Perkembangan teknologi kenderaan membolehkan banyak fasiliti dan kaedah yang memudahkan pengguna mengendali dan menyenangkan pengguna dibangunkan.

Kemudahan seperti tingkap dan stereng berkuasa satu ketika dulu bukanlah peranti standard, tetapi disebabkan permintaan akhirnya mula dipasang pada setiap kereta yang ada sehingga akhirnya tidak sah kereta dijual tanpanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada banyak lagi fungsi kenderaan yang pada ketika ini ditawarkan seolah-olah sebagai satu fungsi baru, tetapi tahukah anda kebanyakannya sebenarnya sudah lama wujud dan hanya mula berkembang pemasangannya sekarang?

1. Kenderaan hibrid

kenderaan hibrid pertama

Trend kenderaan hibrid masih belum benar-benar meledak walaupun sudah banyak pengeluar kereta sudah berjaya membangunkan model yang bukan sahaja baik dari segi teknologinya tetapi juga daripada segi harganya.

Populariti kenderaan hibrid meningkat dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini disebabkan oleh usaha untuk mencari alternatif lain bagi menggantikan kebergantungan kita kepada bahan api fosil, tetapi kenderaan hibrid sudah lama wujud beratus tahun lamanya.

Porsche telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pembuat badan kereta bernama Lohner-Werke untuk menghasilkan sebuah model bernama Lohner-Porsche pada tahun 1900, mula dipasarkan pada tahun 1901. Model Lohner-Porsche dibina dalam dua versi, mampu digerakkan menggunakan kuasa bateri sepenuhnya dan versi kedua gabungan enjin gasolin dengan kuasa bateri.

2. Butang pemula enjin

push start button fungsi terkini

Zaman sekarang, orang dah malas nak memasuk dan memulas kunci bagi menyalakan enjin - jadi fungsi butang pemula enjin sudah menjadi satu aksesori yang perlu ada dalam semua model baru.

Sejarah butang pemula enjin ini bermula selepas pengeluar kereta pada masa dahulu mendapati ramai pengguna mengalami kecederaan, semasa memulakan enjin kereta mereka. Sistem enjin zaman itu memerlukan pemandu menggunakan tolok yang dimasukkan ke dalam enjin lalu dipusing.

Semakin besar dan berkuasa enjin, semakin sukar tolok itu untuk dipusing sehingga mengakibatkan kecederaan.

Selepas satu insiden rakannya terbunuh semasa memulakan kereta, pengasas syarikat Cadillac, Henry Leland bekerjasama dengan seorang jurutera bernama Charles Kettering untuk memudahkan proses tersebut.

Idea Kettering untuk menggunakan ciptaan motornya yang digunakan bagi menyalakan mesin kira duit di bank, diaplikasikan kepada sistem enjin. Sebuah motor yang dihubungkan kepada enjin akan menyalurkan elektrik yang memadai bagi menyalakannya - hanya dengan sentuhan butang.

Kereta Cadillac dengan sistem tersebut mula dijual pada tahun 1912.

Namun ciptaan Kettering itu digantikan dengan sistem kunci yang perlu dipusing sekitar tahun 1940-an - disebabkan oleh mudahnya sistem itu digunakan, kanak-kanak pun mampu menyalakan enjin tanpa pengawasan.

3. Kunci pintar

kunci pintar keyless entry smart key

Sinambungan daripada sejarah sistem butang pemula enjin, wujud beberapa usaha untuk menggabungkan kemudahan yang diperkenalkan oleh Cadillac pada tahun 1912 dengan teknologi yang mampu melindungi pengguna.

Pada tahun 1982, Renault menjadi pengeluar pertama memperkenalkan sistem keluar masuk kereta tanpa kunci melalui pengenalan model Renault Fuego. Sistem itu dibangunkan oleh seorang jurutera bernama Paul Lipschutz dengan nama kunci PLIP.

Mercedes-Benz menjadi pengeluar pertama menemui solusi kepada masalah Cadillac.

Mereka menjadi pengeluar pertama berjaya mengeluarkan kenderaan yang mempunyai fungsi pintar, di mana pemandu tidak lagi perlu memusingkan kunci dan hanya memerlukan butang ditekan; tetapi masih memerlukan kunci ada dalam kereta seperti sekarang.

Hasil kerjasama Mercedes dengan syarikat elektronik Siemens, Mercedes memperkenalkan sistem 'Keyless-Go' pada tahun 1998 selepas proses pembangunannya dimulakan pada tahun 1995.

Dengan menggunakan sistem gelombang radio, kereta mampu mengesan kehadiran pemandu membolehkan pintu kenderaan dibuka dan enjin mampu dihidupkan, hanya dengan sentuhan butang.

4. Kawalan pergerakan automatik

auto cruise

Salah satu fungsi yang membantu pemandu memandu khasnya di lebuh raya, adalah fungsi kawalan pergerakan automatik atau 'cruise control' yang biasanya dipasang di kereta-kereta berharga tinggi. Pemandu tidak lagi perlu memijak pedal minyak sepanjang perjalanan sebaliknya boleh merehatkan kaki dan kereta pula bergerak pada kelajuan stabil.

Seorang jurutera bernama Ralph Teetor menaiki kenderaan yang dipandu kenalannya pada tahun 1935. Setiap kali mereka berbual, rakannya akan memperlahankan kenderaan secara sengaja bagi membolehkan dia mendengar apa yang diucapkan Teetor. Tabiat itu menjengkelkan Teetor.

Teetor mencipta motor elektrik yang mampu mengawal bukaan minyak ke dalam enjin, bergantung kepada kelajuan yang ditetapkan. Ciptaannya itu berjaya dipatenkan pada tahun 1945 namun hanya mula diterima baik pengeluar kereta pada tahun 1958.

Chrysler menjadi pengeluar kereta pertama memperkenalkan sistem 'Auto-Pilot' dalam produk kenderaan keluaran mereka.

5. Lampu perjalanan siang

drl daylight running light

Lampu perjalanan siang atau Daytime Running Lights (DRL) merupakan satu fungsi yang mula menjadi trend di Malaysia, sehinggakan kebanyakan kereta sudah memiliki fungsi itu. Tetapi tahukah anda sejarahnya?

DRL sebenarnya merupakan peranti yang diwajibkan di negara-negara Scandinavia bermula dengan Finland tahun 1972, Sweden pada tahun 1977, Norway pada tahun 1986 dan seterusnya bagi memudahkan pemandu melihat kenderaan lain pada waktu siang, semasa musim sejuk.

Pemandu di negara itu mengalami masalah penglihatan disebabkan oleh suasana gelap pada waktu siang, memerlukan satu indikator dipasang bagi memudahkan pemandu mengenalpasti kenderaan yang datang dari depan - tanpa perlu menyalakan lampu kereta sebenar.

Sistem DRL mula diwajibkan di kalangan negara itu dengan spesifikasi tertentu.

Kini, negara-negara yang siangnya terang benderang pun berlumba-lumba nak pasang DRL pada kereta,sebagai taktik pemasaran dan penghias kosmetik semata-mata.




Hakcipta iluminasi.com (2017)