Kredit foto: Instagram KL Special Force

Selepas empat hari tayangan, filem KL Special Force berjaya memungut kutipan sebanyak RM4.7 juta yang juga merupakan rekod baharu bagi syarikat produksinya, Skop Productions.

Apa yang lebih mengejutkan penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, apabila filem penuh aksi arahan anak lelaki beliau, Syafiq Yusof itu meraih kutipan hampir RM1 juta, hanya pada hari pertama tayangan pada Khamis lalu.

"Jumlah kutipan pada hari pertama tayangan termasuk 'sneak preview', iaitu tayangan lewat malam Rabu, berjaya mencatat jumlah kutipan kira-kira RM900,000. Jumlah ini melebihi kutipan hari pertama filem Abang Long Fadil 2, tahun lalu," ujarnya kepada portal BH Online.

Menurut Yusof, pada awalnya dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi memandangkan karya itu lebih serius dan bukan bercorak komedi seperti Abang Long Fadil 2.

"Terus-terang, saya memang tak jangka kerana filem ini lebih serius, tidak seperti Abang Long Fadil 2 yang mempertaruhkan komedi.

"Harapan saya, biarlah ia terus mendapat sokongan padu kerana saya bimbang juga dengan kemunculan filem 'blockbuster', Pacific Rim Uprising dan Lee Chong Wei, selepas ini," katanya.

Yusof berpendapat faktor kreativiti dan kepadatan babak aksi menjadi penyebab mengapa naskhah bercorak kepolisan itu berjaya mencuri hati penonton untuk ke panggung.

"Saya mendapat banyak maklum balas positif mengenai filem terbabit. Bukan saja penonton dewasa, tetapi golongan kanak-kanak juga menyukai filem terbaru daripada kami ini," katanya tentang filem yang mendapat kerjasama Damofa Productions dan Viper Studios selaku penerbit.

Menerusi laman sosial, rata-rata netizen dilihat berpuas hati sekaligus menganggap KL Special Force sebagai penanda aras baharu filem tempatan.

Filem paling dinantikan ini dijayakan gandingan mantap pelakon Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Esma Danial, Sabrina Ali, Ramona Zamzam, Puteri Balqis dan Josiah Hogan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)