abang long fadil 2 filem kutipan tertinggi

'Abang Long Fadil 2' baharu saja dinobatkan sebagai raja baru kutipan box-office Malaysia dengan kutipannya baharu saja memecahkan rekod box-office yang sebelum ini dipegang oleh filem Polis Evo.

Ini membuktikan daya tarikan Zizan Razak yang kini menjadi pelakon utama kedua-dua filem yang mendapat tempat pertama dan kedua dalam carta kutipan box-office negara kita. Walau apa saja pandangan anda terhadap pelakon komedi berhidung mancung (besar?) ini, jelas sekali namanya mampu menarik penonton ke pawagam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika 'Abang Long Fadil 2' adalah raja baru carta box-office Malaysia, apakah filem-filem lain yang pernah merajai carta ini? Berikut adalah 6 filem box office yang mencatatkan kutipan paling tinggi di negara kita.

6. Boboiboy the Movie

boboiboy the movie 35r61

Filem animasi arahan Nizam Razak ini mendapat sambutan hangat daripada golongan sasarannya iaitu kanak-kanak dan dewasa yang meminati animasi. Mengisahkan pengembaraan Boboiboy yang diadaptasi daripada siri kartunnya, menjelajah angkasa lepas bersama rakan-rakannya, filem ini menjadi pengenalan awal kepada siri baru Boboiboy Galaxy yang sedang ditayangkan.

Kutipan RM15,770,508.02

5. Ola Bola

ola bola

Filem yang mengingatkan kembali kita kepada zaman kegemilangan bolasepak Malaysia dan dibintangi oleh pelakon-pelakon kurang dikenali ini berjaya memecah sempadan antara kaum, yang membuatkan penonton 'Ola Bola' bukan sahaja datang daripada golongan Melayu, bahkan penonton Cina dan India juga memenuhi pawagam. Filem yang digarap cukup baik dan menghiburkan ini menjadi antara bukti keharmonian negara kita perlulah dikekalkan kerana kita semua orang Malaysia.

Kutipan RM16,668,863.56

4. The Journey

the journey

Filem yang membawa tema kekeluargaan dan percanggahan budaya ini menjadi bukti masyarakat Malaysia terbuka dalam menerima tema filem asalkan nilainya positif serta menghiburkan penonton. Dengan lakonan mantap Frankie Lee yang berusia 75 tahun dalam filem yang membawa dia gelaran Pelakon Filem Terbaik Malaysia bagi tahun 2014, The Journey adalah sebuah filem yang sepatutnya ditonton oleh semua lapisan masyarakat Malaysia, tak kira bangsa, agama atau keturunan.

Kutipan RM16,870,000.00

3. Munafik

munafik 35r86

Filem arahan Shamsul Yusof ini benar-benar menggetarkan jiwa penontonnya. Lakonan mantap Nabila Huda membuatkan ramai penonton tidak senang duduk. Filem ini menjadi bukti mesej elemen agama Islam mampu diterima ramai penonton serta mampu disampaikan dalam bentuk menghiburkan (atau menyeramkan). Munafik membuktikan Shamsul Yusof bukan hanya sekadar pengarah syok sendiri dan Nabila Huda membuktikan dia perlu dilihat sebagai pelakon lebih serius, bukan hanya kerana dia anak kepada Amy Search.

Kutipan RM17,042,391.38

2. Polis Evo

polis evo

Filem aksi yang menggabungkan dua pelakon paling popular di Malaysia iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak, filem Polis Evo berjaya menggabungkan unsur komedi dan aksi yang sempurna adunannya. Memaparkan kisah dua orang polis yang terpaksa bekerjasama memerangi sindiket pengedaran syabu di Terengganu, gabungan Shaheizy dan Zizan benar-benar menjadi. Namun untuk kisah sambungannya, Polis Evo 2 kita masih perlu menunggu lebih lama kerana proses pengambarannya sudah beberapa kali ditangguhkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Kutipan RM17,740,000.00

1. Abang Long Fadil 2

abang long fadil 2 kutipan tertinggi malaysia

Bermula sebagai watak sampingan dalam filem KL Gangster, 'Abang Long Fadil' muncul di pawagam membawakan kepada penonton kisah Fadil, seorang gangster yang berhati baik dan kelakar. Filem 'Abang Long Fadil 2' pula memperkenalkan watak baru iaitu Taji Samprit lakonan A.Galak dan 'Wak Doyok' lakonan Wak Doyok yang memperdayakan Fadil untuk bertindak sebagai pembunuh upahan hebat yang hanya dikenali sebagai Tiger. Abang Long Fadil 2 berjaya mencapai kutipan yang cukup membanggakan apabila menjadi filem box office tertinggi memecahkan kutipan Polis Evo pada 2 Oktober 2017. Kutipannya setakat ini adalah RM17.9 juta. Sebagai maklumat tambahan, Abang Long Fadil yang pertama hanya berjaya mengutip Rm4,610,811.00.

Kutipan RM17.9 juta dan masih ditayangkan.

ps - mengapa filem bertema berat kurang mendapat sambutan tahun ini?




Hakcipta iluminasi.com (2017)