Mengeluarkan sebuah filem memerlukan penerbit memikirkan tentang risiko untuk menerbitkannya. Tidak semua penerbit dan rumah penerbitan mahu menerbitkan filem yang hanya dapat dilihat kelompok penonton yang lebih kecil - hanya disebabkan klasifikasikan sebagai 'untuk penonton matang sahaja.'

Filem sebegini mempunyai sasaran penonton yang lebih kecil menyebabkan jumlah kutipan yang diramalkan mampu dicapai, lebih rendah berbanding filem-filem blockbuster yang mampu ditonton semua orang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Filem untuk penonton matang atau klasifikasi 'R' menjelaskan filem tersebut mempunyai kandungan yang hanya sesuai untuk penonton matang sahaja yang berusia lebih 17 tahun. Tahukah anda lima filem paling berjaya dari segi kutipan yang diklasifikasikan sebagai filem 'R Rated'?

5. Deadpool 2

deadpool 2

Filem adiwira yang menjadi penyambung kepada filem pertama 'Deadpool' - filem adiwira yang di luar kebiasaan berikutan sedikit lari daripada tema biasa yang dapat kita lihat. 'Deadpool 2' diklasifikasikan sebagai R berikutan visual yang mempunyai tema seksualiti, termasuklah aksi lelaki dengan lelaki selain daripada komedi yang agak melampau.

Adegan-adegan ganas menjadi identiti filem Deadpool. Penerbit tidak segan-segan bertindak memaparkan pelbagai adegan yang memaparkan tubuh badan dikerat, darah serta manusia terbelah dua. Filem kedua siri Deadpool ini mencatatkan kutipan yang mengagumkan sebanyak $324,591,735 sejak ditayangkan.

4. It

it filem seram

Kanak-kanak generasi 80-an dan 90-an ramai juga yang mengalami mimpi ngeri disebabkan oleh filem IT yang memaparkan watak badut yang sangat menyeramkan. Filem 'It' yang diterbitkan semula pada tahun 2017 sebagai satu permulaan baru bagi siri legenda ini turut sama mendapat sambutan hangat.

Siri filem 'It' terbaru turut sama mengekalkan format awalnya yang menggunakan dua filem untuk menyampaikan keseluruhan semua cerita dengan sambungannya bakal diterbitkan pada bulan September 2017. Sama ada kejayaan filem pertama boleh diulangi, kita belum tahu tetapi kutipan $327,481,748 menunjukkan peminat filem seram ini, masih belum serik mengalami mimpi ngeri dalam hidup mereka.

3. American Sniper

american sniper

Sebuah filem arahan pengarah dan pelakon terkenal Clint Eastwood, 'American Sniper' mengisahkan tentang kisah sebenar pengalaman penembak jarak jauh tentera Amerika Syarikat, bernama Chris Kyle yang menjadi antara penembak jarak jauh terhandal dunia sebelum terkorban akibat kemalangan.

Mendapat sambutan hangat selain daripada kritikan berikutan propaganda pro Amerika Syarikat yang dipaparkan, 'American Sniper' mendapat ulasan baik serta dicalonkan dalam pelbagai kategori dalam anugerah Akademi. Digelarkan sebagai sebuah filem pro-Amerika yang cuba menyebarkan pandangan 'Islamofobia', tetap tidak menghalang filem ini mengutip $350,126,372 di panggung.

2. Deadpool

deadpool pertama

Filem pertama 'Deadpool' benar-benar memberikan impak besar kepada industri filem adiwira, kerana perubahan serta mesejnya yang menyimpang jauh daripada filem kebiasaan adiwira lain. Jika dibandingkan dengan filem siri Marvel dan DC yang biasa, Deadpool tidak segan silu untuk melakukan apa saja seolah-olah tiada tapisan.

Kejayaan membangunkan semula 'Deadpool' selepas wataknya hanya menjadi watak sampingan dalam filem menampilkan Wolverine, menjadi titik tolak permulaan baru watak komik popular tersebut dan juga aktor Ryan Reynolds yang dikritik teruk berikutan filem The Green Lantern. Diterbitkan pada tahun 2016, 'Deadpool' berjaya mengutip $363,070,709 semasa tayangannya.

1. The Passion of the Christ

passion of christ mel gibson

Filem yang menimbulkan banyak kontroversi, mendapat pujian melambung atau cercaaan melampau - penulis akui filem ini merupakan sebuah filem yang sangat sukar ditonton. Ini kerana berbeza dengan beberapa filem ganas yang disenaraikan, filem ini menjadikan seksaan sebagai fokus utama dan naluri manusia cukup takut melihat individu lain diseksa.

Sebuah filem serius dari mula hingga penghujungnya, filem ini dilarang penayangannya di Malaysia sebelum kerajaan meringankan syarat - hanya membenarkan penganut Kristian menontonnya. Berdepan kontroversi, kritikan, larangan malahan dikatakan menjadi alat propaganda anti Semitik, The Passion of The Christ berjaya menjadi filem berklasifikasi R yang mencatat jumlah kutipan tertinggi dengan jumlah $370,782,930 sejak tahun 2004.




Hakcipta iluminasi.com (2017)