Kredit foto: tv14.my & Instagram Syafiq Yusof

Penerbit dan pengasas Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mengesahkan penerbitan sekuel filem Abang Long Fadil (ALF) sekaligus mengekalkan teraju utama, aktor Zizan Razak.

Keputusan itu dibuat susulan kejayaan besar filem terdahulu arahan anaknya, Syafiq iaitu Abang Long Fadil 2 (ALF2) dengan kutipan sebanyak 18.1 juta selepas tayangan di lebih 100 pawagam seluruh negara bermula 24 Ogos lalu.

"Abang Long Fadil 3 (ALF3) dijangkakan membabitkan kos sebanyak RM4 juta itu adalah hadiah kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap industri filem melayu tanah air.

"Penggambarannya dijangka akan diadakan selepas Aidilfitri tahun depan iaitu selepas tayangan filem ketujuh arahan Syafiq iaitu KL Special Force yang akan ditayangkan pada Mac tahun depan," katanya memetik laporan portal Harian Metro.

Yusof membuat kenyataan tersebut di majlis meraikan kejayaan Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang menjadi pawagam dengan jumlah kutipan tertinggi (RM700,000) serta jumlah penonton terbanyak untuk seluruh Malaysia bagi tayangan ALF2

Dalam pada itu, Yusof berkata, ALF3 akan menelan kos lebih tinggi serta memakan masa penggambaran lebih panjang berbanding filem terdahulu.

"ALF3 akan membabitkan kos lebih tinggi berbanding sebelumnya kerana filem itu juga bakal menampilkan lebih ramai bintang dan nama besar dalam industri.

"Filem itu nanti bakal mengambil masa penggambaran yang panjang bagi menghasilkan filem aksi yang lebih berkualiti setaraf dengan filem Hollywood.

"Dengan mengekalkan pelakon utama selain barisan pelakon baru dan lama serta kecanggihan teknologi yang diserapkan dalam filem itu, saya yakin ia mampu mencatat kutipan lebih daripada apa diperolehi menerusi ALF2," beritahunya.

Keuntungan besar diraih filem keenam Syafiq itu sekaligus mengenepikan filem dengan kutipan terbanyak sebelum ini, Polis Evo terbitan Astro Shaw yang meraih RM17.74 juta.

Manakala Munafik arahan seorang lagi anak Yusof iaitu Syamsul di tangga ketiga dengan kutipan RM17.042 juta.

"Walaupun berdepan masalah rakaman secara haram ketika awal tayangan, saya bersyukur kerana ia tidak memberi kesan besar kepada tayangan ALF2.

"Saya juga melihat kejayaan LFS Kuala Terengganu mencatat kutipan tinggi atas faktor sokongan peminat yang bukan sahaja datang dari negeri ini malah dari Kelantan," katanya lagi.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)