Kredit foto: Instagram Dynas Mokhtar

Aktres Dynas Mokhtar tidak kisah untuk ke kursus kahwin buat kali kedua meskipun sebelum ini pernah melaksanakannya sewaktu perkahwinan pertama.

Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, berkata, pengulangan ke kursus sama itu dapat mengingatkannya tentang semua ilmu yang dipelajari sebelum ini.

"Saya dan Rik (Shazrik) pergi kursus kahwin Sabtu lalu. Agak kelakar juga, sebab peserta lain semua muda dan kami saja yang sedikit berusia.

"Pada mulanya, saya cakap kepada Rik sudah pernah pergi, tetapi dia ajak juga. Malah, dalam nada berseloroh dia bagi 'amaran'. Kalau nak kahwin dengan dia, kena pergi juga. Kalau tidak, tak boleh kahwin," katanya yang bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Shazrik Din, 34.

Dalam masa sama, Dynas mengatakan bakal suaminya itu begitu tegas dalam mengingatkan tentang tanggungjawab mereka selepas menjadi suami isteri.

bakal suami beri amaran pada dynas mokhtar

Kredit foto: Instagram Dynas Mokhtar

"Rik banyak kali ulang apa yang ustaz ajar. Dia pula beri 'ceramah' semula. Dia cakap, dalam perkahwinan ini kena berhati-hati dan banyak berkomunikasi.

"Malah, dia juga pesan kalau berkahwin nanti tidak boleh buat keputusan sendiri. Sentiasa berbincang dalam apa jua perkara ingin dilakukan," katanya.

Mengulas tentang tarikh perkahwinan, Dynas berkata, ia akan diadakan pada bulan April depan.

"Sebelum ini tidak ada tarikh yang ditetapkan. Malah, kami pernah rancang nak nikah pada Februari atau Mac.

"Namun, selepas mengadakan perbincangan dengan kedua belah pihak, semua bersetuju pilih April. Namun, saya belum boleh berkongsi tarikh," katanya.

Di kesempatan sama, beliau berjanji untuk menghebahkan tarikh hari bahagianya apabila sudah ditetapkan kelak.

"Insya Allah, saya akan maklumkan kepada semua. Jadi, doakan segala yang dirancang berjalan lancar dan urusan kami dipermudahkan Allah," katanya.

Mereka sebelum ini bertunang pada Oktober 2017 selepas empat tahun berkenalan. 

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)