Salah satu sejarah hitam yang menjadi topik utama dalam pendidikan negara kita, adalah berkenaan era penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Kemaraan tentera Jepun ketika itu yang hadir dengan basikal berjaya mengusir keluar British sehinggakan mereka berjaya mengambil alih pentadbiran negara kita beberapa tahun, memperkenalkan perubahan drastik yang hampir mengubah bentuk masyarakat kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Digeruni, nama seperti Jeneral Yamashita terus disebut sebagai antara individu kejam tentera Jepun mengakibatkan pertumpahan darah di kalangan masyarakat kita.

Tetapi sedarkah anda, dari segi undang-undang Jepun sendiri sekarang - negara Jepun tidak boleh mempunyai angkatan tentera?

Kesan besar penjajahan Amerika Syarikat ke atas Jepun

askar us goda awek jepun

Tentera Jepun gah satu ketika dahulu namun selepas tewas dalam perang dunia kedua, kegagahan Jepun akhirnya dilemahkan melalui usahasama tiga negara iaitu Amerika Syarikat (USA), United Kingdom (UK) dan Republik of China (ROC).

Melalui deklarasi yang dinamakan sebagai Deklarasi Potsdam atau 'Procalamation Defining Terms for Japanese Surrender', Presiden USA Harry Truman pada tahun 1945 menggariskan tawaran ke atas kerajaan Jepun, sekiranya mereka menyerah kalah secara rasmi.

Deklarasi itu yang diterima oleh kerajaan Jepun membolehkan pihak luar menulis semula perlembagaan negara Jepun, bagi menggantikan perlembagaan asal negara tersebut iaitu Perlembagaan Meiji yang berjaya dimansuhkan pada tahun 1946.

Perlembagaan baru Jepun diisytihar berkuatkuasa bermula 3 Mei 1947 mengandungi 103 artikel keseluruhannya.

Bagi memastikan ancaman tentera Jepun berjaya dikendurkan, salah satu artikel utama yang menyentuh berkenaan bidang ketenteraan iaitu Artikel 9 Perlembagaan Jepun digubal.

Melalui Artikel 9 inilah kerajaan Amerika Syarikat sehingga ke hari ini campur tangan/bekerjasama dengan Jepun dari segi bidang ketenteraan.

Apa isi kandungan Artikel 9 Perlembagaan Jepun?

artikel 9 perlembagaan jepun

Dalam artikel 9 Jepun, dinyatakan bahawa Jepun sebagai sebuah negara tidak lagi akan melibatkan diri dalam mana-mana peperangan atau menyertai kempen peperangan, bagi menyelesaikan pertikaian berstatus antarabangsa yang timbul.

Lebih penting, artikel 9 itu juga menyebut bahawa bermula daripada tarikh pengisytiharan perlembagaan baru Jepun; Jepun selepas ini tidak lagi akan mengendali atau mengelolakan apa saja bentuk angkatan baik di darat, laut dan udara yang membawa sentimen perang.

Ini bermakna bermula pada tahun 1947, angkatan perang Jepun telah pun dibubarkan secara rasmi, hanya dilindungi oleh tentera Amerika Syarikat.

Bagi melindungi kepentingan mereka di Jepun, USA serta Jepun bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Keselamatan 1951 yang menyerahkan sepenuhnya hak untuk USA mempertahankan Jepun.

Sebagai balasan, Jepun bersetuju untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana angkatan tentera dunia luar sebelum mendapat persetujuan USA. Selain itu Jepun juga bersetuju menempatkan pengkalan tentera USA di negara mereka serta menanggung kos pengkalan tersebut sepenuhnya.

Bagaimanapun disebabkan tercetusnya perang saudara Korea pada era 1950-an yang turut sama disokong China dan Soviet, menyebabkan Amerika Syarikat dan kerajaan Jepun menyemak semula artikel 9 tersebut - bimbang sekiranya Jepun dicerobohi kerana tentera USA yang ditempatkan di Jepun terpaksa dikerahkan keluar berperang.

Bermula penubuhan pasukan keselamatan Jepun

hubungan usa jepun tentera pertahanan

Kerajaan Jepun membuka keanggotaan unit polis simpanan pada tahun 1950 sebelum diperkembangkan kepada unit peronda pantai pada tahun 1952.

Menyedari usaha yang dijalankan masih tidak memadai, kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat bersetuju untuk memperkenalkan akta Angkatan Pertahanan Diri 1954, bagi membolehkan orang awam menyertai pasukan keselamatan awam Japan Self Defense Force (JSDF) bukan sebagai anggota tentera - sebaliknya sebagai seorang petugas keselamatan yang dilindungi di bawah undang-undang sivil.

Dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Pasukan Pertahanan Darat (GSDF), Pasukan Pertahanan Maritim (MSDF) dan Pasukan Pertahanan Udara (ASDF), pada mulanya ketiga-tiga agensi ini bermula dalam skala kecil sahaja.

Sehinggalah kerajaan Jepun mula melancarkan pembesaran pasukan pertahanan mereka pada tahun 1976, bagi membolehkan ketiga-tiganya mempunyai kebolehan untuk mempertahankan diri dalam serangan skala sederhana - ekoran daripada aktiviti Soviet ketika itu yang dilihat berani memasuki beberapa kepulauan di sekitar Hokkaido.

Dalam tahun yang sama, kerajaan Jepun melancarkan Program Pelan Pertahanan Negara 1976, bagi menggariskan panduan dan sekatan yang diboleh atau dianggap larangan dalam memantau gerakan pertahanan negara mereka.

Ironi 'angkatan pertahanan' Jepun

japanese self defense force

Badan pertahanan Jepun mengalami perkembangan pesat tahun ke tahun, walaupun banyak pihak menganggap tindakan itu tidak selari dengan perlembagaan negara mereka sendiri, apatah lagi masyarakat Jepun sendiri secara majoritinya berpegang kepada sentimen anti ketenteraan.

Demi menjaga sokongan, kerajaan Jepun memperkenalkan had siling perbelanjaan pertahanan mereka dihadkan hanya 1% daripada keseluruhan bajet negara setiap tahun. Namun tindakan ini tetap dilihat tidak selari dengan pandangan orang ramai.

Disebabkan oleh sentimen buruk orang ramai, kerajaan Jepun mula giat menggunakan GSDF, MSDF dan ASDF untuk tujuan-tujuan amal seperti membantu mangsa bencana dan kebajikan - tanpa melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti peperangan.

Langkah itu dilihat berjaya melembutkan hati masyarakat Jepun untuk sekurang-kurangnya menerima kewujudan tiga agensi tersebut walaupun atas kertas ketiganya boleh dikatakan tidak sah.

Usaha untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan Artikel 9 mengiktiraf kewujudan pasukan pertahanan secara rasmi terus menjadi salah satu fokus utama Perdana Menteri Jepun ketika ini, Shinzo Abe.

Mempunyai pandangan bahawa Artikel 9 dipaksa oleh Amerika Syarikat ke atas Jepun bagi mengehadkan pengaruh ketenteraan Jepun sendiri, Abe meletakkan sasaran tahun 2021 sebagai tarikh akhir cubaan beliau, sebelum beliau perlu meletakkan jawatan.

Malang bagi Abe, sentimen masyarakat Jepun tetap kekal anti perang dan anti tentera. Dalam kaji selidik bulan Jun tahun 2020, hanya 29.9 peratus responden menyokong usaha beliau sementara 69 peratus membantah.

Lebih malang, pada 29 Ogos 2020 - Shinzo Abe meletakkan jawatannya akibat masalah kesihatan.

Rujukan

National Defense Program Outline




Hakcipta iluminasi.com (2017)