jai santoshi maa filem kultus hindi india

Pengaruh filem Bollywood kepada industri hiburan dunia tidak dapat kita nafikan. Apatah lagi di Malaysia di mana filem-filem Bollywood diterima baik bukan saja oleh masyarakat berbangsa India, bahkan turut sama diminati masyarakat lain.

Pada tahun 1975 lebih kurang 45 tahun yang lalu, sebuah filem berjudul 'Jay Santoshi Maa' diterbitkan di India. Dirakamkan dengan bajet rendah, pada awalnya filem diramalkan akan kurang mendapat sambutan. Namun buah mulut orang ramai mempromosikan filem tersebut menyebabkan sambutan terhadapnya jadi luar biasa.

Filem itu akhirnya diangkat menjadi antara filem paling laku dalam industri Bollywood tahun tersebut dan meninggalkan satu kesan yang cukup nyata - memperkenalkan kepada khalayak ramai Dewi terbaru ajaran Hindu di serata India yang tidak diketahui dari mana asal-usulnya.

Kisah kewujudan Dewi Santoshi

patung dewi santoshi di kuil

Legenda penganut agama Hindu menceritakan bagaimana dua anak kepada Dewa Ganesh teringin memiliki seorang adik untuk bermain dengan mereka.

Dewa Ganesh memakbulkan permintaan itu lalu menggunakan kuasanya, menghasilkan cahaya yang akhirnya membentuk seorang kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak itu dinamakan sebagai Santoshi disebabkan oleh sifatnya yang pemurah dan tidak suka meminta-minta balasan.

Dewi Santoshi membawa makna sebagai Dewi Kesyukuran.

Walaupun ada hikayat tentangnya, perdebatan berkenaan kesahihan Dewi Santoshi ini sebagai salah satu Dewi sebenar sering diperdebatkan di India, berikutan ketiadaan bukti dalam kitab agama Hindu yang benar-benar menamakan Dewi ini.

Di kalangan penganut Hindu berselisih pendapat menyifatkan kewujudan Dewi ini hanyalah satu mitos yang akhirnya diambil sebagai kebenaran.

Apa pun perdebatannya, apa yang kita tahu Dewi Santoshi mempunyai jumlah pengikut yang agak kecil di bahagian utara India khasnya oleh wanita - pada mulanya.

Mereka percaya dengan berpuasa setiap hari Jumaat sebanyak 16 kali berturut-turut, permintaan mereka akan dipenuhi Dewi Santoshi. Pada Jumaat terakhir, wanita yang berpuasa akan menyediakan hidangan kepada 8 orang kanak-kanak lelaki. Ritual ini kekal menjadi amalan sehingga kini.

Komuniti kecil penyembah Dewi Santoshi tidak ramai. Sehinggalah filem yang memaparkannya meletup di pawagam.

Dewi baru agama Hindu?

sedutan filem tarian jai santoshi maa

Nama Dewi Santoshi hanya mula muncul sekitar dekad 1960-an, disebarkan oleh sekumpulan kecil penyembahnya melalui perkongsian serta risalah - tanpa benar-benar ditemui sumber hikayat Dewi ini.

Kepercayaan berkenaan Dewi Santoshi hanya mula tersebar meluas selepas filem Jai Santoshi Maa ditayangkan, meluaskan pengaruh Dewi ini di kalangan masyarakat Hindu; walaupun filem itu sendiri jelas ada menokok tambah penceritaan dalam bermacam aspek khasnya melibatkan kelahiran Dewi Santoshi sendiri.

Disebabkan ledakan popularitinya di kalangan wanita, semakin ramai penganut agama Hindu mula terikut menjadikan amalan berpuasa 16 kali Jumaat sebagai satu ritual, dengan majoriti pengikutnya datang daripada golongan wanita berpendapatan rendah.

Pengikut Dewi Santoshi percaya kepada lima ajaran utama dalam hidup yang sangat berkait dengan haiwan dan serangga;

Lembu perlu diberi makan rumput untuk melindungi bumi, burung yang diberi makan bijirin akan melindungi perniagaan kita, semut diberi gula akan mengurangkan beban hutang, anjing diberi capati akan menjauhkan musuh dan ikan jika diberi makan akan mengembalikan semula harta yang hilang.

Setiap tahun kesemua pengikutnya akan menjalani ritual yang dikenali sebagai Rakhi Pournami meraikan hari kelahiran Dewi Santoshi. 

Mereka akan memulakan amalan puasa mereka sempena Rakhi pournami bermula seawal jam 4.30 pagi dengan bacaan ayat pemujaan sehingga tiba waktu tengahari, sambil semuanya terus menahan diri dari makan dan minum.

Kepercayaan yang terus kontroversi

kuil pengikut dewi santoshi

Disebabkan oleh publisiti yang diberikan selepas filem itu meletup dalam tahun 1975, kajian berkenaan Dewi Santoshi mula dijalankan bagi mengenalpasti dari manakah sumber hikayat ini.

Banyak pihak percaya berbanding dengan Dewa dan Dewi yang disebutkan dalam kitab-kitab utama agama Hindu, Dewi Santoshi merupakan antara dewi yang diangkat pengikutnya sebagai dewi ekoran jasanya kepada komuniti tersebut pada mulanya.

Tetapi sehingga ke hari ini belum ada dokumen atau rekod yang mampu menjelaskan kisah ini dengan lebih jelas, berbanding cerita-cerita yang disampaikan mulut ke mulut oleh pengikutnya.

Ketidak pastian itu bagaimanapun tidak menghalang kepercayaan itu berkembang pesat ke serata India.

Sekitar tahun 1960 dilaporkan hanya terdapat lima buah kuil penyembah Dewi Santoshi wujud di sekitar India, sebelum populariti filem Jai Santoshi Maa memperkembangkan pembukaannya secara mendadak.

Siri televisyen berdasarkan kepada Dewi Santoshi diterbitkan hasil populariti Dewi tersebut di kalangan penonton siti TV Hindi dan sudah masuk musim baru pada tahun 2020.

Manakala filem 'Jai Santoshi Maa' pula terus ditonton di kalangan penyembah Dewi Santoshi setiap tahun, mengekalkan filem tersebut sebagai salah satu filem berstatus filem kultus terawal di India yang masih kekal relevan sehingga ke hari ini.

Disebabkan itulah bagi pengkritik kepercayaan ini, mereka menamakan Dewi Santoshi 'dewi ciptaan budaya popular dunia', yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada Dewa-Dewi anutan Hindu hanya disebabkan popularitinya di kalangan wanita.

Kami akhiri artikel ini dengan satu soalan - adakah ada penganut agama Hindu di Malaysia yang berpegang dengan amalan Dewi Santoshi?

Rujukan

The Celluloid Goddess

Jai Santoshi Maa: Who Wants to be a Goddess?



Hakcipta iluminasi.com (2017)