Kredit foto: Instagram @astroshaw
Filem Misteri Dilaila mencatat kejayaan apabila berjaya mengumpul kutipan RM8.8 juta dalam tempoh 11 hari tayangan!
Penerbitnya, Astro Shaw Sdn Bhd berkongsi berita itu menerusi Instagram dengan merakamkan penghargaan atas sokongan diberikan para penonton.
"Alhamdulillah. Hasil sokongan anda semua, Misteri Dilaila telah meraih kutipan RM8.8 juta dalam tempoh 11 hari tayangan! Terima kasih semua!" tulisnya di sebuah kiriman.
Kredit foto: Instagram @astroshaw
Menerusi ruangan komen, beberapa warganet dan peminat filem mengucapkan tahniah kepada produksi dan menyifatkan karya tersebut sebagai sebuah filem seram thriller yang baik.
"Terbaik, walaupun dikecam. Saya tetap akan sokong filem tempatan.
"Syabas pasukan produksi Misteri Dilaila. Abaikan respon negatif.
"Semoga dapat 88 juta.
"Alhamdulillah. Tahniah buat pasukan terbaik Misteri Dilaila. Akan makin bertambah ke depan. Jadi box office dimana-mana. Amin," komen beberapa pengikut.
Sambutan ramai terhadap filem arahan Syafiq Yusof itu membuktikan ia masih mampu menarik netizen ke pawagam dan mencipta fenomena meskipun beberapa hari lalu terpalit dengan kontroversi.
Ia susulan dakwaan mengatakan filem dengan dua versi penamat berbeza itu ‘menciplak’ karya filem antarabangsa berjudul Vanishing Act yang terlebih dahulu diterbitkan pada tahun 1986.
Misteri Dilaila dibintangi barisan pelakon popular seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Namron, Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Mas Khan dan ramai lagi.
Terbitan Skop Production dan Astro Shaw, ia mengisahkan Jefri (Zul Ariffin) yang kehilangan isterinya, Dilaila (Elizabeth) sewaktu percutian di sebuah banglo di Bukit Fraser.
Imam Aziz (Namron) muncul dengan khabar gembira mendakwa isterinya ditemui meskipun Jefri mendapati wanita yang tiba itu bukanlah isterinya.