Oleh pada 15 Feb 2018 kategori

Zaman sekarang, dengan mudah kita mampu merakamkan filem. Boleh dikatakan majoriti orang mempunyai sekurang-kurangnya satu peranti yang mampu merakamkan gambar dan video sebagai kenang-kenangan.

Namun begitu, pernahkah anda terfikir apa liku-liku yang telah dilalui sebelum kita sampai ke tahap sekarang? Berikut adalah kronologi lapan peristiwa paling penting sejarah awal kelahiran teknologi filem yang mengubah dunia kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Idea paling awal tentang filem dalam bentuk gajet

ilusi optik sejarah animasi kuda bergerak dan lompatan summersault

Idea paling awal dalam penghasilan gambar yang bergerak datang daripada penciptaan sebuah objek yang digelarkan phenakistoscope. Hasil ciptaan dua orang pereka pada tahun 1832 iaitu Joseph Plateau dan Simon Von Stampfer, yang menghasilkan rekaan yang secara kebetulan sama, phenakistoscope menjadi popular sebagai permainan kanak-kanak. Ilusi yang terhasil mampu mencipta pergerakan mudah dan phenakistoscope menjadi salah satu produk popular sebelum digantikan dengan satu teknik lain yang digelarkan zoetrope.

2. Zoetrope - atuk kepada filem bergerak

Zoetrope merupakan satu alat yang lebih kompleks yang menghasilkan animasi dalam kadar yang lebih pantas berbanding dengan phenakistoscope yang memerlukan tangan kita untuk memusingkan. Zoetrope merupakan sebuah silinder berpusing mempunyai lakaran pergerakan yang diinginkan dengan gambar pergerakannya dibuat supaya mudah ditukar, berbanding dengan phenakistoscope yang tidak boleh diubah visualnya.

3. Apakah aksi pergerakan pertama pertama yang pernah dirakamkan?

Filem pertama yang dihasilkan dalam dunia adalah sebuah kajian pergerakan kuda yang dihasilkan oleh Eadweard Muybridge pada tahun 1878. Eadward diminta menangkap gambar kuda berlari untuk menjawab persoalan oleh Leland Standford (pengasas Stanford University) yang inginkan kepastian secara sah, adakah kuda mengangkat keempat-empat kakinya ke atas semasa berlari.

Video ini digabungkan menggunakan teknik gerak henti (stop motion) dan menjadi idea asas kepada fotografi pergerakan yang kita gunakan sekarang. Alat yang digunakan oleh Eadweard dalam penghasilan pergerakan ini adalah sebuah alat seiras zoetrope tetapi mampu memancarkan imejnya yang diberikan nama zoopraxiscope.

4. Apakah filem gambar pertama di dunia?

Filem bergambar pertama di dunia yang diambil adalah satu adegan pendek sepanjang 2.11 saat yang dinamakan Roundhay Garden Scene. Filem ini dihasilkan pada tahun 1888 oleh seorang pereka Perancis bernama Louis Le Prince. Filem itu diambil pada 14 Oktober 1888 di Roundhay, Leeds, England yang memaparkan anak kepada Louis serta rakan-rakannya berjalan.

5. Penciptaan Kinetoscope

Kinetoscope adalah sebuah alat yang dicipta oleh Thomas Alva Edison dan William Dickson yang membolehkan seorang individu menonton siri filem melalui satu lubang khas. Alat yang cipta pada tahun 1891 ini boleh dikatakan bapa kepada teknologi projektor yang ada sekarang ini. Filem akan dimasukkan supaya melalui sebuah kanta dan lampu dengan penonton boleh menonton kisah yang ingin disampaikan sendirian. Walaupun hanya untuk tontonan seorang, idea Kinetoscope ini menjadi idea permulaan kepada penghasilan teknologi berikut.

6. Filem pertama yang dibuka tayangan pada orang ramai

Filem pendek Perancis yang bertajuk 'L'arrivée d'un train en gare de La Ciotat ' atau 'The Arrival of a Train at La Ciotat Station' merupakan filem pertama yang dipertontonkan pada orang ramai pada Januari 1896 oleh adik beradik Louis dan Auguste Lumiere. Filem pendek berdurasi 50 saat itu memaparkan adegan sebuah keretapi yang tiba ke stesen La Ciotat dengan menggunakan teknologi kamera yang digelarkan CImetographe. Filem 50 saat ini adalah permulaan kepada apa yang kita gelarkan sekarang ini sebagai teknik sinematografi.

7. Filem pertama dalam bentuk filem warna

Seorang pencipta bernama Edward Turner sebenarnya telah pun menemui filem warna dengan menggunakan penapis warna merah, hijau dan biru lebih awal pada tahun 1899. Dia berjaya merekodkan filem pertama pada tahun 1902 sebelum meninggal dunia secara mengejut pada tahun 1903. Semasa hidup, Edward sempat merakamkan video anak-anaknya dan beberapa subjek lain, namun rakamannya hilang tidak dapat dikesan.

Pihak yang membiayai penyelidikan Edward membawa hasil ciptaan Edward kepada pihak lain dan terhasillah Kinemacolor. Teknologi yang digunakan dalam Kinemacolor berjaya menggabungkan dua penapis warna untuk menghasilkan filem berwarna dan menjadi pilihan ramai pembuat filem sejak tahun 1908.

Hanya pada tahun 2012 filem asal Edward ditemui di dalam National Media Museum di Bradford (kini National Science and Media Museum). Hanya selepas menemui hasil rakaman Edward yang dilakukan pada tahun 1902 itu barulah masyarakat dunia menyedari teknologi yang sedang dibangunkan oleh Edward seorang diri pada ketika itu, sebenarnya menghasilkan filem warna yang lebih baik berbanding Kinemacolor.

8. Filem pertama yang mempunyai audio

Semua filem yang dihasilkan pada era awal pembikinan filem adalah filem-filem tanpa bunyi. Jika ada bunyi, bunyi itu pula dihasilkan oleh orkestra yang akan memainkan lagu secara langsung di dalam pawagam. Hanya pada tahun 1926, adik beradik Warner Brothers dengan kerjasama Western Electric mula bereksperimen dengan sistem audio yang dirakamkan menggunakan piring. Lagu latar dan kesan bunyi dirakamkan terlebih dahulu dan kemudian akan dimainkan serentak dengan filem. Filem pertama yang memaparkan teknologi ini adalah filem 'Don Juan' lakonan John Barrymore, datuk kepada pelakon Drew Barrymore.




Hakcipta iluminasi.com (2017)