Kredit foto: Instagram Ziana Zain
Penyanyi terkenal, Ziana Zain mendapat perhatian apabila suaminya, Armin didakwa pagi semalam di Mahkamah Majistret Shah Alam, atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelakinya dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Denai Alam, jam 4 pagi pada 25 Februari lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, Ziana yang diwawancara menerusi aplikasi Whatsapp hanya memberi respon ringkas berbunyi:
"Saya tak boleh komen lanjut sebab kes mahkamah. Ini terlalu peribadi. Doakan yang terbaik."
Terdahulu, Armin yang berusia 53 tahun itu ditahan pada 2 Mac susulan laporan polis dibuat Ziana sendiri pada 27 Februari lalu.
Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Namun, majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menurunkan jumlah jaminan kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 4 April ini.
Ziana atau nama penuhnya, Siti Roziana Zain mendirikan rumah tangga dengan Armin pada 9 Mei 1998.
Sehingga kini, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.