Oleh pada 17 Dec 2021 kategori

Kredit: Instagram Dato' Fazley Yaakob 

 

Akur dengan rezekinya yang terhenti setakat konsert Gegar Vaganza 8 (GV8) minggu keempat, Dato' Fazley Yaakob meluahkan kelegaannya kerana sudah memberikan yang terbaik dalam berhadapan persaingan dengan barisan bintang lain yang disifatkannya jauh lebih layak bergelar peserta.

 

"Saya hanya usahakan agar ada peningkatan di dalam persembahan saya setiap minggu, bukan bertanding untuk lebih baik dari peserta-peserta lain.

 

"Gegar Vaganza bukan pentas saya, ianya terlalu besar untuk saya yang sememangnya bukan penyanyi pertandingan," luahnya di Instagram.

  

 

Tambahnya, terdapat perbezaan besar di antara penyanyi yang menyertai sesebuah pertandingan dengan penyanyi rakaman sepertinya.

 

"Saya hanya penyanyi rakaman yang boleh perbaiki nyanyian di dalam studio berkali-kali tanpa penjurian sehingga ia sempurna sebelum dijadikan sebagai sebuah lagu untuk dimainkan di radio.

 

"Penyanyi yang menyertai sesebuah pertandingan pula adalah mereka yang ternyata begitu hebat dan menjadi kebiasaan menyanyi 'live' tanpa kesilapan besar di hadapan para juri dan ribuan penonton," jelas bapa kepada empat orang anak itu lagi.

  

 

Selepas sekian lama menyepikan diri dari bidang nyanyian, beliau menganggap penyertaannya dalam program hiburan nombor satu itu sebagai sebuah hadiah buat para penyokongnya selain turut berpuas hati dengan prestasi persembahan terakhirnya hujung minggu lalu.

 

"Saya memasuki GV8 untuk kembali dilihat menyanyi setelah hampir 10 tahun tidak muncul di mana-mana pentas nyanyian.

 

"Saya yakin ianya adalah persembahan terbaik saya dari segi gimik dan juga vokal. Setuju?," pertahannya.

 

Untuk rekod, Dato' Fazley yang membawakan lagu Mahligai Syahdu dendangan penyanyi senior, Datuk Hattan, diumumkan sebagai peserta kedua yang tersingkir dari pertandingan tersebut selepas kumpulan Nico G.

   

Komen Pilihan

  

fazleyss

 

"Saya tahu betapa bekerja kerasnya anda untuk persembahan minggu ini. Kami berbangga dengan anda.

 

"Anda telah menunjukkan peningkatan. Teruskan menyanyi dan keluarkan 'single' yang seterusnya. Insya-Allah," tulis artis serba boleh, Mark Adam yang juga merupakan salah seorang jurulatih vokalnya selain Noryn Aziz dan Cikgu Shafi.

 

Sumber: Instagram Dato' Fazley Yaakob 




Hakcipta iluminasi.com (2017)