka kesemua dihimpunkan dan dengan kebijaksanaan Saiful, setiap anggota keluarga disiasat untuk membongkar misteri si dalang yang sebenar.

Siapakah perancang insiden curi dulang hantaran ini dan kenapa?

senario

Kredit foto: Instagram Senariounion

Pelakon / Cast

Mengembalikan semula ahli-ahli kumpulan lawak popular, Senario menerusi gandingan Azlee, Saiful Apek, Wahid, Yassin, Hamdan dan Illya bagi mengubat kerinduan peminat yang sudah sebati dengan lakonan dan watak-watak mereka dalam filem-filem Senario terdahulu.

Juga membuat 'comeback' ialah barisan wajah-wajah yang juga sudah sinonim mewarnai filem Senario iaitu tidak lain dan tidak bukan, Syanie Hisham, Mas Said, Badrolshah, Bobby Kiran termasuk kehadiran pelakon baru, Amm Raja Lawak dan Nur Farisha Amira.

jaga jaga senariounion movie

Kredit foto: Instagram Syanie Hisham

Watak Pelakon

Azlee Jaafar sebagai Azlee

Illya Buang sebagai Tok Kadi

Saiful Apek sebagai Saiful

Wahid sebagai Wahid

Yassin Yahya sebagai Yassin

Hamdan sebagai Dato Hamdan

Syanie Hisham sebagai Syanie

Amm Raja Lawak sebagai Amen

Nur Farisha Amira sebagai Zila

Mas Said sebagai Prono

Badrolshah sebagai Bala

Bobby Kiran sebagai Nora

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Karya terbaru arahan Aziz M. Osman ini adalah hasil produksi daripada syarikat penerbitan, Botak Production Management Sdn Bhd.

filem senario

Kredit foto: Instagram Senariounion

Tarikh Tayangan

Menemui penonton secara eksklusif di saluran pawagam rumah, Astro First (CH 480) bermula 21 April 2022, manakala untuk kandungan online boleh didapati melalui platform OTT iaitu aplikasi Astro Go dan On Demand.

Caj harga yang dikenakan bagi sewaan tontonan selama 48 jam (2 hari) ialah RM15.

Cara Langgan / Beli Astro First

Pilih judul filem yang ingin disewa di saluran 480. Langkah-langkah mudah untuk diikuti, akan dipaparkan di saluran berkenaan.

Akhir sekali, hantar kod langganan yang tertera di skrin TV menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi Whatsapp.

Kredit video: Tayangan Perdana / Trailer - Jaga-Jaga Senariounion




Hakcipta iluminasi.com (2017)