Sedang penulis dan anak penulis yang berumur 5 tahun menonton filem hebat 'Boboiboy The Movie 2' - sampai ke klimaks cerita itu, Boboiboy watak remaja adiwira yang mampu menguasai beberapa jenis unsur alam bertindak menggabungkan dua unsur, mengalami transformasi menjadi 'Boboiboy Supra.'
Pengaruh watak itu pada anak penulis agak mendalam kerana setiap hari dia akan mengulangi gerakan sama dan mengajuk watak Boboiboy Supra, siap lengkap dengan dialognya.
BESARKAN TEKS A- A+
Selang beberapa hari tontonan kami, dia bertanya - "ayah, apa supra?"
Berbeza dengan kuasa elemen Boboiboy yang lain, kuasa 'supra' Boboiboy tidak lagi dibentuk berdasarkan kepada rekaan unsur alam, sebaliknya mempunyai visual dan rekaan yang agak berbeza. Boboiboy Supra bertempur bukan saja sendirian, malahan dibantu oleh 7 cakera yang terbang bersamanya.
Rekaan itu menimbulkan tanda tanya pada penulis. Jika anda pun salah seorang ibu atau bapa yang tidak tahu apa itu 'supra', kami harap artikel ini mampu menjawab persoalan anak anda.
Makna sebenar 'supra'
Sekiranya anda belum tahu, 'supra' membawa makna 'kemampuan untuk berada dikedudukan yang lebih tinggi' atau 'tahap yang lebih atas.'
'Supra' merupakan antara perkataan Latin yang tidak mengalami sebarang bentuk pertukaran, kekal dalam versi asalnya sejak mula sehinggalah diambil sebagai sebahagian daripada istilah rasmi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Dalam Bahasa Melayu pula, 'supra' diistilahkan sebagai sesuatu kebolehan yang melangkaui sempadan. Sebagai contoh, seorang yang 'supranasional' mampu melihat sesuatu isu melebihi kepentingan negaranya sendiri. Sesuatu bahasa yang diangkat sebagai bahasa 'lingua franca' juga layak dikatakan 'supranasional' kerana mampu merentasi sempadan geografi negara, sehingga digunakan oleh masyarakat luar.
Satu contoh lain, seandainya ada pihak mampu memandang sesuatu isu melebihi batas agamanya sendiri - pandangan itu boleh dikategorikan sebagai satu bentuk pandangan 'supra agama', apabila sempadan agama tidak lagi membataskan pemikirannya.
Sama ada perkara itu perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif atau negatif, bergantung kepada pandangannya pula ya? Itu penerangan ringkas apa itu 'supra' mengikut bahasa dan penggunaannya.
Konsep 'supra' dalam ajaran agama
Sekiranya kita amati rekaan Boboiboy Supra - beliau dibantu tujuh roda, salah satu akan sentiasa berada di belakangnya. Rekaan ini menimbulkan keresahan pada penulis, kerana imejnya sangat mirip dengan salah satu simbol paling popular dalam ajaran Buddha iaitu simbol 'dharmchakra.'
Penulis pasti persamaan ini sudah pastilah hanya satu kebetulan semata-mata disebabkan oleh kebebasan artistik, tetapi tidak salah untuk kita berbicara sedikit tentang persamaannya.
Apa yang tidak dapat penulis elakkan daripada mengajukan perbincangan kepada anda, adalah miripnya konsep 'supra' dengan ajaran dalam agama Buddha dan Hindu, serta kaitan chakra yang ada dalam rekaan Boboiboy Supra.
Dalam ajaran Buddha, wujud beberapa cabang pemikiran yang menjadi matlamat ajaran mereka - dikategorikan sebagai 'matlamat asas' dan 'matlamat supra.' Seseorang yang mampu melangkaui sempadan orang biasa, layak digelarkan telah mencapai tahap supra, dengan matlamat 'supra dunia' dan 'supra moral' akan menjurus kepada apa yang dikatakan kehidupan kekal abadi, digelarkan nibbana atau nirvana.
Sebagai contoh tentang ajaran berkait dengan pemikiran melangkau sempadan ini, penganut Buddha dididik untuk berusaha mencapai tahap 'supra dunia' (digelarkan paroraja) di mana seseorang tidak lagi langsung terpengaruh dengan sebarang bentuk godaan dunia; seperti harta, kekayaan, populariti dan sebagainya.
Tidak dapat dinafikan konsep 'supra' turut sama muncul dalam banyak agama besar dunia lain, dengan penekanan mendalam diberikan kepada keperluan seseorang untuk mengamalkan kehidupan 'supra moral', tetapi hanya ajaran Vedic, Hindu seterusnya Buddha dan Jainis yang mewarisi ajaran menekankan konsep mencapai 'supra' matlamat besar agama mereka.
Tujuh roda kuasa/tenaga
Satu lagi pertanyaan yang bermain difikiran penulis berkait dengan tujuh roda yang membantu Boboiboy Supra berlawan. Rekaannya yang seperti penulis katakan, sangat mirip dengan simbol 'dharmachakra' sedikit sebanyak menimbulkan persoalan.
Apa yang lebih menimbulkan persoalan adalah berkait dengan bilangan 7 roda yang dipaparkan. Jika anda belum tahu, angka 7 mempunyai banyak makna dalam majoriti agama besar di dunia daripada Kristian, Buddha, Hindu dan juga Islam.
Dalam Bible misalnya, wujud banyak kepercayaan berkait dengan angka 7, antaranya mereka percaya Tuhan selesai mencipta dunia ini pada hari ke 7 (hari Sabtu) dan ilmu pengetahuan punya mempunyai 7 tiang utama. Bagi agama Islam, gerakan tawaf dilakukan sebanyak 7 pusingan mengelilingi Kaabah, wujud 7 tingkat syurga dan 7 tingkat neraka.
Bagi ajaran Buddha pula, wujudnya konsep enam chakra atau titik tenaga yang setiap satunya diwakili oleh satu bentuk roda. Keenam-enam titik chakra itu pula dikawal oleh satu titik utama yang digelarkan sebagai 'sahasrara,' titik punca tenaga tubuh badan seseorang yang mengawal semua manifestasi dirinya.
Kesemua roda chakra (chakra itu sendiri sebenarnya bermakna roda ~ cakera) mewakili satu elemen tubuh iaitu fizikal, emosi, kekuatan mental, kekuatan rohani, pengetahuan dan sifat empati kita. Hanya dengan memahami hubungan di antara 6 chakra dan kaitannya dengan tubuh badan serta pengaruh sahasrara, barulah seorang penganut Buddha mampu mencapai peringkat-peringkat supra yang membolehkan mereka menggapai nirvana.
Kesimpulan
Kami ingin menegaskan sekali lagi - penulis tidak menuduh elemen-elemen agama yang diterangkan di atas memang menjadi rujukan kepada rekaan Boboiboy Supra, malahan kami yakin semuanya dibuat berdasarkan kepada pilihan artistik semata-mata.
Bagaimanapun, persamaan itu ada dan besar kemungkinan tidak disengajakan. Persamaan yang ada seperti penggunaan istilah 'supra' serta paparan 7 elemen roda tenaga sedikit sebanyak menjentik penulis untuk berfikir.
Sekurang-kurangnya dengan penerangan ini, kami berharap anda faham seandainya ada kanak-kanak atau remaja yang mengaitkan rekaan Boboiboy Supra dengan elemen agama khasnya agama Buddha di masa akan datang - ini kerana persamaan itu agak jelas dari rekaan dan namanya.
Kanak-kanak sekarang - pemikirannya jauh lebih kritikal berbanding kita yang datang dari generasi sebelumnya dan maklumat pula terletak dihujung jari setiap masa. Apa yang mampu kita buat dalam menghadapi cabaran generasi muda yang akan semakin kerap bertanya, disebabkan pendedahan-pendedahan mereka kepada dunia - adalah dengan mempersiapkan diri kita sekurang-kurangnya tahu 'supra' itu apa.
Sekarang anda dah tahu 'supra' bukanlah sekadar nama salah sebuah model kereta jenama Toyota.