Menggantikan tayar tak kiralah pada kenderaan berbentuk kereta atau motosikal, sebenarnya bukanlah satu perkara yang dianggap mudah.Apatah lagi terdapat banyak jenama tayar di Malaysia yang mengakui produk mereka, adalah produk tayar terbaik daripada segi cengkaman, pemanduan dan ketahanan tayar.
Sebagai pengguna yang bijak, anda dinasihatkan mengetahui serba-sedikit berkenaan tayar yang anda beli. Dari mana? Daripada maklumat-maklumat yang dicetak di atas permukaan tayar tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Banyak sebenarnya maklumat yang ada dan perlu kita telitikan. Ini kerana ada antara maklumat-maklumat dan informasi penting yang terkandung di atas dinding tayar tersebut, memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan anda ketika memandu.
Maklumat asas tayar
Apabila kita hendak menukar tayar, sebaiknya pastikan kita menukar saiz yang sama dengan spesifikasi tayar asal. Perkara pertama yang perlu kita fahami adalah maklumat-maklumat yang dicetak seperti rajah di atas. Ini adalah perkara paling banyak dirujuk ketika menukar tayar.
A : Lebar tayar. Semakin lebar sesuatu tayar itu, semakin tinggi nilai rintangan putaran tayar. Ini akan menyebabkan penggunaan minyak meningkat sedikit. Dengan tayar lebih lebar, anda akan mempunyai tahap kawalan lebih tinggi. Bagaimanapun, dengan tayar lebih lebar radius pusingan kereta anda akan menjadi lebih besar dan bunyi jalan akan menjadi lebih ketara.
B : Nilai ratio tayar. Dalam rajah dinyatakan nilainya 55, ini bermaksud dinding tayar ini mempunyai tinggi 55% daripada lebar tayar. Semakin tinggi nilai ratio, semakin tebal dinding sesebuah tayar.
C : Diameter rim yang muat. Pastikan apabila anda membeli tayar, beli tayar mengikut saiz rim kereta anda. Rim mempunyai pelbagai jenis, dengan saiznya datang daripada 13 inci ke 24 inci. Dalam rajah ditunjukkan 16, ini bermaksud tayar itu hanya sesuai untuk rim bersaiz 16 inci.
D : Had muatan. Ini nombor penting yang selalu diabaikan. Nombor ini merujuk kepada muatan yang mampu ditampung oleh sebiji tayar tersebut. Dalam rajah, dinyatakan 91, ini bermakna tayar tersebut mampu menampung 615kg berat.Semakin tinggi nombor ini, semakin tinggi berat muatan mampu ditampung.
E : Had kelajuan. Huruf terakhir ini juga sangat penting kerana huruf itu mewakili kelajuan maksima selamat untuk tayar tersebut, ketika berada dalam keadaan tekanan anginnya optimum.
Sekiranya anda memandu sebuah kereta yang mempunyai kelajuan maksima 200km/j tetapi tayar anda hanya mempunyai kapasiti 180km/j, ini akan meningkatkan risiko berlakunya tayar meletup. Rajah tersebut menyatakan huruf V dan ini mewakili had laju maksima 240km/j.
Maklumat usia tayar
Untuk mengetahui usia tayar anda, semak dan cari pada permukaan tayar anda dan cari nombor yang dicetak serupa seperti yang tertera dalam rajah - "LMLR5107."
Itu adalah nombor siri tayar anda. Huruf-huruf yang diletakkan pada awal kod itu mungkin berbeza, bergantung kepada pengeluar. Apa yang penting adalah 4 nombor akhir yang dicetak itu. Dalam kes ini "5107."
Ini bermaksud, tayar ini dikeluarkan pada minggu ke 51 tahun 2007. Sekiranya sebuah tayar dikeluarkan pada minggu pertama bulan Februari tahun 2018, kodnya akan diletakkan "0518" mewakili minggu ke lima tahun tersebut dengan 18 mewakili tahun 2018. Kenapa nombor ini penting untuk disemak?
Tindak balas getah terhadap cuaca
Getah adalah sejenis bahan yang akan sentiasa mengeras apabila didedahkan kepada oksigen. Ini akan menyebabkan getah tersebut kehilangan daya lenturannya serta semakin lama semakin keras.
Apabila tayar digunakan, minyak yang terkandung dalam getah akan dipanaskan lalu melembapkan tekstur getah tayar, menjadikannya lebih fleksibel. Tayar yang disimpan tidak melalui proses itu dengan minyak yang terkandung dalam getah boleh menjadi kering sehingga menyebabkan berlakunya rekahan pada dinding tayar.
Kebanyakan pengeluar kereta memberikan waranti bermula daripada tarikh tayar tersebut dikeluarkan dengan tempoh 5-6 tahun dijadikan petunjuk sesebuah tayar itu perlu ditukar, walaupun jarang digunakan. Jadi ketika membeli tayar, cuba dapatkan tayar yang paling awal usianya bagi menjamin jangka hayat tayar kenderaan anda.