Kredit foto: The Malay Mail Online

Suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri akhirnya bebas tahanan selepas diikat jamin dengan bayaran RM5,000 pada petang Khamis.

Beliau yang ditahan sejak 2 Mac lalu, diikat jamin oleh adiknya yang datang ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk urusan terbabit.

Terdahulu, Armin yang juga merupakan bekas ketua pramugara bermalam dua hari di Penjara Sungai Buloh kerana tiada yang ingin menjaminnya pada sebutan pertama kes, Selasa lepas.

Sebutan kali pertama kes itu menyaksikan beliau didakwa atas tuduhan sengaja menggunakan rotan yang mengakibatkan kecederaan pada anak lelakinya.

Sebutan semula kes pada Khamis pula, Armin, 53, berdepan hukuman lebih berat apabila pihak pendakwaan meminda pertuduhan yang dikemukakan ketika prosiding.

Kali ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 326A, Armin berdepan dengan dua kali ganda tempoh hukuman jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan bagi seksyen 324, beliau boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan hingga menyebabkan luka dan lebam terhadap seorang anak lelakinya dalam sebuah kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Begitupun, dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk tarikh pengurusan kes.

Armin ditangkap pada 2 Mac susulan laporan polis dibuat Ziana pada 27 Februari lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan sehingga kini memperoleh empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.




Hakcipta iluminasi.com (2017)