Oleh pada 13 Oct 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Syamsul Yusof

Selepas hampir sebulan setengah tayangan, filem Munafik 2 terus mempertahankan rekod kutipan filem Melayu paling tinggi dengan jumlah pungutan terbaru yang sudah mencapai RM43 juta!

Berita itu dikongsikan pengarah dan pelakonnya, Syamsul Yusof dalam sidang media Pelanggaran Hak Cipta Digital Skop Production Sdn Bhd yang berlangsung di Finas, Hulu Klang, semalam.

Turut hadir bapanya, Datuk Yusof Haslam yang bertindak selaku penerbit filem bergenre seram Islamik itu.

Dalam pada itu, Syamsul bakal mengambil tindakan mahkamah terhadap seorang kakitangan sebuah syarikat grafik di Perak yang menyebarkan rakaman karya mereka di alam maya tanpa kebenaran.

Beliau melalui peguam yang dilantik telah memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak pada awal minggu ini.

akhirnya ini kutipan mengagumkan munafik 2 selepas sebulan setengah 2

Kredit foto: Instagram Syamsul Yusof

“Perbuatan ini adalah satu barah dalam industri filem kita. Kita pun tahu industri sedang berada dalam landasan yang baik tapi bila isu ini masih ada, susahlah.

“Pendapat saya, pihak penerbit, pengarah dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian isu ini.

“Sampai bila pengkarya harus dihantui perkara ini? Apa guna dana diberi, buat filem, tapi akhirnya bocor,” kata Syamsul memetik laporan Mstar Online.

Sementara itu, Yusof pula berkata, tindakan tersebut diambil bagi memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab sekaligus menangani kemelut yang dihadapi penggiat seni tanah air hari ini.

“Ramai dah terkena benda ni, tapi sebelum ini ia diselesaikan dengan budi bicara, sebab pesalah padam video dan mohon maaf.

“Tapi pemuda ini sangat sombong dan bongkak, kita minta padam tapi dia semakin sebar, seolah-olah mencabar kami.

“Atas nasihat rakan-rakan pengeluar filem, kami ambil tindakan ini untuk kepentingan bersama,” katanya.

Ditayangkan sejak 30 Ogos lalu, Munafik 2 yang merupakan filem ke-10 arahan Syamsul turut dibintangi barisan pelakon ternama seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Fauzi Nawawi, Datuk Fizz Fairuz, Fauziah Nawi dan Datuk Rahim Razali.

Munafik pertama pada tahun 2016 mencatatkan pungutan keseluruhan sebanyak RM17 juta.




Hakcipta iluminasi.com (2017)