Dalam pasaran yang cuba mencapai jualan secara banyak, kenderaan yang dihasilkan pasti cuba memenuhi permintaan semua pihak. Tidak seperti kereta eksotik atau kereta yang berspesifikasi tinggi, kereta yang cuba memenuhi keperluan asas orang ramai selalunya mempunyai rekaan yang lebih bersifat konservatif serta tidak memerlukan keupayaan enjin yang tinggi.
BESARKAN TEKS A- A+
Setiap model yang dibina membawa legasi mereka sendiri walaupun pada asalnya dilihat sebagai model yang dibina dengan fokus untuk praktikal, bukan untuk membuat pemiliknya teruja.
Tahukah anda model daripada jenama manakah yang jualannya paling laku di seluruh dunia sepanjang zaman serta masih dihasilkan sehingga ke hari ini? Berikut adalah 5 model kereta paling laku sepanjang bermulanya jualan kereta kepada masyarakat dunia.
5. Volkwagen Passat
Diperkenalkan kali pertama pada tahun 1973, Volkswagen Passat diperkenalkan dalam dua varian dua pintu atau empat pintu. Kini berada dalam generasi ke lapan iterasi Passat, sejarah populariti Passat bermula agak lambat. Diterima baik, pada awalnya Passat berkongsi platform dengan sebuah model kereta Audi iaitu Audi 80.
Hanya pada tahun 2005, Passat mula menggunakan platform khas untuknya dan tidak lagi berkongsi asas dengan sebarang model Audi, melalui pengenalan generasi ke enamnya. Populariti model Passat yang kembali dipasarkan di Malaysia menjadikan Passat model paling popular Volkswagen di negara kita pada tahun 2012 dan 2013. Setakat ini dianggarkan lebih 16 juta Volkswagen Passat telah terjual di seluruh dunia.
4. Honda Accord
Meniti populariti adik kecilnya Honda Civic, model Accord dikeluarkan selepas populariti Honda Civic membuktikan formula Honda dalam penghasilan kereta berkesan. Model Accord diperkenalkan pada 1976, empat tahun selepas Civic dilancarkan sebagai memenuhi permintaan pemilik yang mahukan kereta yang lebih besar berbanding Civic.
Mula diperkenalkan dalam bentuk 'hatchback' sebelum model 'sedan' diperkenalkan pada tahun 1977, model Honda Accord menjadi salah satu model paling popular di dunia dalam kategorinya. Sebanyak 18 juta unit Accord telahpun dijual sejak diperkenalkan pada tahun 1976.
3. Honda Civic
Honda Civic generasi baru ketika ini memang membuatkan sesiapa saja yang memandangnya kali pertama jatuh cinta di negara kita. Namun tidak disangka juga populariti Civic di negara kita berjaya membuatkan model Honda Civic bersepah di mana-mana tempat, sehingga amat senang untuk berjumpa dengannya.
Walaupun sudah boleh dikatakan bersepah di pasaran di negara kita sehingga hilang mistiknya, kejayaan Honda itu sebenarnya adalah bukti legasi hebat yang dibina oleh model Civic itu sendiri. Model ini menjadi model paling popular bagi jenama Honda seluruh dunia, semenjak diperkenalkan pada tahun 1972. Sehingga kini, 24 juta unit Civic telah pun dijual.
2. Volkswagen Golf
Volkswagen Golf mula diperkenalkan pada tahun 1974 di Jerman, sebelum memasuki pasaran Amerika Syarikat setahun berikutnya lalu diberikan nama Rabbit. Golf menjadi sangat popular kerana kualiti pemanduannya yang baik, harga yang berpatutan serta tidak menimbulkan banyak masalah kepada pemiliknya.
Golf dalam era moden kelihatan jauh lebih sporty berbanding model-model Golf terdahulu serta dilengkapi dengan enjin pengecas turbo yang membuatkan prestasinya lebih mirip kepada kereta berkelajuan tinggi. Setakat ini, sebanyak 33 juta unit Volkswagen Golf pelbagai varian telah berjaya dijual.
1. Toyota Corolla
Sejak diperkenalkan pada tahun 1966, Toyota Corolla adalah nama yang cukup popular di seluruh dunia. Pernah menjadi pilihan ramai pemilik kereta di negara kita satu masa dulu, sebelum dinaik taraf dan dinaikkan harganya melalui versi Corolla Altis, yang membuatkan Corolla digantikan dengan Toyota Vios.
Rekaan Corolla selalunya bersifat konvensional dan dibina sebagai sebuah kereta yang serba boleh. Dikatakan antara model kenderaan paling tahan dalam siri model Toyota. Setakat ini, lebih 44 juta unit Toyota Corolla berjaya dijual menjadikan Corolla kereta paling laku sepanjang zaman, dalam dunia.
Rujukan