Kredit foto: Instagram Syafiq Yusof

Filem arahan Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 2 (ALF2) kini menjadi filem dengan kutipan tertinggi dalam sejarah filem tempatan iaitu sebanyak RM17.8 juta (hingga semalam).

Ini sekaligus mengenepikan filem yang memegang rekod itu pada dua tahun lalu, Polis Evo sebanyak RM17.7 juta.

Lebih menarik, filem terbitan Skop Production Sdn Bhd ini masih dibuka tayangannya di 70 pawagam seluruh negara sekaligus bakal meraih lebih kutipan.

Penerbit ALF2, Datuk Yusof Haslam dalam sebuah kenyataannya menyifatkan kejayaan itu sebagai satu persaingan yang sihat di kalangan pengarah muda.

Malah ia menjadi bukti masa depan industri filem tempatan sudah kembali pulih.

"Saya melihat kebangkitan semula filem Melayu semakin positif dengan persaingan sihat dalam kalangan pengarah muda.

"Jika dua tahun lalu, filem Polis Evo karya sutradara baharu, Ghaz Abu Bakar mengejutkan industri perfileman, kini ramai pengarah muda berlumba-lumba menghasilkan filem berkualiti.

"Saya juga lihat saingan antara anak saya, Syamsul dan Syafiq yang sentiasa mahu filem arahan mereka meningkat kepada tahap lebih tinggi setiap tahun," katanya dalam laporan yang dikeluarkan portal BH Online.

Sementara itu, Yusof berkata, syarikatnya bersama Astro Shaw berkemungkinan besar akan membuat kesinambungan trilogi Abang Long Fadil.

Apatah lagi anaknya, Syafiq berasa teruja kerana jalan cerita filem itu berjaya memenuhi selera penonton.

"Keputusan menerbitkan trilogi ini akan diputuskan, tidak lama lagi. Syafiq juga bersemangat apabila filem arahan menepati cita rasa penonton hari ini," katanya yang kini berada di set penggambaran Gerak Khas di Jakarta, Indonesia.

Filem Abang Long Fadil 2 membariskan senarai pelakon terkemuka antaranya Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib, Datuk AC Mizal, Achey, Wak Doyok, A Galak dan Tania Hudson. 

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)