Mengeluarkan filem merupakan satu perniagaan yang berisiko, dengan setiap bahagian produksi daripada mula sehinggalah siap filem itu memerlukan perbelanjaan besar yang perlu ditanggung - tanpa mengetahui sama ada filem itu bakal berjaya atau tidak.

Walaupun begitu, ini tidak menghalang studio-studio besar dunia melaburkan dana jutaan ringgit kerana mereka tahu berdasarkan pengalaman mereka, keuntungan yang boleh diperoleh boleh jadi berlipat kali ganda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setakat tahun 2019, lima filem ini telah dinobatkan sebagai filem yang mempunyai kos paling tinggi dalam sejarah perfileman Hollywood.

5. Solo - A Star Wars Story

solo star wars story

Diterbitkan ketika peminat Star Wars majoritinya mahukan filem memaparkan seorang lagi watak kesayangan mereka iaitu Obi Wan Kenobi, 'Solo : A Staw Wars Story' menjadi filem kedua dalam siri kisah sampingan Star Wars yang diterbitkan oleh Disney.

Memaparkan kisah bagaimana watak popular Han Solo memulakan kerjanya sebagai seorang juruterbang seterusnya turut sama terlibat dalam menyelamatkan galaksi bersama Luke dan Leia Skywalker - filem ini gagal di pawagam. Mempunyai bajet sebanyak $275 juta dollar, 'Solo' perlu mencapai sekurang-kurangnya $500 juta bagi mendapatkan semula kos keseluruhan.

Malangnya, filem kelima paling mahal dalam sejarah industri filem Hollywood ini hanya berjaya mencapai kutipan keseluruhandi bawah paras $400 juta, walaupun filem ini sebenarnya sangat bagus serta berjaya membawakan kisah Han Solo dengan sangat berkesan.

4. Justice League & Pirates of Caribbean : At Worlds End

justice league superman

Kedua-dua buah filem ini dihasilkan dengan bajet sebanyak $300 juta dollar, meletakkan kedua-duanya seiring. Namun filem Pirates of the Caribbean : At Worlds End lakonan Johnny Depp jauh mengatasi filem Justice League yang ditunggu-tunggu, dengan filem lanun itu berjaya mengutip $963 juta dollar lebih 3 kali ganda kos produksinya.

'Justice League' pula yang berdepan pelbagai masalah sewaktu produksi serta terpaksa mengalami pertukaran pengarah berjaya mengumpul $657 juta dollar, namun mendapat reaksi negatif peminat-peminat filem berikutan kelemahan penceritaan yang terkandung dalam filem tersebut.

Dianggap sebagai permulaan kepada siri sinematik bagi adiwira komik DC, 'Justice League' dilihat gagal menandingi siri sinematik Marvel dan dilaporkan sedang diolah semula, agar lebih terperinci dan diperhalusi kelemahannya yang sangat ketara.

3. Avengers Infinity War

avengers infinity war 8sr93

Salah sebuah filem terbaik yang dikeluarkan daripada siri dunia sinematik komik Marvel setakat ini, Avengers Infinity War berjaya menggabungkan puluhan barisan pelakon ternama dalam sebuah filem. Apa yang lebih mengagumkan, setiap watak berjaya diberikan masa yang cukup untuk beraksi.

Dibuat dengan kos $316 juta dollar, kutipan filem ini sehingga kini dianggarkan melebihi $2 billion dollar, menjadi salah satu francais filem paling menguntungkan dalam industri filem sekarang.

2. Avengers Age of Ultron

avengers age of ultron 8sr2

Penyambung kepada filem Avengers pertama, Age of Ultron dikatakan antara filem paling lemah dalam siri sinematik Marvel berikutan jalan ceritanya yang agak kucar-kacir. Walaupun begitu, Age of Ultron tetap menjadi antara filem blockbuster paling laku dengan kutipannya mencecah $1.5 billion berbanding kos produksi $365 juta.

Walaupun menjadi antara filem yang dilupakan di antara filem-filem lain, Age of Ultron tetap memaparkan beberapa babak penting seperti penciptaan manusia sintetik Vision serta bertanggungjawab membawakan watak Thanos, yang akan membawa kecelakaan besar pada dunia kali pertama ke layar perak.

1. Pirates of the Caribbean : On Stranger Tides

pirates of caribbean johnny depp

Sekiranya disorot semula, majoriti filem yang ada dalam senarai ini adalah terbitan Disney - membuktikan kekuatan kewangan syarikat gergasi tersebut dalam melabur serta menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan terbaik daripada segala segi. Pasti ramai tidak menjangka 'On Stranger Tides' memegang takhta sebagai filem paling mahal untuk dihasilkan setakat ini dengan kos $379 juta dollar.

Diterbitkan pada tahun 2011 sebagai sambungan kepada 'At World's End,' pelakon terkenal Johnny Depp dikatakan dibayar sebanyak $55 juta dollar untuk kembali melakonkan watak legenda Kapten Jack Sparrow yang kini sudah sinonim dengan beliau. Risiko yang diambil dengan kos produksi sangat besar bagaimanapun membuahkan hasil setelah On Stranger Tides berjaya memecah had $1 billion kutipan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)