Rekaan kenderaan merupakan salah satu perkara penting yang menjadi pemangkin kepada industri automotif. Ini kerana daripada prinsip dan falsafah rekaan inilah bermulanya trend-trend yang akan menjadi ikutan seluruh dunia.

Kita selalu melihat rekaan kereta sebagai satu perkara yang dipandang dari sudut praktikal tetapi realitinya, setiap rekaan kereta yang boleh kita lihat sebenarnya mempunyai banyak falsafah rekaan yang merealisasikan apa yang mahu dicapai perekanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda individu manakah yang ketika ini banyak memberikan pengaruh dalam menentukan hala tuju rekaan kenderaan di dunia? Berikut adalah 5 pereka kenderaan pilihan kami, yang kami rasakan memberikan impak paling besar dalam dunia rekaan jentera automotif dunia.

1. Walter Da Silva

walter da silva

Walter Da Silva adalah seorang pereka yang berasal dari Itali. Menyertai Volkswagen sejak tahun 1998, Walter dilantik untuk mengendalikan rekaan tiga jenama di bawah Volkswagen iaitu Audi, Lamborghini dan Seat. Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai ketua pereka kepada keseluruhan jenama di bawah kumpulan Volkswagen.

Perlantikan beliau di Volkswagen sebenarnya berpunca daripada hasil tangan dan pengalaman beliau mereka bentuk banyak rekaan kereta yang menjadi ikonik. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab mereka bentuk kereta Alfa Romeo 156 dan 147, Audi R8 yang cukup mengancam serta bermacam jenis peningkatan rekaan pada model keluaran Volskwagen seperti Scirocco, Jetta, Touran dan Passat.

audi r8 hasil kerja walter da silva

Selain mereka bentuk kereta, Walter juga terlibat dalam mereka bentuk kamera versi istimewa untuk Leica iaitu Leica M9 Titanium. Selepas persaraannya daripada Volkswagen pada 2015, kini Walter sibuk mereka bentuk kasut untuk wanita pula.

2. Shiro Nakamura

shiro nakamura pereka kereta nissan

Berkelulusan dalam seni rekaan industri serta seni rekaan kenderaan, Shiro Nakamura adalah individu yang ditugaskan menaikkan semula imej jenama Nissan supaya kembali relevan dalam dunia moden pada tahun 1999. Nissan pada ketika itu sudah berada di ambang bankrap dan rekaan Shiro berjaya mengembalikan Nissan ke landasan sebenar.

nissan gt r perekabentuk

Kebanyakan rekaan ikonik kenderaan Nissan ketika ini adalah berpunca daripada rekaan beliau yang dapat dilihat di negara kita. Shiro adalah individu yang bertanggungjawab mereka semula Nissan GT-R baru, model Nissan Qashqai yang dilihat sangat mirip dengan model X-Trail yang popular di negara kita dan juga model legenda Fairlady 350Z era moden.

Sekiranya anda dapat melihat satu model yang jarang kelihatan iaitu Nissan Juke, itu juga salah satu hasil rekaan beliau.

Pada 2010, Shiro Nakamura dinamakan sebagai salah seorang individu paling kreatif di dunia dalam majalah FastCompany, berada pada kedudukan ke empat. Pada 2017, Shiro mengumumkan persaraannya dari Nissan dan kini lebih banyak menumpukan masa bermain bass dalam kugiran jazz yang disertainya.

3. Ikuo Maeda

mazda mx5 mazda miata ikuo maeda

Kisah Ikuo Maeda tidak sah diceritakan tanpa menceritakan tentang pengaruh ayahnya dalam hidupnya. Ayah Ikuo, Matasaburo Maeda adalah pencipta asal salah satu kereta paling ikonik keluaran Jepun, Mazda RX-7.

Apa yang menarik, selepas menamatkan pendidikan dalam rekaan dan memulakan pekerjaan, kereta pertama yang dibeli oleh Ikuo adalah sebuah RX-7 namun dia tidak tahu ayahnya adalah pereka kereta itu.

mazda rx8 legasi enjin rotari

Menyertai Mazda semenjak 1982, Ikuo diberikan tanggungjawab besar untuk mereka cipta pewaris kepada rekaan ayahnya dalam projek Mazda RX-8. Matasaburo tidak diberitahu tentang penglibatan anaknya sendiri sejak mula.

Hanya pada 3 bulan terakhir sebelum pelancaran model terbaru itu, Matasaburo mengetahui anaknya menyambung legasi beliau. Mazda RX-8 dikeluarkan pada tahun 2003 adalah model terakhir dalam siri RX, berikutan beberapa isu kewangan serta kegagalan menepati syarat emisi Eropah.

Pada tahun 2009, Ikuo dilantik sebagai ketua pereka Mazda. Beliau melancarkan falsafah rekaan baru yang dinamakan KODO dan setakat ini masih digunakan dalam semua rekaan Mazda. Apabila anda nampak mana-mana model Mazda, semua itu besar kemungkinan adalah hasil kerja Ikuo.

4. Peter Schreyer

peter schreyer pereka jenama kia

Nama Peter Schereyer menjadi terkenal selepas rekaannya yang paling terkenal setakat ini, Audi TT memukau sesiapa saja yang melihatnya. Rekaannya pada Audi TT dianggap memberikan perspektif baru kepada industri rekaan kenderaan dan automotif. Mempunyai sejarah panjang dengan Audi sejak mula bekerja serta pernah berkhidmat Volkswagen.

Walaupun Audi TT menjadi simbol ulung hasil kerja Peter, peranan Peter sebagai ketua pereka di KIA sebenarnya yang membuktikan kebolehan beliau menghasilkan rekaan pelbagai model.

Mula berkhidmat dengan KIA pada tahun 2006, Peter diberikan harapan untuk memacu KIA supaya setanding dengan jenama dari Jepun dan Jerman, yang menjadi penanda aras mereka. Langkah pertama yang beliau perkenalkan adalah dengan mewujudkan identiti sendiri pada semua model keluaran KIA, bagi memastikan orang ramai dapat membezakan model KIA dengan jenama lain.

kia optima peter schreyer

Mengambil inspirasi daripada wajah harimau, konsep yang dinamakan sebagai 'TIger Nose' ini semakin mudah untuk diingati serta memang membantu menjenamakan KIA dengan lebih baik.

Selain Audi TT, Peter juga sebenarnya terlibat dalam reka bentuk Volkswagen Golf dan New Beetle, serta banyak lagi model KIA yang dapat kita lihat meluncur di atas jalan seperti KIA Forte, Optima, Picanto dan Sportage, selain model Soul yang unik.

5. Giorgetto Giugiaro

giorgetto giugiaro pereka itali

Digelarkan sebagai Pereka Kenderaan Terbaik Abad Ini serta pereka kereta paling berpengaruh di dunia, Giorgetto Giugiaro adalah seorang pereka Itali yang bukan saja mereka bentuk kereta.

Dia juga banyak terlibat dengan beberapa jenis produk lain. Mungkin anda tidak pernah dengar namanya sebelum ini tetapi Giorgetto adalah pereka kepada kereta DeLorean DMC-12 yang digunakan sebagai mesin masa dalam trilogi filem Back to the Future.

delorean dmc12

Memperkenalkan kepada dunia asas rekaan kereta yang menggunakan konsep lipatan kertas, kenderaan yang direka Giorgetto mudah dikenali kerana bentuknya yang tajam seperti model Lotus Esprit S1.

Bagaimanapun, rekaannya pada kereta-kereta untuk orang ramai yang sebenarnya meninggalkan impak paling besar. Beliau adalah individu yang diberikan tanggungjawab mereka bentuk salah satu model paling laris di dunia iaitu Volkswagen Golf, FIat Panda, Volkswagen Scirocco 1974, Fiat Punto, model pertama Mazda Familia yang kini digelarkan Mazda 3, Alfa Romeo Alfasud yang cukup popular di negara kita pada tahun 80-an serta bermacam lagi model.

Dianggarkan Giorgetto terlibat dengan 200 rekaan kenderaan sepanjang kerjayanya dalam industri automotif.

Selain kenderaan, Giorgetto juga adalah pereka kamera untuk jenama Nikon, pereka senjata api jenis untuk jenis Beretta, rekaan motosikal bagi pelbagai jenama serta beberapa rekaan lain yang melibatkan keretapi, traktor dan jam.

apple figaro tablet zaman dulu

Apa yang menarik, Giorgetto pernah bekerjasama dengan syarikat gergasi Apple pada tahun 1990 untuk menghasilkan satu konsep komputer yang dinamakan Apple Figaro. Figaro adalah sebuah tablet sangat mirip dengan peranti tablet yang kita gunapakai ketika ini. Walaupun rekaan Giorgetto dipilih berbanding beberapa rekaan lain, Figaro tidak dikeluarkan kerana Apple merasakan rekaan yang ada tidak menepati identiti yang dibawa jenama Apple.

Pada Julai 2015, Giorgetto mengumumkan perasaraannya dalam bidang yang menjadikan dirinya sebagai rujukan industri, selepas Audi mengumumkan pembelian syarikat beliau Italdesign Giugiaro SPA. Giorgetto meletak jawatan dan dikhabarkan ingin membina sebuah lagi studio rekaan baru.




Hakcipta iluminasi.com (2017)