Kredit foto: Instagram Farah Asyikin

Penyanyi Farah Asyikin, 39, cedera di kaki kiri selepas motosikal berkuasa tinggi seberat 300 kilogram (kg) milik suaminya menghempap beliau.

Kejadian itu mengakibatkan ligamen sebelah kaki kirinya koyak.

Penyanyi 1000 Penipuan itu menceritakan lebih lanjut apa yang berlaku menerusi perkongsian di laman Instagram.

“Sebenarnya saya cuba mengalihkan motosikal berkuasa tinggi milik suami seberat 300kg untuk memberi ruang kepada tanaman baru dibeli. Malangnya, saya pula dihempap.

“Saya menyelamatkan motosikal itu daripada terhempas tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Alhamdulillah tiada sebarang kerosakan pada motosikal itu sebaliknya saya pula cedera .

“Kedengaran bunyi seperti ‘retak’ sewaktu saya menarik kaki kiri daripada motosikal itu. Saya menangis meminta tolong anak saya Owais yang sedang duduk di depan rumah,” tulisnya.

farah asyikin dihempap motosikal suami seberat 300kg 2

Kredit foto: Instagram Farah Asyikin

Bintang Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGGV) terbitan Astro itu, dalam masa sama, hanya mengetahui kecederaan lama di kaki kirinya selepas membuat pemeriksaan.

“Kecederaan mengakibatkan satu ligamen koyak manakala satu lagi hampir terkoyak. Rupanya, kaki kiri saya juga ada kecederaan lama iaitu tulang retak.

“Saya mendapat kecederaan itu selepas terjatuh empat tahun lalu akibat terjatuh daripada tangga. Saya tidak pergi ke hospital pun ketika itu,” katanya.

Farah bagaimanapun, bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius.

“Alhamdulillah, cuma ligamen terkoyak saja dan bukannya patah atau retak. Terima kasih buat suami yang membawa saya ke hospital dan pihak hospital atas jagaan rapi terhadap saya,” katanya yang mendapat perhatian penuh keluarga. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)