Memiliki kenderaan memang memudahkan proses perjalanan kita.

Dengan pembangunan industri automotif yang semakin pesat serta dibantu oleh industri China yang nampak benar-benar mahu menggoncang industri antarabangsa dari segi kos dan kualiti, semakin ramai mampu memiliki kereta yang berkualiti dengan harga bajet.

Setiap kereta datang dalam spesifikasi berbeza, tetapi biasanya sudah ada kelengkapan standard yang 'wajib ada' pada setiap kereta. Jadi agak menghairankan kenapa sehingga ke hari ini, pengeluar belum mahu menjadikan aksesori dan fungsi berikut sebagai standard perlu ada - kerana keperluannya jelas perlu pada kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Lapisan kalis haba

lapisan kali haba tinted kereta

Penulis tahu setiap kenderaan memang sudah ada lapisan kalis haba yang asas. Bagaimanapun, untuk setiap pemilik mendapatkan perlindungan - kita haruslah ke kedai-kedai aksesori kereta untuk memasang lapisan tambahan, yang mempunyai fungsi menapis lebih banyak radiasi dan juga menggelapkan cermin.

Di Malaysia di mana iklim kita agak panas, sudah nampak ada keperluan untuk kita memasangnya. Apatah lagi kalau kita ni jenis individu yang peduli tentang privasi dan keselamatan.

Jadi persoalannya - kenapa sehingga ke hari ini, pengeluar kereta tidak menjadikan lapisan kalis haba yang lebih baik dipasang secara standard dalam pakej semasa kita mendapatkan kenderaan...tanpa perlu ke kedai aksesori?

Dengan pemasangan secara standard dibuat pengeluar, kualiti dan ketahanan lapisan juga berkemungkinan besar lebih terjaga. Ini tidak, beli saja kereta kita biasanya akan diberikan baucer untuk ke kedai 'kawan ejen' untuk pemasangan lapisan kalis haba.

2. Sensor ke depan

aksesori kenderaan yang sepatutnya standard kilang

Pengesan atau sensor undur ke belakang memang biasanya sudah dipasang pada setiap kereta, kecuali kenderaan supra-bajet yang dijual dalam pasaran. Ini satu langkah baik. Bagaimanapun pemasangan sensor ke depan dalam kelajuan perlahan juga rasanya perlu dijadikan satu aksesori standard daripada pengeluar lagi.

Ini kerana banyak kes terjadi di mana ada halangan yang tidak kelihatan, seperti batu, tiang, pasu dan sebagainya yang pemandu tidak mungkin tahu ketika bergerak ke depan untuk memarkirkan kenderaan - yang akhirnya menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian depan kereta.

Sudah ada pemasangan sensor ke depan ini dijadikan standard oleh sesetengah pengeluar, bagaimanapun kita harus menjadikan peralatan ini sama penting dengan sensor undur belakang yang jelas banyak membantu.

3. Soket USB

usb harus jadi standard

Dalam tahun 2024, masih ada kereta dijual yang tidak dipasang dengan pengecas USB, sebaliknya pemilik kenderaan tetap perlu menggunakan soket kuasa 12V untuk menyambungkan plag pengecas USB keluaran pihak ketiga.

Tidak dinafikan, kebebasan pemilik untuk membeli sendiri mana-mana plag pengecas untuk disambung ke soket memudahkan pembeli memilih; namun plag-plag USB yang biasanya dijual di negara kita, ada bermacam jenis kualitinya. Ada yang baik, ada yang pakai 2 minggu dah jahanam. Yang ada pelekat SIRIM, memang boleh kira dengan jari.

Dari segi keselamatan, bagi pemilik kenderaan kami yakin ramai yang sebenarnya khuatir dengan aksesori pihak ketiga yang mereka beli. Sebab itulah sekiranya semua kereta sudah dipasangkan dengan soket USB, kebimbangan ini mungkin dapat diredakan.

4. Kamera perakam

dashcam harus jadi standard

Kenapa pengeluar kereta enggan menjadikan kamera perakam sebagai satu aksesori standard, sedangkan harganya kini tidaklah mahal mana?

Kami yakin semakin ramai rakyat Malaysia yang mahu perakam dipasang dalam kereta, bagi memudahkan urusan dokumentasi seandainya kejadian buruk berlaku sama ada melibatkan kita atau mungkin juga melibatkan orang lain, yang secara kebetulannya kita ada di sana.

Kami berpendapat kerajaan Malaysia sepatutnya mengkaji semula idea ini walaupun kerajaan pernah mengeluarkan kenyataan tidak akan mewajibkan pemasangannya di semua kenderaan. Ini kerana jelas ada keperluan tinggi untuk peranti seperti ini dipasang dalam setiap kenderaan, memantau bukan saja persekitaran luar bahkan apa yang berlaku dalam kereta itu sendiri.

Siapa akan percaya seorang remaja telah cuba menikam seorang pemandu e-hailing, kalau tidak ada bukti rakaman video dalaman kereta?

5. Lampu undur belakang

lampu undur belakang kereta

Ini adalah satu masalah peribadi yang sering dihadapi penulis, tatkala pulang ke kampung. Siapa yang pernah cuba mengundurkan kereta dalam keadaan gelap-gelita pasti faham kesukaran mengagak apa yang yang ada di belakang kereta kita.

Lampu putih undur belakang yang dipasang, hanyalah dipasang sebagai indikator kepada pemandu lain untuk tahu kenderaan kita akan mengundur.

Tidak ada cahaya bantuan yang dipasang bagi membantu pemandu itu sendiri ketika mengundur. Kita terpaksa bergantung kepada agakan sendiri. Bagi sesetengah kenderaan yang ada kamera undur belakang, situasi anda mungkin lebih senang.

Tetapi kami yakin satu hari kelak, anda akan perlu mengundur ke belakang dalam kegelapan dan kamera anda sendiri tak menampakkan apa-apa. Sensor belakang berbunyi pun, anda tak tahu apa yang menghalang anda.

6. Lampu dalaman but kereta

fungsi kereta yang sepatutnya wajib ada

Semua kereta perlu ada lampu dalaman but kereta! Pengeluar mana yang tidak memasangkan peralatan ini pada mana-mana model keluaran mereka, sepatutnya didenda untuk melakukan kerja-kerja amal di rumah orang-orang tua!




Hakcipta iluminasi.com (2017)